KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, October 19, 2016

KOPRA - APA DIA?

KOPRA (Copra) adalah hasilan daripada buah kelapa (Cocos nucifera) yang diproses sebelum dijadikan bahan lain seperti minyak kelapa dan sebagainya. Industri pembuatan kopra merupakan satu aktiviti yang dahulu paling signifikan dikalangan penanam kelapa sebagai satu kaedah atau cara menjadikan hasilan kelapa dapat dipasarkan terutama jika ditanam dikawasan tanaman kelapa yang berada jauh dipendalaman. Pasaran kelapa segar hanya berlaku apabila permintaan terhadap hasilan kelapa seperti santan kelapa adalah terhad dan dikawasan ramai penduduk. Kebanyakkan negara penanam kelapa yang luas seperti di Indonesia, Filipina dan beberapa negara kepulauan akan menjadikan industri pembuatan kopra sebagai satu aktiviti pertanian prnting. Dalam bahasa mudah Kopra adalah daging buah (tau isi) kelapa yang telah dikeringkan. Buah kelapa matang yang gugur akan dibuang sabutnya dan dipecahkan sebelum dicungkil isinya yang berwarna putih untuk dijemur sebagai proses pengeringan (Sila lihat foto diatas). Kopra merupakan salah satu produk dari pokok kelapa kelapa yang sangat penting. Dalam industri kelapa bahagian ini merupakan bahan asas untuk pembuatan minyak kelapa dan pelbagai produk hiliran yang lain. Penulis membuat penelitian dimana untuk membuat kopra yang baik adalah memperlukan buah kelapa yang telah berumur sekitar 300 hari (hampir setahun) dan mempunyai berat buah sekitar 3-4 kg. Setelah kopra siap dikeringkan makan ia boleh diekstrak minyaknya dan apa yang tertinggal merupakan produk sampingan yang mengandungi bahan protein tinggi (18-25%). Bagaimana pun bahan ini memiliki serat yang sangat tinggi sehingga tidak boleh dimakan oleh manusia. Produk sampingan selalunya akan diberikan pada ternakan haiwan ternakan sebagai satu sumber bahan makanan ternakan.  Artikel malam Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kopra sebagai usaha memberi info kepada pembaca semua.


Sebenarnya kaedah untuk memproses kopra kepada produk minyak dan produk hiliran lain ada beberapa cara. Secara umumnya ia ada empat kaedah iaitu (1) Pengeringan dengan menjemur dibawah sinar matahari (sun drying), (2) Pengeringan dengan dipanaskan menggunakan bara atau (3) Mengasap di atas api (smoke curing or drying) dan ke 4 adalah dengan cara Pengeringan dengan pemanasan secara tidak langsung (indirect drying). Proses pengeringan kopra menentukan kualiti minyak yang akan diekstrak kelak dan harganya. Kopra yang berkualiti biasanya mempunyai kandungan air 6% - 7% agar kopra tersebut tidak mudah terserang organismaatau patogen perosak. Kerosakan yang selalu terjadi pada kopra secara umumnya adalah disebabkan oleh serangan bakteria dan serangan oleh cendawan. Serangan tersebut sering terjadi jika kadar kandungan air dalam kopra tinggi, kelembaban udara mencapai 80% atau lebih dan suhu atmosfera atau sekelilingnya telah mencapai 30°C. Cendawan yang sering menyerang kopra adalah jenis cendawan Rhizopus sp, Aspergillus niger dan Penicillium glaucum. Sanitasi dan amalan GHP atau HACCP yang baik membantu didalam megawal srangan perosak dan penyakit kopra. Penulis dapati ada 4 jenis gred untuk kopra. Antara yang biasa digunakan dirantau ASEAN adalah Highgrade copra dan Mixed copra. Selalunya peralatan yang digunakan untuk membuat kopra seperti alat mencungkil kopra dan mesin pengering kopra. Mesin pengering kopra direkabentuk untuk memudah dan mempercepatkan proses membuat kopra.


