Kunyit (Cucuma domestica) merupakan satu jenis tumbuhan yang dikategorikan sebagai jenis herba berkhasiat daripada keluarga Zingiberaceae. Tumbuhan ini dari segi sejarah dipercayai telah lama di tanam di negara India sejak zaman silam lagi dengan nama kunyit ini wujud dalam bahasa sanskrit. Apa yang saya baca, di India dan Indo-Malesia kunyit dianggap dari Cochin-China dengan terdapat rekod dari expedisi Marco Polo yan telah direkodkan. Pada tahun 1280 ia menyebut bahawa Koncha (kawasan yang berjiran dengan Fokien, China) terdapat sejenis sayuran bercirikan betul-betul saffron (bahan pewarna dari stigma kuning Crocus sativus) tetapi bukan saffron yang sebenar. Laporan tersebut juga saya dapati bermaksud mungkin serbuk kunyit seperti saffron. Pada masa ini kunyit umumnya dijumpai diserata rantau tropika dan beberapa kawasan subtropika. Nama kunyit boleh didapati dalam berbagai bahasa di Asia. Dalam bahasa Sankrit ia dipanggil Harida, Arab (Kukum), Tamil (Manja), Inggeris (Tumeric), Cina (Kiang-hoang) dan Jawa (Kunyir). Penanaman kunyit di Malaysia tidak begiru luas dimana laporan daripada Jabatan Pertanian hanya melaporkan sekitar 12o hektar CHE sahaja pada tahun 2012. Kebanyakan tanaman kunyit dilakukan dipinggir kawasan kebun sayur atau ditanam dikawasan keliling rumah. Artikel subuh Rabu ini saya terus menulis didalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi tanaman kunyit dan beberapa ciri-ciri mengenai kunyit untuk kita lebih kenal dengan tanaman ini.
(1) BOTANI KUNYIT
Apa yang saya belajar dulu di Universiti, Tumbuhan Kunyit merupakan jenis tanaman herba saka tetapi ditanam sebagai tanaman tahunan. Tingginya boleh mencapai 1.0 meter jika ia dijaga dengan baik dan ia berbatang pendek dan daun-daunnya berjumbai keluar dari perdu pokok. Pelepah-pelepah daunnya menbentuk batang yang tumbuh menegak. Apa yang saya faham, dibahagian dalam tanah terdapat Ubi utamanya dan ia dipanggil rizom. Rizom ini lazimnya akan berbentuk bulat panjang serta mempunyai tunas-tunas cabang berkembang membentuk anak-anak ubi sisi yang mempunyai gelang-gelang rapat. Bahgian rizom dan ubi sisi inil adalah yang digunakan sebagai rempah-rempahan. Ubi sisi ini bercabang-cabang lagi sehingga keseluruhannya membentuk suatu rumpun. Bekas-bekas akar nampak jelas pada ubi-ubi sisi ini yang berwarna jingga kecoklatan dari luar. Pada bahagian dalamnya berwarna jingga terang atau agak kuning. Rasa ubi ini agak pahit dan getir dengan bau yang khusus. Ia berbunga dihujung batang dan panjangnya 10-15 cm. Daun-daun pelindung bunganya berwarna putih atau putih bergaris-garis hijau dan merah jambu dihujungnya, manakala yang terletak di bahagian bawah hijau muda. Bunganya putih atau kuning pucat dan mekar atau kembang bersama-sama (Lihat foto sebelah atas).
