Support My Blog

Sunday, October 30, 2016

LADA HITAM - PENGURUSAN PEROSAK

LADA HITAM (Piper nigrum) merupakan tanaman yang dikenali oleh masyarakat seluruh dunia sebagai ramuan masakan perisa dan sos. Berasal dari barat daya India ditanam di Sarawak sejak tahun 1856 dimana ia diusahakan secara meluas sekitar 1900an lagi. Malaysia menduduki tempat kelima lada dunia selepas Vietnam,India,Indonesia dan Brazil. Bukan mudah untuk menanam lada hitam untuk menghasilkan buah berkualiti dan gred yang baik. Lada Hitam masih merupakan salah satu tanaman kontan yang penting sebagai punca pendapatan untuk kira-kira 67,000 penduduk terutama di kawasan pedalaman Negeri Sarawak. Keluasan purata kebun lada direkodkan masa kini adalah 0.2 hektar. Lada banyak ditanam di beberapa daerah yang aktif menanam seperti di Bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Sarikei. Anggaran semasa kawasan penanaman lada hitam di Sarawak ialah kira-kira 13,000 hektar (Sumber: Laporan Tahunan, Jabatan Pertanian Negeri Sarawak 2015). Malaysia mengeksport sebanyak 19,748 tan metrik lada pada tahun 2004 berbanding sebanyak 18,824 tan metrik pada tahun 2002 yang masing-masingnya bernilai RM113.2 juta dan RM120.0 juta. Hampir 98 peratus hasil dari pengeluaran lada di Malaysia adalah di Negeri Sarawak. Pengeluaran untuk tahun 2004 adalah 20,000 tan metrik. Agensi yang menjaga industri lada hitam adalah Lembaga Lada Malaysia yang dulunya dikenali dengan Jemaah Pemasaran Lada Hitam Malaysia (JPPH) yang beribupejabat di Kuching, Sarawak. Bentuk Lada untuk Eksport masa kini adalah dimana kira-kira 95 peratus perdagangan lada dunia adalah dalam bentuk Lada Hitam (Black Pepper) dan Lada Putih (White Pepper). Bentuk lain adalah dalam bentuk oleoresin lada, minyak lada, lada hijau dan lada kisar. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai Pengurusan Perosak tanaman lada hitam iaitu Kumbang Belalai, Pianggang Hijau dan Kepiding Lada yang terdapat di Malaysia.

(1) Kumbang Belalai
Kumbang Belalai (Lophobaris piperis) atau Pepper weevil merupakan sejenis serangga yang menyerang tanaman lada hitam. Kebersihan kebun merupakan faktor yang amat penting bagi serangan kumbang ini. Semua dahan dan batang pokok yang rosak hendaklah dicantas dengan pisau tajam atau gunting (scateurs) dan bakar. Tisu yang mati dibahagian bawah utama batang pokok terutama sekali yang mencecah bahagian tanah mesti dikikis untuk membuang ulat dan pupa kumbang ini. Sanitasi kebun amat penting dimana petani perlu mengumpulkan semua batang kayu, sampah, daun mati dan ranting dan kemudian dibakar. Sebagai kawalan ketat sebaiknya musnah kebun-kebun lada hitam terbiar (abandone's pepper farm) yang telah diserang kumbang ini. Sebaiknya pokok disembur dengan racun kimia seperti racun jenis sistemik seperti Cybermethrin. Semburan dilakukan terutama dikawaan dalam kanopi iaitu tempat dimana serangga dewasa bersembunyi. 


(2) Pianggang Hijau
Pianggang Hijau (Dicronocoris hewetii)) merupakan sejenis serangga yang menghisap cairan dalam batang tumbuhan. Pianggang ini dikenal dengan sebutan nyamuk lada, enduk-enduk, kapal terbang atau fui khicong (Bangka). Didapati peringkat nim dan dewasa merosakkan bahagian bunga dan tandan bunga. Serangan ringan dapat menyebabkan tandan rosak, bentuk tidak seragam dan buah hanya amat kurang. bagaimana pun serangan yang serius akan menyebabkan seluruh bunga menjad rosak, tangkai hitam dan kemudian ia akan gugur sebelum waktunya. Pianggang hijau ini juga memakan buah muda. Kawalan dilakukan dengan semburan racun kimia atau racun serangga seperti Dimethoate, Deltamethrin atau Lamda-Cyhalothris mengikut aturan pada label. Sebaiknya penanam lada hitam menyelaraskan masa pengeluaran bunga lada. Buangkan bunga lada hitam yang keluar dari musim bertujuan untuk memecahkan pusingan atau kitaran hidup perosak ini.


(3) Kumbang Rokok
Kumbang Rokok (Lasioderma serricorne) merupakan sejenis kumbang yang menyerang biji lada hitam ketika dalam simpanan disetor. Kumbang kecil berwarna coklat ini akan menebuk biji lada dan memakan isinya (Sila lihat foto disebelah). Sediakan tempat dan bekas penyimpanan yang sesuai dan bertutup rapat untuk elakkan serangan. Lada Hitam yang diserang akan menurun kualitinya.


(4) Hama Penghisap Buah  
Serangga ini (Dasynus piperis) juga dipanggil sebagai nama Kepik, Kepinding dan Belalang Sangit. Apabila menyerang buah lada hitam muda menyebabkan tandan buah banyak yang kosong dan jika pada kadar seerangan pada buah tua menyebabkan buah menjadi hampa, kering dan kemudian ianya akan gugur. Serangan teruk menyebabkan hasil berkurangan dan kualiti lada yang rendah mutunya. Kawalan dilakukan dengan semburan racun kimia atau racun serangga seperti Dimethoate, Deltamethrin atau Lamda-Cyhalothris mengikut aturan pada label. Sebaiknya penanam lada hitam menyelaraskan masa pengeluaran bunga lada. Buangkan bunga lada hitam yang keluar dari musim bertujuan untuk memecahkan pusingan atau kitaran hidup perosak ini.
Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam..
TANAM LADA.. DISERANG SERANGGA...
KUMBANG BELALAI ...PEROSAK LADA..
PIANGGANG HIJAU...MENYERANG JUGA...
PERLU DIKAWAL.. RACUN DAN LAINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kebun Tanaman Lada Hitam,
Bentong, Pahang,
Malaysia.
(29 Muharam 1438H)





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...