Support My Blog

Thursday, October 6, 2016

BETIK - TKPM PULAU MANIS

TANAMAN BETIK (Carica papaya) di TKPM Pulau Manis, Kuantan, Pahang merupakan satu aktiviti penanaman yang berjaya menjana pendapatan kepada peserta Encik Raja Idris Raja Abdullah. Beliau yang diberikan kawasan TKPM seluas 4.26 hektar kini ditanam dengan betik Sekaki dan Markisa semenjak hampir 10 tahun. Lot 3 dan Lot 4 ini merukapak kawasan tanah landai dari jenis alluvium berpasir sesuai untuk tanaman makanan dengan mempunyai bekalan air mencukupi dari beberapa buah kolam disekitarnya. Daripada luas tersebut peserta ini pernah menanam seluas 3.38 hektar dengan beberapa jenis tanaman seperti sayuran peria, petola, labu manis, labu air, terung panjang dan beberapa jenis lagi sebelum menukarnya kepada Betik dan Markisa. Sehingga Jun 2016 beliau telah menghasilkan sebanyak 37,886 mt betik dan markisa bernilai sekitar RM138,160. Pada masa ini purata tuaian buah betik adalah sebanyak 2.5 mt seminggu atau 10 mt sebulan. Tinjauan penulis mendapati kini beliau tumpukan penanaman betik sekaki kerana memberikan pendapatan lebih konsistent berbanding dengan tanaman sayuran yang harganya tidak menentu dipasaran. Betik Sekaki yang di hasilkan biasanya dijual tidak kurang daripada RM1.20 sekilogram dan semasa tinjauan dijual dengan harga ladang RM1.80 - RM2.00 sekilogram. Harga betik lazimnya agak tinggi dari bulan Januari - April dan bulan Oktober - Disember setiap tahun. Bagi markisa pula beliau dakwa lebih menguntungkan kerana harga ladang biasanya tidak kurang daripada RM4.00 sekilogram. Permintaan untuk buah markisa amat tinggi dimana ada peraih yang meminta beliau menanam dan membekalkannya dimana ia akan diperluaskan dimasa akan datang. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penanaman betik dan amalan agronominya di TKPM Pulau Manis sekadar dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.


Pokok Betik Sekaki yang berbuah kini berumur 2 tahun lebih dengan beberapa lot ditanam secara berperingkat-peringkat. Peringkat muda baru beberapa bulan ditanam dengan kaedah menggunakan anak benih daripada cantuman dewasa pada pokok (Sila lihat foto disebelah). Pokok yang telah terlalu tinggi akan dipotong sekitar 1 meter dari paras tanah dan dibiarkan tunas-tunas keluar. Pemilihan pokok yang hendak dijadikan pokok induk penting dari pokok jenis Buah Hermaprodite, berbuah banyak, tahan dari serangan penyakit dan perosak serta subur. Tunas-tunas air akan ditutkan dengan kaedah dan menggunakan media cocoapeat dan diikat kuat sehingga keluar akarnya. Hanya satu tunas atau dahan sahaja akan ditinggalkan untuk menjadi pokok baru (ratoon) dan akan menghasilkan buah. Kaedah ini menurut beliau amat praktikal kerana selain daripada beliau boleh dapat hasil berterusan didapati anakbenih yang digunakan akan cepat berhasil dan mendapat pokok hermaprodite yang sama seperti pokok induknya. Beliau sudah tidak mahu lagi untuk menggunakan biji benih betik yang disemai. Ini kerana setiap lubang penanaman perlu tanam 3-4 pokok dan perlu dibuang pokok betina dan pokok jantan kemudiannya atau menbuat cantuman lain pada pokok penanti. 


Anakbenih betik tut ini yang telah berakar akan dipotong dan ditanam dikawasan penanaman baru. Semasa menanam semua bahagian daun yang ada dibuang dahulu kerana jika tidak dibuang maka anakbenih akan selalunya boleh mati. Ini kerana akar yang terdapat pada pangkal pokok sangat sedikit dan tidak mencukupi untuk digunakan oleh daun hijau yang masih segar diatasnya (Sila lihat foto disebelah). Bagi menghasilkan anakbenih cara ini perlu ada kemahiran dan perancangan khusus untuk mendapatkan anakbenih yang berkualiti. Teknik pembiakanan betik cara begini semakin menarik minat penanam betik kerana ia menjimatkan masa, kos yang murah, cepat berbuah, dapat jaminan kualiti seperti pokok induk dan sesuai untuk diamalkan. Penulis memberi nasihat kepada petani agar berhati-hati dengan teknik pembiakan cara ini kerana ada kemungkinan apabila ada serangan penyakit maka kesan serangan akan cepat membiak kerana ia daripada pokok induk yang hampir sama. Beliau pernah menanam Betik Eksotika 2 tetapi banyak masaalah dan kini tidak mahu menanamnya lagi. Antara masaalah semasa menanam betik EKsotika 2 adalah peringkat penanaman dari biji benih yang peratus percamabahan rendah, mudah diserang penyakit dan sangat sensitif dengan sanitasi dan sistem pembajaan. 


Sistem pengairan dan pembajaan juga memainkan peranan penting dalam penanaman betik. Sistem pengairan renjis (sprinkler system) disediakan untuk menjamin bekalan air kepada setiap pokok mencukupi. Tanaman betik amat sessitif dengan bekalan air yang mana kekurangan air menjejaskan proses pendebungaan dan tumbesaran buah. Baja organik tahi ayam sentiasa diberikan bersama dengan baja Kimia (NPK) serta baja Boron. Buah yang matang pada pokok tinggik dipetik menggunakan galah yang ada jaring agar buah tidak jatuh ketanah dan merosakkan kulitnya. Buah yang matang akan dikumpulkan dalam bakul dan digredkan mengikut kualiti. Buah Gred A adalah buah hermaprodit yang cukup besar dan panjang dijual dengan harga RM1.80 sekilogram dan buah Gred B dijual dengan harga RM1.20 sekilogram. Buah betik betina dan buah sub-grade akan dikumpulkan dan dijual kepada Zoo Gambang Resort, Kuantan dengan harga RM1.00 sekilogram untuk makanan haiwan di zoo tersebut. Kejadian kemarau dan suhu melampau dari bulan Januari - April 2016 akibat El-Nino menyebabkan berlaku kekurangan buah di kebun beliau. Bagaimana pun ia mula pulih apabila cuaca sudah kembali normal masa ini. Walau pun air diberikan semasa kemarau tetapi kadar pembentukkan bunga dan buah masih terjejas. Penanaman betik merupakan satu bidangusaha yang boleh memberikan keuntungan kepada petani jika tidak berlaku serangan PSRV dan Papaya Dieback. Kawasan terpencil dan penjagaan yang baik dikebun ini membolehkan ia masih boleh berhasil untuk beberapa bulan lagi. Wasallam!!.
 MENANAM BETIK... BETIK SEKAKI...
ASAL MENANAM...GUNAKAN BIJI...
CANTUMAN TUNAS...KINI MENJADI...
CEPAT BERBUAH... SEMUA BERKUALITI..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Lot 3 dan Lot 4, TKPM Pulau Manis,
Kuantan, Pahang, 
Malaysia.
(4 Muharam 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...