Apabila padi mula bunting perlu untuk pasangkan 'orang-orang' iaitu kayu berpalang yang dipakaikan dengan Baju Lama dan Topi serta di gantung beberapa buah tin susu yang diikat batu didalamnya (Sila lihat foto disebelah). Tiang pada orang-orang ini akan dikat dengan tali panjang bersambungan antara satu sama lain sehingga sampai di pondok dikawasan tengah kebun. Oleh kerana kawasan kebun berada ditengah-tengah kawasan kebun getah maka apabila padi hendak masak selalunya banyak burung yang datang untuk makan terutama burung PIPIT UBAN dan PIPIT HITAM. Anda boleh baca mengenai burung pipit (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Kelompok burung ini datang berkumpulan dan makan padi yang hampir masak atau sedia untuk dituai dan ia perlu dihalau dengan menarik tali tadi. Apabila tali ditarik maka bunyi tin serta gerakan orang-orang mengejutkan geromdolan burung pipit dan mereka dan lari terbang. Bagaimana pun ia akan datang balik beberpa minit kemudian dan tali perlu terus ditarik untuk menghalaunya. Kami yang berada dalam pondok akan melaung sekuat hati menghalau burung tersebut. Tetapi kerja ini berterusan kerana kelompok burung pipit tetap akan datang lagi di lokasi lain dan perlu dihalau berkali-kali setiap hari.
Padi Bukit yang telah cukup masak akan dituai dengan memotong tangkai padi menggunakan sejenis pisau khas yang dibuat sendiri dipanggil sebagai 'ani-ani' atau disesetengah kawasan dipanggil 'ketam' (Sila lihat foto disebelah). Ia boleh dibuat dengan mengunakan besi lembut dipanaskan dan diketuk sehingga nipis dan dibengkokkan sebelum dipasang pada papan. Alat ini digenggam dengan tangan kanan dan tangkai padi dipotong dengan menarik tangkainya dan akan putus. Ia dimasukkan kedalam bakul sebelum dibawa pulang. Tangkai padi dipotong dibahagian tangkai dan diikat dalam bentuk gumal. Tangkai padi ini di ikat dengan tali (dulu guna tali dari pelepah pisang) dan digantung didalam pondok untuk pengeringan. Kaedah lain memotong rumpun padi bukit dengan sabit dan terus dibanting dalam alat khas untuk terus meleraikan biji padi dengan tangkai juga sesuai dilakukan. Padi bukit ini perlu dijemur sebelum di tumbuk dalam lesung kayu besar dengan alu kayu. Kulit padi yang pecah dan terpisah perlu di tampi untuk membuang kult dengan beras. Beras yang terhasil boleh dimasak atau untuk simpanan diddalam kepok padi.
Cara memproses padi bukit lazimnya menggunakan kaedah tradisional. Padi bukit ini dijemur dibawah sinaran matahari sehingga cukup kering. Kemudian ia dimasukkan dalam lesung kayu yang sederhana besar dan ditumbuk dengan alu kayu. Apabila kulit padi sudah terlucut dari isi beras maka ia diambil lalu ditampi bertujuan untuk mengasingkan kulit padi yang ringan keluar. Kemudian ia perlu ditimbuk semula untuk buang kulitnya beberapa kali sehingga semua kulit terlucut dari biji padi. Bergantung kepada tahap kekeringan padi, kemahiran menumbuk padi dan kecekapan menampi, kadar beras hancur berbeza-beza. Kalau kurang mahir mungkin kebanyakkan biji beras akan hancur. Kini mereka kebanyakkanya telah memotong hasil padi menggunakan mesin pengisar moden. Beras padi huma memang agak sedap dimasak menggunakan kadar air yang sedikit. Rasanya sedikit berbeza dengan nasi dari padi sawah. Walau pun rasa dan aromanya agak berbeza tetapi sebenarnya ada bekalan beras untuk selama 3 tahun dengan menanam beras dari padi bukit. Hasil padi bukit memang rendah sekitar 1.0 - 1.2 mt/ha dan jangkamasa menanamnya juga lama. Tanaman padi huma juga mudah diserang musuh terutama burung, babi hutan (babi akan menyondol dan menumbangkan rumpun padi), Belalang, Pianggang, Kesing, Tikus, Benah dan sebagainya. Tanaman padi bukit sebenarnya masih menjadi tanaman penting terutama di pendalaman Sarawak dan Sabah serta beberapa negeri di Semenanjung Malaysia sebagai tanaman makanan.
Wasallam!...
PADI BUKIT...JARANG TANAMNYA...
DIPENDALAMAN ...IA MASIH ADA...
BERASNYA KERAS..ENAK RASA...
HASIL RENDAH... MAKIN PUPUS DIA..
By,
M Anem
Senior Agronomist
Aras 13, Desaminium Flora,
Seri Kembangan, Selangor
Malaysia.
(25 RabiulAwal 1437H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.