KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, October 20, 2016

DURIAN BELANDA - 'TEKNIK GEGARAN'

DURIAN BELANDA (Annona muricata) merupakan sejenis buah-buahan kini merupakan sejenis tanaman buah-buahan yang semakin menarik minat ramai usahawan dan pekebun kecil, Ini kerana harga buah segar diladang sekitar RM7.00 - RM10.00 sekilogram dan harga runcit sekitar RM16.00  - RM20.00 sekilogram. Teh Daun Durian Belanda pula kini telah mendapat pasaran amat baik kerana dipercayai boleh merawat beberapa masaalah kesihatan seperti Kanser, Gout, Darah Tinggi dan beberapa masaalah lain. Dalam pada pengamatan dan pemerhatian penulis, kadar pengeluaran buah durian belanda yang ditanam tanpa apa-apa bantuan proses pendebungaan adalah amat rendah. Ini kerana kematangan bunga betina dengan bunga jantan adalah berbeza masanya dimana ini telah menyebabkan kejayaan pendebunggan rendah secara semulajadi. Bunga betina durian belanda akan mula matang (receptive) sekitar jam 4.00-5.00 petang sedangkan masa matang debunga pada bunga jantan (anthers) adalah bermula dari jam 8.00 - 9.00 malam. Bunga durian belanda yang tidak membuanyai bau, warna kurang menarik dan tiada nektar menyebabkan agen pendebungaan seperti serangga, semut, lebah, burung dan sebagainya kurang tertarik untuk mengunjungi bunga durian belanda dan menjalankan proses pendebungaan. Kadar peratus kejayaan pendebungaan secara semulajadi hanya sekitar 6% sahaja. Teknologi pendebungaan berbantu durian belanda (Assisted pollination) pula dilakukan untuk proses pendebungaan. Kaedah ini walaupun agak rumit prosesnya tetapi laporan kajian menunjukkan cara ini mampu mencapai 40% kejayaan. Bagaimana pun sebenarnya daripada beberapa rujukkan dan kajian yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian menunjukkan 'TEKNIK GEGARAN' adalah salah satu cara terbaik untuk proses pendebungaan tanaman durian belanda. Teknik ini berjaa memberikan peratus kejayaan tinggi sehingga 90% dan memberikan kualiti hasil yang berkualiti dan boleh dijual dengan harga berpatutan. Artikel subuh ini saya menulis lagi arikel ke 4,125 dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknik gegaran uang boleh dilakukan oleh pemilik dusun dengan betul dan tepat. 


Durian Belanda merupakan sejenis pokok buah-buahan tropika yang menghadapi masaalah pendebungaan yang rendah sekitar 6% sahaja. Penulis yang telah menulis lebih dari 15 artikel mengenai durian belanda setakat ini merasa ada banyak masaalah didalam proses pendebungaan pokok durian belanda secara komersil. Masaalah utama didalam industri ini secara asasnya adalah prestasi atau kadar peratus kejayaan proses pendebungaan yang amat rendah secara semulajadi oleh serangga, angin dan sebagainya. Terdapat beberapa kes dimana ada petani yang menebang pokok durian belanda mereka yang matang kerana mendakwa pokoknya tidak berbuah pada beberapa tahun dulu yang penulis jumpa. Mereka nyatakan semua amalan agronomi dilakukan dan keadaan pokok subur serta berbunga tetapi buah yang dituai tidak berbaloi. Kejadian ini adalah disebabkan oleh proses pendebungaan secara semulajadi yang tidak berjaya berlaku kerana waktu puncak reseptif bunga betina adalah bermula sekitar jam 4.00 - 5.00 petang sedangkan waktu aktif puncak bagi bunga jantan yang menghasilkan debunga pada malam hari iaitu bermula sekitar jam 8.00 - 9.00 malam. Bunga durian belanda tidak mempunyai bau yang menarik perhatian serangga pendebunga, tiada manisan nektar dan warna yang kurang menarik. Ianya juga mempunyai kelopak yang tertutup menyebabkan sukar untuk menerima debunga lain yang terdapat disekitarnya. Selama ini amat kurang maklumat bagaimana untuk mengoptimakan kaedah pendebungaan durian belanda sehingga beberapa cara pendebungaan dibuat. Antara kaedah mendebungakan pokok durian belanda terkini adalah dengan cara Teknik Pendebungaan Berbantu(Assisted pollination technique) dan Teknik Gegaran menggunakan alat 'Muricata Shaker'. Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam"Anim Agro Technology" mengenai inovasi menggunakan Alat Muricata Shaker bagi meningkatkan kejayaan pendebungaan pokok durian belanda sehingga mencapai kejayaan 90% dan ianya amat menguntungkan usahawantani.



