KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, October 21, 2016

LADA HITAM - POTENSI TANAMAN

LADA HITAM (Piper nigrum) merupakan tanaman yang dikenali oleh masyarakat seluruh dunia sebagai ramuan masakan perisa dan sos. Berasal dari barat daya India ditanam di Sarawak sejak tahun 1856 dimana ia diusahakan secara meluas sekitar 1900an lagi. Malaysia menduduki tempat kelima lada dunia selepas Vietnam,India,Indonesia dan Brazil. Bukan mudah untuk menanam lada hitam untuk menghasilkan buah berkualiti dan gred yang baik. Lada Hitam masih merupakan salah satu tanaman kontan yang penting sebagai punca pendapatan untuk kira-kira 67,000 penduduk terutama di kawasan pedalaman Negeri Sarawak. Keluasan purata kebun lada direkodkan masa kini adalah 0.2 hektar. Lada banyak ditanam di beberapa daerah yang aktif menanam seperti di Bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Sarikei. Anggaran semasa kawasan penanaman lada hitam di Sarawak ialah kira-kira 13,000 hektar (Sumber: Laporan Tahunan, Jabatan Pertanian Negeri Sarawak 2015)Malaysia mengeksport sebanyak 19,748 tan metrik lada pada tahun 2004 berbanding sebanyak 18,824 tan metrik pada tahun 2002 yang masing-masingnya bernilai RM113.2 juta dan RM120.0 juta. Hampir 98 peratus hasil dari pengeluaran lada di Malaysia adalah di Negeri Sarawak. Pengeluaran untuk tahun 2004 adalah 20,000 tan metrik. Agensi yang menjaga industri lada hitam adalah Lembaga Lada Malaysia yang dulunya dikenali dengan Jemaah Pemasaran Lada Hitam Malayais (JPPH) yang beribupejabat di Kuching, Sarawak. Bentuk Lada untuk Eksport masa kini adalah dimana kira-kira 95 peratus perdagangan lada dunia adalah dalam bentuk Lada hitam (Black Pepper) dan Lada Putih (White Pepper). Bentuk lain adalah dalam bentuk oleoresin lada, minyak lada, lada hijau dan lada kisar. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai potensi tanaman lada hitam di Malaysia terutama untuk kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sabah.


Menanam Lada merupakan satu aktiviti yang rumit terutama untuk memetik hasil. Secara teorinya pokok lada hidup subur di kawasan beriklim tropika yang panas dan lembap seperti di Malaysia. Lazimnya tanaman pokok lada dibiak daripada keratan batang dimana ada juga kaedah untuk pembiakan lada dengan menggunakan bijinya tetapi ia amat jarang dilakukan kecuali untuk program biakbaka (Plant breeding). Sistem akar berkembang daripada akar adventitius yang terbentuk pada bahagian buku keratan batang yang ditanam. Daun lada hitam akan keluar pada setiap buku semasa peringkat tumbesaran keratan pucuk utama. Akar adventitius pula akan berkembang untuk membantu pucuk melekat pada tiang sokongan yang dibina daripada kayu, konkrit atau batang pokok sokongan.. Pada setiap buku akan ada mata tunas aksil tumbuh menjadi dahan sisi dan seterusnya akan mengeluarkan sulur buah. Bunga lada keluar pada buku yang bertentangan dengan setiap daun di dahan sisi. Kebanyakan kultivar lada mempunyai bunga dwiseks yang kebiasaannya mengalami pendebungaan sendiri. Buah lada yang lebih dikenali sebagai beri, berwarna hijau dan berkeadaan lembut di peringkat awal pembentukan. Ia bertukar ke warna hijau tua dan menjadi keras apabila matang. Kulit luar (eksokarpa) berwarna kuning dan merah cerah dan menjadi lembut apabila masak. Setiap beri lada mengandungi biji tunggal yang diselaputi isi buah (mesokarpa). Lada hitam terdiri daripada keseluruhan beri yang telah dikeringkan manakala lada putih adalah biji lada. Pada penulis mendapati dimana rasa pedas buah lada adalah disebabkan oleh kehadiran bahan alkaloid piperine, chavisine dan piperettine manakala pada minyak pati menghasilkan aroma lada. Kedua-dua sebatian tersebut membentuk oleoresin yang dapat diperolehi melalui proses ekstraksi pelarut. Kepedasan lada juga dipengaruhi oleh varieti dan persekitaran penanaman lada.


