KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, October 7, 2016

MADU KELULUT - SUPERFOOD MALAYSIA


Najib Lancar Kempen Mulakan Hari Anda Dengan Madu 

PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan kempen 'Mulakan Hari Anda Dengan Madu' bagi menggalakkan pengambilan madu tempatan setiap hari sebagai makanan kesihatan tambahan bagi rakyat Malaysia. Kempen itu adalah bertujuan menimbulkan kesedaran orang ramai mengenai nilai-nilai nutrien dan manfaat madu dalam membantu mengekalkan kesihatan dan meningkatkan kecergasan diri, menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Malaysia akan mengadakan promosi secara besar-besaran supaya madu kelulut Malaysia diterima di peringkat Pertubuhan Makanan dan Pertanian sebagai 'super food' Malaysia yang pertama. "Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) kini dalam proses menggariskan satu standard bagi madu kelulut Malaysia supaya ia boleh dipasarkan lebih luas di peringkat antarabangsa sebagaimana Madu Manuka berasal dari New Zealand. "Standard yang digariskan Mardi juga akan membantu pengguna membezakan madu yang asli dan tidak asli," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran kempen itu. Ahmad Shabery berkata bagi mempromosikan khasiat dan kebaikan madu kelulut di seluruh negara, program Kelulut Walk akan bermula pada Hari Sukan Negara iaitu 8 Okt depan. Dalam program Kelulut Walk, seorang pengguna madu kelulut Sabri Ali, 55 akan menjadi duta kelulut dengan berjalan sejauh 2,000 km merentasi 14 negeri selama 50 hari sebagai testimoni kepada khasiat kelulut untuk kesihatan dan kecergasan. Jelas Ahmad Shabery, Sabri bukan sahaja menggunakan madu kelulut sebagai makanan tetapi merawat kakinya yang melecet atau sebarang luka dengan menyapu madu kelulut. Sepanjang program Kelulut Walk berlangsung, orang ramai boleh turut sama berjalan dengan Sabri sama ada untuk jarak 10km, 5km atau 1 km, katanya lagi. Sabri ketika ditemui pemberita berkata sejak mengamalkan madu kelulut sebagai makanan kesihatan tambahan, tahap kesihatan dan kecergasannya meningkat dan beliau tidak perlu terlalu menjaga atau berpantang makan. Kelulut Walk 2016 yang telah dianjurkan bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro- pelancongan Antarabangsa 2016 yang akan berlangsung dari 1 hingga 11 Dis di Serdang. - BERNAMA. Artikel dalam "Anim Agro Technology" kali ini mempaparkan laporan akhbar tempatan bagaimana madu kelulut ini ingin dijadikan makanan super food di masa akan datang.

Madu Kelulut, 'Super Food' Pertama Malaysia


LAPORAN AKHBAR 2
KUANTAN, 26 Ogos (Bernama) - Madu kelulut akan dijenamakan sebagai 'Super Food' pertama Malaysia di peringkat antarabangsa pada tahun hadapan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Beliau berkata produk madu kelulut yang dihasilkan pengusaha tempatan mempunyai pelbagai khasiat seperti mempunyai empat kali ganda antioksida berbanding madu lebah lain, dan asid fenolik yang berguna kepada manusia. "Kita minta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi)melakukan kajian penyelidikan dan pembangunan supaya kita mempunyai testimoni secara saintifik dan bukti klinikal khasiat madu kelulut. "Selain itu, kita juga memerlukan sistem piawaian yang baik dalam perkara seperti pengredan, pembungkusan dan pelabelan yang standard bagi membawa nama Malaysia," katanya. Ahmad Shabery berkata demikian selepas merasmikan Road To MAHA 2016 Zon Timur di Taman Agroteknologi Mardi Cherating, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang Datuk Shafik Fauzan Sharif. Beliau berkata penjenamaan madu kelulut sebagai 'Super Food' dapat memberi nilai tambah kepada harga pasaran produk itu dan diharapkan dapat menyamai produk madu premium dari Yaman yang berharga RM45 sekilogram. "Ramai telah mengusahakan madu kelulut. Malaysia antara negara paling hadapan dalam perusahaan madu kelulut dan tidak memerlukan modal yang begitu besar untuk diusahakan. "Madu kelulut juga tidak sesuai diternak di kawasan sejuk, membolehkan kita mengambil peluang membangunkan perusahaan ini ke peringkat lebih tinggi dan setakat ini, produk ini mendapat permintaan yang melebihi penawaran," katanya. Ahmad Shabery berharap pengusaha madu kelulut menyambut baik inisiatif penjenamaan madu kelulut sebagai 'Super Food' dan mempunyai kesedaran untuk bersama-sama Mardi dalam penyelidikan mereka.

Beliau berkata bagi mempromosi madu kelulut, pihaknya juga melantik seorang bekas pekerja swasta, Sabri Ali, 54, sebagai duta madu kelulut yang akan mempromosi khasiat produk itu di seluruh negara dengan berjalan kaki. Kempen itu yang dikenali sebagai 'Kelulut Walk' yang dijangka bermula pada awal Oktober ini meliputi perjalanan sejauh 2,000 kilometer (km) selama 50 hari, termasuk di Sabah dan Sarawak. Perjalanan itu merupakan kali ketiga untuk Sabri, anak jati Kemaman, selepas melakukan perjalanan sejauh 1,800km dalam tempoh 40 hari pada 2014, dan 1,600km selama 35 hari pada tahun lalu. "Sabri mengamalkan madu kelulut setiap hari sebagai makanan tambahan semasa berjalan kaki dan turut menyapu madu kelulut di bahagian kaki yang luka. Alhamdulillah luka sembuh pada keesokan hari sebelum beliau menyambung semula perjalanan," katanya. Ahmad Shabery juga berharap orang ramai khususnya pengusaha madu kelulut dapat memberi sokongan kepada Sabri dengan berjalan kaki bersamanya semasa beliau tiba di negeri mereka. - BERNAMA.
MADU KELULUT ...SUPERFOOD MALAYSIA...
KEMPEN DILANCARKAN... OLEH PM KITA...
LARIAN KELULUT... PROMOSI KHASIATNYA...
LAPORAN AKHBAR ... MELAPORKANNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
MARDI Cherating, Kuantan,
Pahang, Malaysia.
(23 Zulhijjah 1437H)
Pameran sempena Road To MAHA Zon Timur 2016.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...