KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, January 6, 2016

UBI GADUNG - BERACUN?

UBI GADONG (Dioscorea daemona) merupakan sejenis ubi yang kurang popular masa kini kecuali dibeberapa negeri seperti di Kelantan dan Utara Semenanjung. Ubi ini didapati tumbuh awal daripada tumbuhan lain ketika musim kering kerana ia mempunyai simpanan air mencukupi didalam umbisinya. Ubi gadung jika dikupas kulitnya dan direbus boleh menyebabkan seseorang itu keracunan seolah-olah mabuk dengan masaalah ilusinasi dimana ia berkelakuan seperti orang yang mabuk dengan minuman keras atau memakan dadah. Dalam beberapa kes yang pernah saya dengan diceritakan, sesiapa yang makan ubi gadung tanpa diproses dahulu akan mabuk selama beberapa hari dan kesannya tanpa segan silu berperangai macam kanak-kanak dan akan berkhayal. Kini makanan ubi gadung sudah kurang dicari di banyak kawasan yang cukup makanan tetapi dibeberapa negeri tertentu orang kampong masih mengambil ubi gadung untuk dijadikan sumber makanan. Walau pun ubi gadung ini beracun tetapi ia boleh diproses untuk dijadikan makanan yang selamat. Ada juga orang kampong yang mencuba ubi gadung yang belum dipeoses dan selepas diproses untuk diberikan ayam terlebih dahulu sebelum dimakannya. Jika ayam yang diberikan ubi gadung okey sahaja maka ia selamat dimakan dan sebaliknya.  Baru-baru ini akhbar KOSMO telah membuat satu artikel mengenai ubi gadung bertajuk "Ayam penentu kadar racun ubi gadung" yang saya rujuk untuk penulisan dalam "Anim Agro Technology" sebagai satu testimoni. 

Akhbar KOSMO memulakan ayat dengan menyataan - DIKELILINGI duri pada batang dan hidup menjalar liar pada pokok serta tanah di dalam belukar, ubi gadung bukan tumbuhan melata yang biasa. Ini kerana, ia terkenal kerana racun yang terkandung dalam umbinya. Begitupun, jika diproses dengan betul, ubi gadung boleh dimakan dan rasanya lemak manis. Dipercayai berasal dari India, ubi gadung sinonim dengan masyarakat di Pantai Timur khususnya pada musim tengkujuh selain turut terkenal di Kedah dan Kepulauan Borneo. Jika diimbau pada tiga atau empat dekad ke belakang, acara memproses ubi gadung bagaikan satu pesta dan dilakukan secara berjemaah. Turut dikenali sebagai Dioscorea daemona secara saintifiknya, Rahimah Musa, 60, menceritakan momen malar segar menikmati gadung yang terkenal dengan jolokan ubi beracun. Kongsi wanita itu, ketika zaman remajanya, sanak saudara dan jiran terdekat akan beramai-ramai mengupas kulit gadung untuk tujuan dibersihkan. “Selepas digali oleh golongan lelaki, kami akan berkumpul di satu tempat, membersihkan dan memotong gadung secara bergotong-royong sambil bercerita. “Ubi yang siap dipotong akan direndam dalam air garam semalaman atau lebih sebelum direndam dalam air biasa selama empat hingga enam hari bergantung kepada tahap kandungan racun yang terdapat di dalam ubi itu,” jelasnya. Wanita kelahiran Tumpat, Kelantan itu memberitahu, orang dahulu merendam ubi gadung di dalam sungai. Cerita ibu kepada lapan orang anak itu lagi, ubi gadung direndam di dalam sungai kerana air lebih banyak dan memudahkan kerja selain sistem perpaipan yang teruk pada waktu dahulu. Katanya, air sungai yang mengalir juga sebenarnya lebih memudahkan proses peneutralan racun yang terdapat dalam ubi gadung. “Lagi deras air sungai, makin bagus. Namun, ubi gadung yang diletak di dalam raga atau bungkusan daripada guni (yang boleh dimasuki air) perlu diubah kedudukannya setiap hari untuk memastikan ia sekata,” jelasnya. Dia seterusnya memberitahu, ubi gadung juga boleh mengeluarkan bau busuk jika tidak selalu diusik kerana racun atau pati yang keluar tersekat di satu kedudukan.

Popular - Ubi itu juga diproses pada musim tengkujuh kerana kuantiti air sungai dan bendang lebih banyak disebabkan hujan yang memudahkan aktiviti rendaman. “Ubi gadung menjadi makanan paling popular ketika musim tengkujuh. Ia akan dimakan bersama kelapa parut atau dikukus dengan pulut. TIDAK ramai anak muda tahu dan didedahkan dengan cara penyediaan ubi gadung. “Selain faktor kuantiti air, pada musim hujan biasanya menyebabkan pokok akan menjadi layu. Jadi, ubi gadung yang sudah banyak umbinya akan diproses terus,” terangnya. Rahimah memberitahu, racun ubi gadung akan diuji dengan memberi sedikit potongan gadung kepada ayam. “Jika ayam tidak menyentuh atau memakan ubi gadung itu, ia bermakna masih terdapat racun dan perlu direndam lagi. Jika tidak, ia boleh dimasak,” ceritanya kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lata Rek, Kuala Krai baru-baru ini.