Pada masa ini banyak varieti atau kultivar terutama di negara India yang merupakan tempat asal tanaman lada. Bagaimana pun di Sarawak antara variti/kultivar yang paling banyak ditanam ialah Varieti Kuching (Sila anda lihat foto disebelah). Selain itu melalui daripada aktiviti berterusan penyelidikan, Jabatan Pertanian Sarawak telah menghasilkan dua varieti  iaitu varieti 'Semongok Perak' dan varieti 'Semongok Emas' dimana keduanya kini telah disyorkan kepada petani (Sila baca artikel berkaitan - Sila klik disini). Terdapat 47 'kemasukan' (accessions) Piper nigrum dan 46 'kemasukan' (accessions) spesies Piper di dalam koleksi germplasma lada di Pusat Penyelidikan Pertanian Semongok. Bahan-bahan ini digunakan untuk program penambahbaikan tanaman lada. Lada Hitam di Sarawak sebenarnya mula ditanam oleh pekebun Cina tetapi kini kira-kira 87 peratus daripada pekebun lada adalah kaum bumiputera, terutama kaum Iban dan Bidayuh iaitu hasil daripada galakan dan bantuan skim penanaman yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian sejak tahun 1972. Penulis yang pernah bertugas di Jabatan Pertanian Sarawak dari 1995-1997 dapat melihat industri penanaman lada hitam diseluruh negeri tersbut. 


Penanaman lada di Sarawak dijalankan atau ditanam sebagai tanaman tunggal atau secara Monokrop tanpa naungan khas terutamanya di kawasan lereng yang bercerun landai dan curam (Sila lihat foto disebelah). Lazimnya bagi kebun lada yang terletak di kawasan rendah dan mendatar maka perlu ada sistem parit perlu disediakan kerana tanaman ini tidak sesuai jika ada akar terendam dalam air. Pokok lada ditanam di atas busut (mounting) yang mesti disediakan semasa penyediaan tanah. Secara tradisional lazimnya pekebun mengamalkan merumpai bersih kebun lada mereka. Amalan ini sering mengakibatkan hakisan tanah yang teruk dimana ia boleh merosakkan permukaan tanag dan sebab itu pekebun lada kini digalakkan menanam tanaman penutup bumi. Menanam di ladang perlukan masa yang betul dan disesuaikan dengan cuaca. Masa yang paling sesuai menanam lada adalah di antara bulan Oktober hingga Disember. Bahan tanaman yang boleh digunakan ialah keratan tanpa akar, keratan berakar atau keratan dalam polibeg. Jarak antara tanaman yang disyorkan ialah 2.5m x 2.0m (2,000 pokok lada/hektar). Keratan yang baru ditanam perlu diberi naungan atau lindungan sehingga ia tumbuh dengan sempurna. Tiang sokongan amat penting bagi tanaman ini. Pokok lada yang masih muda dilatih untuk tumbuh memanjat pada tiang sokongan. Secara tradisional, tiang kayu belian digunakan sebagai sokongan. Walau bagaimanapun, hasil kajian telah mendapati tiang sokongan hidup daripada pokok jenis kekacang (contohnya Gliricidia sepium dan Erythrina indica) sesuai digunakan sebagai tiang sokongan alternatif.