Terdapat 4 cara memproses kopra dengan mengeringkan bahagian isi kelapa. Cara pertama dengan teknik menjemur kelapa dibawah sinaran matahari (Sila lihat foto disebelah). Cara ini selalunya akan mengambil masa selama 5-7 hari dimana cara ini sangat bergantung pada keadaan cuaca yang panas dan suhu tinggi. Bagaimana pu cara ini selalunya menyebabkan kualiti kopra tidak stabil dan ada kulat serta kadar air kurang maksima adalah ciri khas dari teknik ini. Ianya mudah dan murah dilakukan.  Cara kedua mengeringkan kopra adalah dengan menjemur dimana ia dilindungi dari hujan panas dengan Bertudung Plastik. Kaedah ini merupakan ubahsuai dari menjemur terus sinar matahari cuma tudung plastik adalah melindunginya dari terdedah terus kepada air hujan. Panas yang masuk ke dalam kawasan tudung plastik akan bertahan lama sehingga proses menjemur boleh lebih cepat dari kaedah menjemur terdedah biasa. Teknik atau cara penjemuran ini lebih baik dari cara penjemuran matahari terus seperti kaedah pertama.  Kaedah ke 3 adalah dengan cara 'Pengasapan' dimana cara ini adalah teknik yang kini banyak diamalkan dikalangan penanam kelapa untuk kopra. Isi kelapa yang dicungkil akan dimasukkan ke dalam para-para tungku pengasapan dimana dibawahnya disediakan bara api dengan membakar sabut kelapa atau tempurung. Kelebihan cara ini kerana ia perlukan hanya 3 hari sahaja untuk mengasapnya dan kopra lebih berkualiti. Teknik Pengeringan ke 4 adalah dengan menggunakan OVEN. Kaedah pengeringan kopra cara ini adalah yang terbaik untuk menghasilkan kopra. Teknik yang dipakai adalah gunakan oven jenis atau Model Lade oven. Proses mudah dimana kelapa basah disusun dalam oven dan kemudian dipanaskan dalam keadaan pintu ditutup. Dalam oven ini lazimnya suhu panas sekitar 40 darjah Celcius sehingga suhu 80 darjah Celcius disesuaikan. Suhu Panas akan menghasilkan kopra yang berkualiti. 


Petani yang menanam kelapa jauh daripada kawasan bandar selalunya tiada pilihan lain selain memproses hasil kelapa sebagai Kopra. Mereka tiada pilihan lain bagi buah kelapa yang banyak. Penulis yang pernah melawat negara jiran dulu untuk melihat kaedah dan bagaimana buah kelapa dihanyutkan dengan sungai untuk dihantar kepusat membuat kopra (Sila lihat foto disebelah). Kelapa ini juga yang diimport oleh Malaysia melalui pelabuhan di Batu Pahat untuk kegunaan kilang memproses kelapa. Malaysia mengimport berjuta biji kelapa tua dari Indonesia terutama dari Sumatera untuk diproses oleh sebanyak 17 buah kilang yang mempunyai kuota mengimport kelapa tua biji. Kopra merupakan hasil dari isi kelapa kering yang memiliki kadar kandungan air sekitar 15-20%. Kopra biasanya akan diproses menjadi minyak masak yang penting dan lebih harganya dipasaran. Petani yang menanam dan memproses kelapa menjadi kopra hanya mendapat pulangan hasil pendapatan yang kurang sedikit berbanding dengan mereka yang menanam kelapa sawit. Ini menyebabkan mereka kini telah menukar tanaman kepada jenis lain sebelum diperkenalkan dengan kelapa baru seperti varieti Kelapa Matag dan Kelapa Pandan. Jenis kelapa Malayan Tall (CN1) hanya berbuah 7-8 tahun selepas ianya ditanam dengan purata hasil sekitar 7,000 - 8,000 biji sehektar setahun. Penanaman kelapa Matag (CN13, CN14 dan CN15) mampu menghasilkan diantara 15,000 - 18,000 biji sehektar setahun dengan buah yang lebih berkualiti. Pada masa ini aktiviti membuat kelapa kopra di Malaysia sudah berkurangan kerana harga pasaran kelapa tua biji yang stabil dan ramai petani lebih berminat menukar kepada menjual kelapa muda. Aktiviti memproses kelapa kepada Virgin Coconut Oil (VCO) juga menyebabkan kenapa kopra semakin kurang dibuat kerana harga VCO adalah tinggi dipasaran. Semuga artikel ini memberi info berguna untuk rujukkan anda.. Wasallam!!!.
KELAPA DIKERINGKAN... JADI KOPRA...
BANYAK CARA...UNTUK KERINGKANNYA...
DIJADIKAN MINYAK..MINYAK KELAPA...
BUAT VCO... LEBIH UNTUNG RASANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Kelapa,
Kg Semangat, Kuantan,
Pahang, Malaysia.
(13 Muharam 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...