KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, October 26, 2016

PERIA FERTIGASI - BANTAL DAN BALDI

TANAMAN PERIA (Momordica charantia) dan PETOLA (Luffa actungula) merupakan antara jenis tanaman sayuran buah yang semakin menarik minat penanam sayur komersil dengan teknologi fertigasi di sekitar Kuantan Negeri Pahang. Bagaimana pun amalan teknologi penanaman peria yang penulis buat tinjauan kini sudah berubah daripada kaedah konvensional diatas tanah dengan pancang kayu kepada teknologi fertigasi. Apa yang penulis dapati kini tentang tinjauan penulis mengenai dua teknologi fertigasi yang dikenali dengan TEKNOLOGI FERTIGASI BANTAL dan TEKNOLOGI FERTIGASI BALDI yang diamalkan oleh petani iaitu En Wong dan En Ramli di kawasan TKPM Pulau Manis, Kuantan, Pahang. Ini merupakan salah satu teknologi yang pada penulis dapati amat sesuai dilakukan oleh mereka yang ingin menghasilkan sayur yang berkualiti dan hasil yang banyak. Teknologi fertigasi selalunya dikaitkan dengan cara penggunaan air baja dari tangki yang disalurkan kepada media tanaman dalam polibeg bersaiz sederhana sahaja. Amalan menanam syuran secara fertigasi ini biasa dilakukan kepada sayuran seperti Timun, Cili Besar, Cili Padi, Terung Bulat, Terung Panjang, Kacang Panjang, Kacang Buncis dan beberapa lagi. Dalam terminologi fertigasi kita juga pernah mendengar Fertigasi dibawah Struktur Pelindung Hujan (SPH), Fertigasi Rakyat, Fertigasi NFT, Aeroponik, Aquaponik, Fertigasi Gantung, Fertigasi Terbuka dan sebagainya. Teknologi ini juga dikaitkan dengan pertanian moden dan 'vertical farming' yang akan menjadi trend dimasa akan datang. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai dua lagi cara menanam sayur secara fertigasi hasil lawatan keprojek TKPM di Pulau Manis, Kuantan iaitu Fertigasi Bantal dan Fertigasi sekadar untuk dikongsi bersama pembaca blog ini.


Teknologi Fertigasi Bantal merupakan antara yang terbaru dilakukan oleh peserta di TKPM Pulau Manis ini. Penulis berikan nama ini kerana 'planting point' ini akan diletakkan didalam beg plastik hitam yang diletakkan diatas batas tanaman seperti bentuk 'Bantal' dan unik (Sila lihat foto disebelah).  Susunan bantal hitam diatas batas beralaskan plastik silvershine ini dengan jarak 2 meter antara bantal menjadikan ia satu sistem tanaman agak jarang dilihat berbanding dengan kaedah fertigasi konvensional yang mana point tanaman diletakkan lebih rapat. Plastik Hitam untuk dibuat bantal yang tebal ini dibuat 3 lubang besar dan banyak lubang kecil-kecil dibahagian atasnya. Dibuat dua lubang lain di tepi bagi diletakkan benih tanaman. Sementara itu dibahagian tengah adalah lubang yang dikhususkan untuk pemberian baja NPK dan baja Organik tambahan. Dilubang tengah ini juga akan diletakkan 'dripper' iaitu bagaimana bekalan air baja yang dipam daripada tangki bancuhan baja. Bagi tujuan fertigasi, terdapat 4 buah tangki hitam yang di penuhkan dengan air campuran baja Set A dan Set B dimana ia akan dipam dengan injin Robin selama 1-2 jam dengan kekerapan dua kali sehari iaitu waktu pagi dan waktu petang. Dibahagian bawah bantal dibuat lubang besar 20 cm x 20 cm untuk membolehkan akar pokok akan terus masuk kedalam tanah batas yang mana plastik silvershine juga ditebuk lubang yang sama saiznya. Pemerhatian penulis mendapati akar pokok peria sampai jauh kedalam tanah dengan tiada pembaziran dari saliran air baja. Pokok peria dan petola menjadi subur dengan saiz batang lebih besar kerana makanan banyak dan ruang akar luas. Ini akan juga membolehkan ia akan memenuhi ruang para trellis dengan buah yang banyak, berkualiti, besar dan mendapat harga yang baik. Buah Peria di kebun ini tidak dbalut kerana aktiviti kawalan Lalat Buah (Bactocera spp) dam Kutu Thrips (Order Trysanoptera) dikawal dengan semburan racun kimia secara berjadual.