Pemangkasan atau aktiviti cantasan amat perlu dilakukan pada tanaman ini. Lazimnya pokok lada hendaklah dicantas untuk menggalakkan kadar pembentukan kanopi yang sesuai. Tiga pusingan pemangkasan disyorkan: pangkasan pertama ialah enam bulan selepas menanam untuk pengeluaran tiga pucuk utama. Pangkasan kedua adalah di peringkat 12–14 bulan apabila pokok lada mencapai ketinggian separuh tiang sokongan. Pangkasan terakhir dilakukan apabila pucuk utama mencapai bahagian atas tiang sokongan dan ini adalah seiring dengan masa pengeluaran buah yang pertama. Program pembajaan ang berjadual membolehkan pook tumbuh subur dan mengeluarkan hasil banyak serta berkualiti. Pokok lada memerlukan banyak bekalan nutrien. Penggunaan baja kimia adalah penting untuk pengeluaran hasil yang tinggi. Pengapuran juga perlu dilakukan untuk meningkatkan kandungan zat pemakanan Kalsium (Ca) dan Magnesium (Mg) serta untuk mengawal kemasaman (pH) tanah. Pokok lada muda perlu kerap dibaja dengan baja yang mengandungi nutrien utama Nitrogen (N), Fosforus (P) dan kalium (K). Pokok lada matang pula memerlukan bekalan nutrien dalam kuantiti yang banyak. Keperluan baja, komposisi nutrien dan jadual pembajaan untuk pokok lada yang matang dan belum matang telah dikaji. Gejala kekurangan nutrien dan keracunan juga telah dihuraikan.
Pokok lada lazimnya mengeluarkan hasil yang pertama pada awal musim hujan di tahun kedua penanaman. Pengutipan hasil dilakukan mulai bulan Mac hingga Ogos. Lada hitam dihasilkan dengan menjemur buah lada yang telah matang tetapi belum masak di bawah cahaya matahari. Lada putih diproses dengan merendam buah lada dalam air bersih yang mengalir untuk membuang lapisan isi buah (perikarpa) sebelum dikeringkan di bawah matahari. Untuk penghasilan lada putih, sagaran buah yang mempunyai banyak buah yang hampir masak digunakan. Kawalan serangga dan penyakit perlu dijalankan kerana ada banyak serangga perosak dan penyakit boleh menyebabkan kerosakan pada tanaman lada. Serangga perosak utama yang merosakkan pokok dan bunga lada ialah Kumbang Belalai (Lophobaris piperis) dan Kepinding Lada (Dicronocoris hewetii).serta Kumbang Rokok (Lasioderma serricorne) yang boleh merosakkan biji lada semasa dalam proses penyimpanan. Penyakit yang biasa menyerang lada adalah disebabkan oleh kulat yang membiak dalam keadaan yang panas dan lembap. Penyakit yang perlu diawasi oleh pekebun lada ialah penyakit Reput Akar (Phytophthora capsici), Penyakit Buah Hitam (Colletotrichum capsici, C. piperis dan C. gloeosporioides), Penyakit Aendawan Angin (Corticium salmonicolor), Penyakit Hawar Lembut (Septobasidium sp.), Penyakit Akar Putih (Rigidoporus lignosus) dan Penyakit Kuning (disebabkan oleh gabungan serangan Cacing Nematod Radopholus dan Kulat (Fusarium solani)Cacing nematod (Meloidogyne spp.) menyerang bahagian akar pokok lada. Penyakit daun keriting yang disebabkan oleh virus juga boleh menyerang pokok lada muda dan matang. Kawalan perlindungan tanaman lada daripada serangga perosak dan penyakit dengan menggunakan bahan kimia menyebabkan kos pengeluaran lada meningkat.