Pokok Durian Belanda mempunyai masaalah didalam proses pendebungaan kerana waktu matang diantara bunga betina dengan bunga jantan yang berbeza waktunya. Penulis merujuk kepada hasil kajian oleh Bridg, H. pada tahun 2000 dan beliau berjaya menghasilkan carta kesuburan bunga durian belanda seperti rajah diatas (Sila rujuk carta tersebut). Perkara ini juga disahkan oleh Ithnin (Penyelidik MARDI) dimana didapati bagi pokok durian belanda yang matang waktu kematangan bunga betina adalah bermula pada jam 4.00 - 5.00 petang untuk selama beberapa jam. Bagaimana pun waktu kematangan bunga jantan hanya bermula pada jam 8.00 - 9.00 malam. Perangai pokok durian belanda ini memang unik berbeza dengan beberapa tanaman buah-buahan lain kerana ciri seperti ini yang menyebabkan kadar pendebungaan secara semulajadi kurang berjaya. Kini penulis dapat info dimana waktu disyorkan untuk proses pendebungaan pokok durian belanda adalah diantara jam 8.00 - 10.00 malam (2000 hrs - 22hrs). Waktu ini adalah kerana bunga betina dan bunga jantan durian belanda berada dalam tempoh matang, kelopak bunga belum gugur dan ia dikelaskan dalam 'malam masih muda'. Sebenarnya waktu selepas itu pun masih boleh dilakukan proses pendebungaan tersebut. Selama ini angin yang bertiup pada waktu malam mungkin membantu 'mengegarkan' pokok durian belanda yang matang pada malam hari tetapi berapa kalikah angin kencang bertiup dikebun dalam seminggu atau sebulan?. Hipotesis penulis mendapati buah dibahagian atas pokok (Top area) selalunya bersaiz besar, bentuk penoh, banyak dan berkualiti juga berkait dengan kesan gegaran oleh perkara seperti dibincangkan ini. 


Kini dengan inovasi mencipta alat 'Muricata Shaker' ini diharap industri penanaman durian belanda di Malaysia tidak menjadi isu tidak berbuah atau hanya sedikit buah dihasilkan. Alat ini dicipta untuk membuat GEGARAN pada dahan pokok durian belanda agar gegaran ini akan menghasilkan pendebungaan pada bunga dipokok. Alat ini yang menggunakan logam aluminium stainless steel boleh laras hanya seberat kurang 0.5 kg (Sila lihat foto disebelah). Ia ringan, tahan lasak dan mudah dibawa kemana-mana kebun serta mudah untuk dibuat sendiri. Kos membuatnya juga murah daripada bahan yang boleh dibeli daripada kedai hardware. Komponen alat Muricata Shaker adalah tersiri daripada Galah Aluminium Stainless Steel (RM18.00), Lampu Suluh (RM8.00), Bateri Lampu Suluh 3 biji (RM4.50), Cangkuk Y (RM11.00), Tiub Getah (RM1.50), Hose Clip (RM4.00) dan Wire Tape (RM3.00) menjadikan jumlah kos membuatnya RM50.00 satu unit. Ia dipasang dengan kuat agar alat ini tidak mudah rosak atau terxabut dibahagian cangkuknya.