Terdpat dua jenis Ubi Gadung yang boleh dijumpai di Malaysia. Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu merupakan universiti yang sedang rancak melakukan kajian tentang ubi gadung untuk dikomersialkan. Terdapat dua jenis ubi gadung yang biasa ditemui di kawasan Pantai Timur iaitu Ubi Gadung Pulut dan Ubi Gadung Beras. Ubi Gadung Pulut berwarna agak kekuningan (Sila lihat foto disebelah) dan dikatakan rasanya lebih lemak berbanding Ubi Gadung Beras yang berwarna putih. Akhbar KOSMO seteruusnya menemubual seorang yang turut berpengalaman memproses ubi gadung iaitu Encik Ibrahim Omar, 63, memberitahu, sudah tidak ramai individu yang mahir memproses gadung kerana prosedurnya yang rumit. Berkongsi pemberita, bapa kepada enam anak itu memberitahu ubi gadong yang diambil perlu dibersihkan dengan membuang bahagian kulit yang tidak diperlukan. Selain itu perlu dimasukkan satu kuantiti garam yang dimasukkan dalam air rendaman juga perlu bersesuaian iaitu kadar yang 'Tidak boleh terkurang atau terlebih'. Ini kerana jika terkurang garam, ia boleh berbau busuk manakala jika terlebih bahan itu maka kepingan umbi yang dipotong boleh menjadi hancur dan tidak enak dimakan,” ceritanya memberitahu cara untuk mengetahui sama ada garam sudah mencukupi dengan menyentuh kepingan gadung tersebut. Menurut Ibrahim, jika kepingan yang disentuh terasa lembut, ia bermakna garam itu sudah cukup. Sempat menitipkan pesanan dan petua, anak jati Pasir Mas itu menjelaskan, gadung yang direndam di dalam air tidak boleh diusik atau disentuh menggunakan alat lain kecuali tangan.

Menyifatkan gadung sebagai tumbuhan unik kerana tata cara penyediaannya yang berbeza berbanding keledek biasa, penduduk kampung yang menanam tumbuhan berduri itu juga tidak perlu khuatir tanaman tersebut diusik atau dimusnahkan oleh babi hutan. Lazimnya masyarakat dahulu bergotong-royong ketika memproses ubi gadung di dalam sungai. Tempoh matang tanaman ini jika tiada serangan oleh babi hutan yang mana ia gemar merosakkan tanaman ubi gadung yang ditanam selama 2 tahun. Petani perlu memagar kawasan tanaman dengan rapi. Ubi Gadung tidak perlukan penjagaan sebegitu, mungkin binatang itu juga tahu ia berbisa,” katanya yang bekerja sebagai penoreh getah. Beliau juga telah berkongsi teknik dan cara cara penanaman ubi gadung gadung dimana ia  perlu ditanam di dalam satu lubang yang ditimbus bersama sampah sarap seperti daun kering dan sabut kelapa. Ubi Gadung juga lebih cepat bercambah dan membiak umbinya jika ditanam di kawasan tanah peroi atau gembur. Ubi Gadung mempunyai isi yang banyak selepas dua tahun. Semakin lama dibiarkan di dalam tanah maka semakin banyak umbi yang bercambah (ubi hasil). Begitupun, jika terlalu lama dibiarkan lazimnya umbi tersebut akan memburuk atau busuk. Bagaimanapun umbi buruk tersebut akan berganti dengan yang baharu. Semasa kajian dijalankan harga pasaran ubi gadung yang diproses antara RM3.00 hingga RM5.00 sekilogram. Sementara itu, Thahirah Ismail, 31, yang pernah merasa keunikan rasa gadung sejak kanak-kanak itu menyifatkan bahawa hidangan tersebut sangat lazat dan berbeza dengan keledek biasa. Ia mempunyai rasa yang lemak dan manis asli. Teksturnya lembut dan seakan-akan ubi kentang. Namun tidak terlalu gebu dan agak liat. Bagi mereka yang belum mencuba makanan ini, jangan lepaskan peluang untuk merasa jika berpeluang. “Rugi sekiranya tidak dicuba,” ulasnya yang gemar memakan gadung bersama pulut. Begitulah testimoni dari akhbar KOSMO yang saya petik untuk dikongsi bersama anda semua. Wasallam!.
UBI GADONG... JENIS BERACUN DIA....
DULU TERKENAL..SEKARANG TIADA...
PERGI KELANTAN... BOLEH MENCUBA...
TULISAN AKHBAR...DIKONGSI BERSAMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(9 RabiulAwal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...