Dalam aspek pemasaran lada hitam, pada masa ini dan sejak beberapa belas tahun kebelakangan ini harga lada dipasaran dunia adalah stabil. Kini kira-kira 70 peratus lada keluaran Sarawak dieksport dalam bentuk lada hitam dan selebihnya 30% adalah sebagai lada putih, jeruk lada, lada nilai tambah dan produk hasil lada yang lain. Di kawasan pedalaman selalunnya pekebun kecil akan menjual hasil lada mereka kepada peniaga di kampung yang kemudiannya menjual kepada peniaga di bandar. Di kawasan yang berhampiran bandar, pekebun akan menjual terus kepada peniaga di bandar atau pengeksport. Lembaga Pemasaran Lada Hitam, sebuah Agensi Persekutuan yang ditubuhkan pada tahun 1972, bertanggungjawab terhadap maklumat pemasaran, promosi dan pengembangan, penambahbaikan kualiti, perdagangan, peraturan pemasaran melalui pelesenan peniaga dan pengeksport lada serta pembangunan produk lada. Penulis akan bincangkan beberapa masaalah dan kekangan yang perlu diketahui kepada pekebun kecil sedia ada atau pun bakan penanam lada yang baru. Antara masalah utama dan kekangan yang dihadapi oleh pekebun lada adalah seperti peningkatan kos pengurusan serangga perosak dan penyakit, Harga baja dan kos tenaga kerja bertambah dan Harga pasaran eksport yang turun naik. Bagaimana pun kajian oleh saintis tempatan diteruskan terutama bagi menyediakan koleksi koleksi gemplasm dan penilaian peringkat ladang serta pembiak baikan dan pemilihan genotip yang sesuai dengan ciri yang diingini. Kajian mengenai keperluan baja mengikut jenis tanah, genotip dan tanaman penutup bumi juga dijalankan. Perlu juga diujudkan teknologi amalan penanaman untuk sistem pengeluaran lada berkos-rendah serta aktiviti untuk kaedah pengutipan hasil menggunakan tenaga buruh yang kurang. Kajian seperti kaedah kawalan penyakit reput akar Phytophthora yang berkesan juga dilakukan. Dilakukan kuba analisis sisa baki racun perosak bagi lada yang diproses serta penggunaan kaedah bioteknologi untuk pembiakbakaan, penandaan DNA dan diagnostik penyakit lada. Sasaran kawasan tanaman lada akan diperluas kepada 20,000 hektar menjelang 2020. Pada masa ini ada 14,600 hektar tanaman lada yang sedia ada di Sarawak.


Penulis merujuk kepada kenyataan akhbar tempatan dimana kawasan tanaman lada di Sarawak akan bertambah seluas 6,000 hektar dalam tempoh lapan tahun akan datang. Pengeluaran lada Malaysia juga dijangka meningkat 1.9 peratus iaitu 26,500 tan metrik pada tahun 2013 berbanding 26,000 tan metrik pada tahun ini. Langkah yang dijalankan Lembaga Lada Malaysia (LLM) adalah baik kerana mereka akan menumpukan kepada produktiviti dan juga mutu pengeluaran lada. Ini seimbang dengan kehendak negara-negara yang membeli produk lada dari Sarawak. Lada Sarawak setakat ini memang tidak pernah ditolak oleh mana-mana negara pembeli sama ada dari segi pengeluaran, pemprosesan dan pemasarannya. Pematuhan standard dan kawalan mutu menunjukkan produk lada hitam tempatan bersaing dengan negara-negara industri pengeluar lada lain. Pada masa ini pembeli utama lada Malaysia ialah Jepun, Korea, China, Eropah, Australia dan Taiwan. Pada masa ini komponen dari segi sektor dan bantuan akan ditingkatkan kepada golongan petani. Kerajaan akan menyerahkan kepada petani sendiri untuk mengusahakan tanaman lada, mungkin terhad dari segi kemampuan, namun mereka boleh dibantu menerusi program tanaman lada untuk skim baik pulih lada, skim tanaman baharu, 1AZAM dan bantuan ‘one-off’. Pada masa ini harga ladang bagi lada putih krim ialah RM34 sekilogram, lada putih RM25.80 sekilogram dan lada hitam RM16 sekilogram dan harga ini diramalkan agak stabil. Semuga artikel ke 4,137 ini menjadi sumber bacaan ilmu mengenai tanaman lada untuk pembaca blog ini. Wasallam!.

NAMA LADA... HITAM PUTIH JADINYA...
NEGERI SARAWAK...PENGELUAR UTAMA...
3 VARIETI LADA... DITANAM SEMUANYA...
ARTIKEL DITULIS.. RUJUKKAN BERSAMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist, 
Projek Tanaman Lada, 
Bentong, Pahang,
Malaysia.
(21 Muharam 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...