(2) IKLIM DAN TANAH
Dari segi kesesuaian tanah, saya dapati yang tanaman Kunyit sesuai ditanam dikebanyakan tempat di Malaysia yang mempunyai iklim panas dan lembap dengan suhu 15-35 C. Ia boleh ditanam di dataran rendah dari paras laut hinggalah pada paras 1,220 meter atas paras laut. Curahan hujan yang berterusan terutamanya di kawasan tadahan hujan adalah baik untuk penanaman kunyit. Hujan tahunan yang optima untuk kunyit adalah sekitar 100 hingga 200 cm. Hujan sederhana lebat diperlukan semasa menanam dan hujan lebat semasa peringkat awal vegetatif. Keadaan kering selama sebulan diperlukan sebelum penuaian dijalankan. Keadaan tanah sesuai bagi tanaman kunyit, biasanya bersaliran sempurna dan subur yang terdapat pada tanah jenis lom. Tanah rendah yang boleh bertakung air tidak sesuai kerana ianya peka terhadap keadaan terendam. Ketahanan pH tanah bagi tumbuhan ini adalah antara pH4.3 dan pH7.4. Pada tanah yang terlalu kering ketika musim yang agak panjang saya syorkan agar bantuan pengairan diperlukan. Sistem pengairan renjis atau sistem pengairan titis boleh digunakan mengikut kemampuan jika ditanam secara meluas.
(3) VARIETI KUNYIT
Varieti tang khusus dari tempatan jarang ditemui melainkan dari India dimana pelbagai varieti dikeluarkan dan dibiakbaik untuk tanaman komersial. Varieti-varieti yang ditanam di India yang sama keperluan ekologi-fisiologinya dengan Malaysia adalah seperti jadual dibawah.
(4) BAHAN TANAMAN
(4) BAHAN TANAMAN
Benih kunyit boleh ditanam dengan mengambil cebisan rizom dari bahan yang terpilih berat 20kg tiap-tiap satu digunakan sebagai bahan tanaman pada kadar 2.0 tan/hektar. Rizom perlu cukup tua, sihat dan mempunyai 1-2 mata tunas. Untuk mendapatkan cebisan bahan tanaman yang sihat, dinasihati memperolehinya terus dari ladang tanaman yang telah mengeluarkan hasil. Untuk memastikan cebisan rizom ini bebas dari penyakit, racun kulat digunakan. Bagi tujuan ini cebisan rizom direndam dalam larutan kulat selama 15-30 minit. Untuk mendapatkan pokok yang seragam pra-cambahan selalunya diamalkan. Ini memastikan tiada berlaku kegagalan pertumbuhan pada sesuatu lubang tanaman itu.
(5) PENANAMAN dan HASIL
Kunyit ditanam dengan bermulanya musim hujan diatas batas berukuran 1-1.5 meter lebar dan tinggi 20 cm serta panjang yang bersesuaian. Ianya ditanam sedalam lebih kurang 6-8cm. Jarak tanaman yang disyorkan 45-60cm antara baris dan 25cm antara pokok. Setelah ditanam cebisan pra-cambah, ianya diberikan lindungan sementara, sehingga tanaman berumur kira-kira 3 bulan. Pembajaan kunyit dengan menggunakan baja organik (tahi ayam) pada kadar 4-5 tan/ha/musim digaulkan ke dalam tanah 3-5 hari sebelum menanam. Baja sebatian dengan kadar 60kg N, 30kg P, 90kg K per hektar di bubuh 3 kali sepanjang masa penanaman. Hasil kunyit sebanyak 15 – 25 t/ha. Selepas lebih kurang 9 - 10 bulan ditanam, rizom boleh dituai apabila pokok menjadi kuning, dengan menggalinya menggunakan cangkul. Pembungkusan secara pukal tidak melebihi 40kg menggunakan bekas yang kukuh. Beg dari jenis polietilena, beg kertas dan beg dari jenis filem polivinil klorida boleh digunakan untuk tujuan pembungkusan runcit. Produk kunyit segar lazimnya dijual secara timbangan berat berbanding dengan kunyit yang digunakan untuk pemprosesan bagi dijadikan serbuk dalam buntil guni. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!...
NAMANYA KUNYIT...RENEK POKOKNYA...
BANYAK KHASIAT...JUGA PEWARNA...
DIKELILING RUMAH...DITANAM MUDAHNYA...
UMBISI DAN DAUN... SEMUA BERGUNA...
By,
M Anem
Senior Agronomist
Bukit Tinggi, Bentong,
Pahang, Malaysia.
(13 JamadilAkhir 1434H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.