Teknologi Fertigasi Baldi merupakan satu cara menggunakan bekas media tanaman dengan menggunakan baldi terpakai iaitu bekas daripada tong cat terpakai. Idea ini dilakukan untuk mereka menggunakan baldi cat terpakai kerana ketahanan baldi tersebut selama lebih 5 tahun. Ini adalah bahan tahan berbanding dengan cara penggunaan polibeg plastik hitam atau plastik putih yang singkat (sekitar 1-2 musim sahaja). Baldi cat terpakai ini diperolehi daripada pembekal atau kontraktor mengecat dengan harga antara RM0.50 - RM1.00 satu unit. Baldi ini dibersihkan dahulu dan ditebuk lubang dibahagian bawah untuk aliran air keluar semasa penyaluran air baja. Media tanaman terdiri daripada campuran cocopeat dan tanah campuran. Setiap baldi disusun dalam satu barisan dengan jarak 1 meter dan dipasang dengan saluran paip untuk membekal air baja. Baldi ini diletakkan diatas batas yang dipasang dengan lapisan plastik silvershine (Sila lihat foto disebelah). Setiap baldi ditanam dengan 2 anakbenih yang akan membesar dan memberikan hasil baik. Jaring Pukat buatan China yang murah dan tahan direntang diatas baldi kepada sistem para diatasnya. Tanaman ini akan menjalar keatas pukat jaring sehingga tanaman memenuhi para trellis. Teknologi ini pada petani amat berkesan kerana mereka kini tidak perlu menggantikan polibeg media tanaman dengan kerap yang perlukan kos tinggi dan tenagakerja banyak. Bagi petani dari tinjauan penulis ia berpuashati dengan kaedah tanaman fertigasi gunakan baldi di TKPM ini. Kebaikan lain fertigasi cara baldi adalah dimana media tanaman sedia ada tidak dibuang malahan akan ditambah dengan media cocopeat jika berkurangan.


Peria yang ditanam menggunakan teknologi fertigasi bantal didapati lebat buahnya dimana purata buah bersaiz sederhana dan bersaiz besar. Satu biji peria yang penulis timbang mempunyai berat sekitar 350 gram (Sila lihat foto disebelah). Menurut petani, kaum Cina amat suka dengan peria bersaiz besar ini yang lazimnya dimakan dengan cara masak sup. Bagi kaum Melayu pula mereka suka peria yang bersaiz sederhana atau saiz kecil yang selalunya dimasak tumis dengan cili dan dimakan dengan nasi putih. Peria jenis ini juga sering dijadikan ulam dimakan mentah yang enak. Aktiviti memetik peria dan petola lazimnya bermula jam 6.00 pagi dimana pekerja buruh asing menggunakan lampu suluh jika musim buah sedang banyak dan permintaan serta harga tawaran yang tinggi. Pada jam 10.00 pagi selalunya peria yang dipetik akan dihantar terus ke Pasar Selayang di Kuala Lumpur. Harga peria didapati agak stabil berbanding dengan beberapa jenis tanaman sayuran lain dengan purata sekitar RM1.20 - RM1.60 sekilogram. Peria yang mengandungi bahan 'charantin' yang menyebabkan 'rasa pahit' dimana ia ada khasiat tersendiri. Bahan charantin ini merupakan banhan aktif yang mampu mengawal masaalah kanser. Beberapa kajian lain yang penulis rujuk dimana buah peria mempunyai sebatian Antihelminthic. Bahan aktif ini sering dikaitkan untuk rawatan penyakit gastrousus (pedarahan dalam perut atau dalam usus) dan boleh membunuh cacing parasit dalam badan kita. Di negara Togo, rakyat tempatan menggunakan buah peria ini secara semulajadi bagi tujuan untuk menghapuskan cacing dalam badan rakyat mereka. Melihat kepada komponen bahagian daun peria, didakwa daun peria juga dikatakan boleh digunakan untuk tujuan menyembuhkan beberapa penyakit. Ia mampu untuk menghalang bakteria malaria dalam tubuh manusia. Amalan yang dilakukan dengan merebus beberapa helai daun peria dan dan minum seperti teh. Anda boleh menambah bawang putih, garam, atau sedikit gula untuk mengurangkan rasa pahit daun. Dalam kes khasiat untuk pesakit Diabetes didakwa bahawa peria juga merupakan makanan terbaik untuk penghidap kencing manis. Ia mempunyai keupayaan untuk meningkatkan sensitiviti insulin dalam badan kita. Dalam pada itu lain-lain faedah kesihatan peria yang mana ia mempunyai bahan anti-kanser dimana terdapat dua sebatian yang terdapat pada pokok iaitu Asid a- eleostearic  iaitu bahan yang boleh anda dapati di dalam biji peria dan Asid 15,16 -dihydroxy -a- eleostearic bahan yang anda akan dapati di buahnya . Kedua bahan ini adalah ubat yang baik untuk masalah leukemia dan beberapa masalah darah seperti anemia. Ia membantu dalam menghasilkan sel-sel darah merah yang sihat dan baki jumlah sel-sel darah putih dalam badan kita. Ia juga menormalkan tekanan darah. Apa pun teknologi penanaman peria menggunakan Teknik Fertigasi Bantal dan Fertigasi Baldi ini merupakan satu kaedah penanaman yang cekap dan boleh dikembang oleh petani lain. Petani lain boleh merujuk atau melawat kekebun disini untuk mempelajari teknik fertigasi ini.  Semuga artikel dalam blog Anim Agro Technology ini memberi info berguna. Wasallam!!!.
TANAM SAYUR... PELBAGAI CARA....
FERTIGASII BANTAL...APAKAH DIA...
GUNAKAN BALDI... IA TAHAN LAMA...
BANYAK KHASIAT..SIHAT SEJAHTERA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
TKPM Pulau Manis,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(9 Muharam 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...