Cara menggunakan alat ini amat mudah iaitu dengan men'cangkuk'kan kepada bahagian dahan dan ranting pokok durian belanda di malam hari diantara jam 8.00 - 10.00 malam. Pengguna boleh MENARIK atau MENOLAK alat ini bergantung kepada keselesaan dan kedudukan dahan pokok durian belanda. Cangkuk 'Y' dwi fungsi ini juga amat mudah digunakan (Sila lihat foto disebelah). Oleh kerana aktiviti mengegarkan dahan pokok durian belanda ini dilakukan pada malam hari maka diingatkan agar pekerja perlu menggunakan lampu suluh di kepala untuk berjalan dan juga lampu suluh pada galah bagi mencari dahan yang hendak digegarkan. Pokok durian belanda mempunyai kanopi yang rendang dan pilih dahan sesuai atau sebaiknya keseluruhan dahan pokok digegarkan. Jangkamasa gegaran hanya beberapa saat sahaja sehingga pasti bahawa berlaku proses pendebungaan pada setiap bunga yang ada pada pokok tersebut. Kerja yang dilakukan pada waktu malam ini agak pelik kerana ia amat jarang diketahui selama ini. Bagaimana pun penulis ingin membuat peringatan semasa menjalankan kerja ini diwaktu malam kerana kadang-kadang ada bahaya yang boleh menganggu. Antaranya seperti kemungkinan terjumpa dengan haiwan binatang liar, ular pada pokok dan 'gangguan hantu'. Amat kurang pekerja yang mahu membuat kerja ini kalau tidak diberi imbuhan lebih tinggi.


Hasil daripada beberapa pemerhatian yang penulis dapati antara perbandingan diantara beberapa teknik pendebungaan durian belanda amat menakjubkan. Foto disebelah menunjukkan 3 kaedah pendebungaan pokok durian belanda matang. Kaedah pendebungaan semulajadi hanya mencapai purata kejayaan sekitar 6% sahaja (Sila lihat foto disebelah). Bagaimana pun keputusan kajian menunjukkan kaedah pendebungaan berbantu (assisted pollination) mampu mencapai peratus kejayaan sehingga 40%. Amat menakjubkan apabila penulis dapati teknik gegaran menggunakan alat Muricata Shaker direkodkan mampu mencapai kejayaan pendebungaan sehingga 90%!. Bentuk buah dan saiz buah yang dihasilkan juga lebih seragam, bersaiz besar dan juga boleh dijual dengan gred A yang lebih mahal harganya. Teknologi ini juga sesuai dilakukan oleh semua penanam durian belanda dengan menggunakan galah buluh bercangkuk, kayu panjang bercabang atau mengegarkan pokok durian belanda dengan kudrat sendiri. apa pun hanya waktu 8.00 - 10.00 malam sahaja ia sesuai dilakukan dan bukannya pada siang hari. Bagi bunga durian belanda yang melekat pada batang pokok atau pangkal dahan memang tidak boleh digegarkan. Teknik sesuai bagi bunga yang begini adalah dengan 'Menjentik Manja' bunga tersebut dengan jari pada awal pagi hari. Ia akan membantu mendebungakan bunga durian belanda yang dapat dicapai. Semuga artikel ini membantu ramai penanam durian belanda untuk lebih berjaya. Wasallam!!!..
RAMAI TANAM...DURIAN BELANDA...
HARGA MAHAL... ITU PENYEBABNYA...
ADA MASAALAH...PROSES DEBUNGA...
TEKNIK GEGARAN.. SELESAI SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Durian Belanda Komersil,
Kg Awah, Maran,
Pahang, Malaysia.
(11 Muharam 1438H)
Terimakasih semua yang ucap 'Happy Birthday' kepada saya Semalam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...