KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, January 24, 2016

HEMPEDU BUMI - HERBA

HEMPEDU BUMI (Andrographis paniculata) merupakan sejenis herba daripada keluara Acanthaceae yang sesuai tumbuh dan ditanam di Malaysia sebagai tanaman  herba berpotensi. Ramai dikalangan kita pernah mendengar nama Hempedu Bumi tetapi tidak ramai yang mengenali secara tepat atau tahu melalui surfing tengok gambar dalam internet sahaja. Asal usul nama tumbuhan ini diberikan kurang jelas tetapi 'hempedu' adalah benda yang sangat pahit dan 'bumi' adalah dimana benda pahit itu tumbuh diatas permukaan tanah/bumi. Tumbuhan ini merupakan pokok renek dengan ketinggian mampu mencapai sekitar 90 cm. Ia mempunyai batang berkayu dengan garispusat sekitar 0.5 - 1.0 cm yang lazimnya berwarna hijau. Batangnya berbentuk empat segi dan berbuku (nodes) dimana setiap buku akan mempunyai dua helai daun dan juga dua dahan. Daunnya jenis tunggal bertangkai pendek dengan permukaan atas selalunya apa penulis lihat berwarna hijau tua dan warna dipermukaan bawah daun adalah hijau muda. Bunganya kecil berwarna keungguan dan buahnya bersaiz kecil dengan warna putih keungguan juga. Saiz buah sekitar 25mm panjang dan 3mm lebar yang berwarna hijau muda ketika muda dan menjadi coklat muda apabila matang. Dari segi persamaan dengan jenis pokok renek lain adalah dimana ia mempunyai akar tunjang dan akar serabut. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman herba iaitu Hempedu Bumi berdasarkan kepada pemerhatian, pembacaan dan juga lawatan keprojek tanaman herba tersebut di beberapa lokasi.

Hempedu bumi didakwa berkhasiat dan banyak kegunaannya. Antaranya adalah untuk merawat masaalah kencing manis (Diabetis), darah tinggi, melegakan sakit demam, mencairkan kahak, melawaskan pembuangan air besar dan juga boleh menghapuskan cacing dalam sistem pencernaan. Ia juga mampu mempercepatkan pembekuan darah dan membersihkan kandungan gula serta mampu mengawalnya didalam darah. Apa yang baik juga dimana khasiat hempedu bumi meningkatkan sistem immuniti dalam badan. Hempedu Bumi mempunyai nilai perubatan yang tinggi dimana ramai penduduk Asia menggunakan herba ini untuk merawat masalah berkaitan sistem penghadaman, pernafasan, demam, batuk dan penyakit berjangkit. Didalam kalangan masyarakat Melayu, air rebusan tumbuhan ini digunakan untuk merawat demam, darah tinggi, cirit birit, luka, ulser, gigitan serangga dan didakwa menghapuskan cacing dalam sistem pencernaan. Daun Hempedu Bumi ini boleh dijadikan ubat untuk menurunkan darah tinggi disamping merawat penyakit kencing manis. Cara untuk menjadikannya ubat ialah dengan hanya merebus daun tersebut dan airnya diambil untuk diminum. Air rebusan yang pahit ini dipercayai mengandungi bahan kimia tumbuhan yang boleh memecahkan molekul lemak yang ada di sekeliling saluran darah yang tersumbat. Daun Hempedu Bumi ini juga boleh merawat luka dengan cara menumbuk lumat daun tersebut dan meletakkannya pada luka-luka terutamanya pada luka akibat gigitan ular atau sengatan serangga. Hasil laporan kajian ke atas tumbuhan ini juga menunjukkan ianya mengandungi banyak bahan-bahan kimia daripada kumpulan diterpenoids lactone dengan kadar antara 65 -70 peratus contohnya seperti bahan-bahan 'angrographolide' dan 'neoangrographolide'. Bahan kimia ini mungkin jadi penyumbang besar dalam mengawal dan merawat penyakit-penyakit yang telah dinyatakan panjang lebar di atas. Terdapat kajian-kajian bukan klinikal dan klinikal telah dilakukan ke atas haiwan dan manusia dengan menggunakan serbuk dan pati (ekstrak) tumbuhan herba Andrograpis paniculata ini. Kajian-kajian ini telah boleh membuktikan bahawa Hempedu Bumi boleh membantu dalam merawat penyakit lain seperti malaria (antimalarial function), masalah darah beku (antithrombotic), diabetis, kanser dan juga darah tinggi.


Namun, berdasarkan maklumat yang diperolehi dari Monograf Hempedu Bumi yang dikeluarkan, didakwa produk tradisional yang diambil mengandungi Hempedu Bumi boleh memberi kesan sampingan seperti ketidakselesaan dalam perut, muntah dan kehilangan selera makan pada individu tertentu. Produk ini juga tidak boleh diambil oleh ibu yang sedang mengandung dan ibu yang menyusukan bayi. Walau pun belum atau tiada kajian atau maklumat mengenai kegunaan hempedu untuk kanak-kanak dengan itu, pengguna perlu mendapat nasihat doktor perubatan moden terlebih dahulu sebelum memberi ubat tradisional tersebut kepada kanak-kanak. Pengguna juga dinasihatkan untuk memilih produk hempedu bumi tradisional yang telah disahkan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Pengguna perlu mendapat nasihat doktor sekiranya mengalami alahan dan kesan sampingan yang berlarutan. Tanaman ini sekarang boleh dikomersilkan dengan kos pengeluaran diperlukan sebanyak RM 8,260.00 sehektar pada kawasan jenis tanah bris dan RM7,670 jika ditanam pada jenis tanah aluvium. Pada paras hasil tuaian daun kering sekitar 1,000 - 1,500 kg sehektar dengan anggaran harga ladang sekitar RM5.50 - RM8.30, maka anggaran pendapatan kasar ladang sekitar RM8,250 - RM12,450 sehektar. Ini membolehkan anggaran pendapatan bersih ladang diantara RM580 - RM 4,780 dalam masa hanya 2.0 - 2.5 bulan sahaja. Petani yang menanam herba hempedu bumi komersil perlukan jaminan pasaran seperti 'contract farming' kerana bukan mudah untuk mejual bahan mentah hempedu bumi kalau tiada pembelinya. Wasalam!.
NAMA HEBAT ... HEMPEDU BUMI...
POKOK RENEK...RENDAH SEKALI...
MUDAH DITANAM... DISANA SINI...
JADI PENAWAR...HERBA TERKINI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Latihan Pertanian,
Indrapura, Jalan Pekan-Gambang,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(12 Syaaban 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...