KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, January 27, 2016

SEMUT SEMBAH PEHA BELALANG KEPADA RAJA


Peribahasa UMPAMA SEMUT MEMPERSEMBAHKAN PEHA BELALANG KEPADA RAJA merupakan peribahasa yang jarang penulis dengar. Peribahasa ini memberikan erti atau pun bermakna iaitu 'Pemberian yang tidak ada ertinya'. Pada saya inilah satu daripada sebahagian kecil peribahasa yang ayatnya panjang tetapi maksudnya pula agak pendek tidak seperti perbahasa yang lain. Semut (Ants) adalah serangga sosial dalam famili Formicidae iaitu sama dengan serangga penyengat dan lebah. Semut tergolong dalam kumpulan Hymenoptera dimana terdapat lebih 12,500 spesies yang terdapat diseluruh dunia dengan jumlah yang amat banyak. Mereka mudah dikenalpasti dengan bentuk badannya iaitu bahagian kepala, thorax dan abdomen. Semut membentuk koloni yang bersaiz daripada beberapa puluh ekor individu pemangsa tinggal di rongga atau sarang kecil sehingga saiz koloni yang jumlahnya besar. Serangga semut adalah hidup bersosial yang menghuni satu kawasan besar dan terdiri daripada jutaan individu. Koloni-koloni besar ini sebahagian besar ahlinya merupakan semut betina tanpa sayap mandul yang membentuk kasta "pekerja", "askar", atau kumpulan khusus lain. Koloni semut juga mempunyai semut jantan subur yang dipanggil "dron" dan satu atau lebih semut betina subur yang dipanggil "ratu". Koloni-koloni ini kadangkala digambarkan sebagai satu 'superorganisma' kerana semut-semutnya kelihatan seperti berfungsi sebagai satu entiti bersatu, bekerja bersama-sama menyokong koloni. Belalang pula terkenal kerana mempunyai kaki besar untuk melompat. Kaki belalang seperti Belalang Kunyit (Volangga nigriconis) dimana ada dilaporkan ia pernah juga dimakan oleh manusia dan juga raja diluar negara. Mengikut cerita tersebut apabila peha belalang ini dihantar kepada raja oleh semut maka raja mungkin akan tidak terima kerana ia bukan satu keperluan atau ia adalah pemberian yang sia-sia. Raja mungkin fikir semut tersebut mungkin telah membunuh belalang tersebut dan memberi bahagian peha kepada raja dan bahagian lain dimakan semut. Peha belalang yang diberi kepada raja untuk dimakan sedangkan raja tidak mahu makan peha belalang. Ini adalah satu perbuatan yang sia-sia dan membazir. Apa pun artikel ke 3,888 ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu peribahasa kurang popular dan beberapa informasi teknikal yang saya garap daripada penulisan saya sebelum ini untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan teknikal.


KAKI SERANGGA (Insects Leg) atau dikatakan dalam artikel ini sebagai 'Kaki Belalang' merupakan satu organ penting untuk membantu serangga berjalan, melompat dan juga fungsi lain berkaitan dengan organ kaki (Sila lihat rajah sebelah). Serangga juga merupakan satu komuniti yang terdapat disekeliling kita iaitu daripada yang bersaiz besar sehingga yang amat halus. Ilmu dan info mengenai serangga telah saya belajar semasa di Universiti dahulu dimana ianya merupakan diantara subjek yang agak susah tertutama untuk mengingati banyak nama-nama saintifik dan taksonomi serangga yang memang banyak. Serangga ditakrifkan sebagai benda hidup dari kelompok haiwan Invertebrata iaitu dalam Kelas Insecta yang mana ia mempunyai bilangan spesis terbanyak didunia. Apa yang kita pasti adalah dimana pada habitat daratan, serangga merupakan haiwan yang paling luas tersebar berbanding dengan kelas-kelas yang lain dalam filum Arthropod didunia. Anggaran yang telah dibuat oleh saintis ialah dimana terdapat sebanyak lebih dari 20 - 30 juta spesis serangga sehingga ini dan masih banyak lagi yang belum ditemui setiap masa. Aktiviti merekodkan maklumat serangga masih berterusan dengan membuat kajian dan penyelidikan mengenai serangga-serangga yang baru. Walau telah pasti ada hampir 1 juta spesis serangga yang lazim saintis jumpa, banyak juga spesis serangga yang pupus tanpa sempat untuk direkodkan kerana aktiviti pembangunan dan juga penebangan hutan dan pemusnahan habitat asal serangga oleh manusia dan faktur semulajadi berterusan.


Rajah disebelah saya tunjuk marfologi kaki serangga yang terdiri daripada berbagai spesis (Rajah ini adalah contoh serangga Lipas) iaitu terdiri beberapa bahagian iaitu Bahagian Coxa, Trachanter, Femur, Fibia, Tarsus dan Claws (bagi sesetengah spesis). Apa yang saya faham, Bahagian Coxa adalah bahagian pangkal kaki serangga yang mempunyai kaitan atau pun gabungan struktur iaitu dipanggil 'sternites'. Bahagian kedua adalah dinamakan 'Trochanter' iaitu dengan mudahnya sebagai sendi yang menghubungkan antara 'coxa' dan bahagian 'femur' pada kaki serangga. Seterusnya bahagian ke 3 adalah dinamakan 'Femur' yang lazimnya berukuran agak panjang dan mempunyai organ otot kuat bagi tujuan pergerakan berlari, berjalan, melompat malahan juga untuk menggali lubang pada tanah atau media lain. Bahagian yang ke 4 dinamakan sebagai 'Tibia' yang mana ia seterusnya berfungsi untuk memperkuatkan panjang kaki dalam menguatkan lagi pergerakan serangga melalui otot-otot sedia ada. Ia juga bertindak sebagai pengalas (pads) ketika kaki serangga bergerak. Bahagian ke 5 adalah dipanggil sebagai 'Tarsus' bahagian hujung yang mungkin mempunyai 1 - 5 bilangannya bergantung kepada spesis. Akhir sekali yang ke 6 adalah bahagian Kuku (Claws) bagi sesetengah spesis. Kuku berada pada bahagian paling hujung tarsus yang berfungsi untuk mencengkam atau memegang mangsa serangga.


BELALANG adalah sejenis serangga dari Sub-Order Caelifera dan Order Orthroptera yang mudah didapati disekeliling kita terutama apabila suhu telah mulai panas. Terdapat banyak jenis belalang yang kita boleh jumpai di keliling kita dengan pelbagai saiz, warna, bentuk dan juga tabiatnya. Semasa saya dalam pembelajaran di universiti dulu, dimaklumkan yang keujudan belalang banyak dikaitkan dengan kerosakan tanaman terutama pada bahagian daun dan kadang-kadang pada batang yang dimakan oleh serangga tersebut. Belalang lazimnya aktif dalam cuaca panas kerana ianya adalah jenis berdarah sejuk. Pembacaan dari wikipedia menunjukan sejenis belalang di Benua Afrika yang dipanggil sebagai Belalang Juta (Schictocerca gregaria) mampu menyerang tumbuhan dengan memakan bahagian daun, batang, buah, benih malahan keseluruhan bahagian sehingga tumbuhan dan tanaman musnah teruk. Antara tanaman yang mudah diserang belalang jenis ini seperti tanaman bijirin iaitu jenis jagung, millet, gandum serta tanaman lain seperti semua jenis sayuran, buah-buahan malahan pokok ornamental. Belalang kunyit yang digoreng pernah saya makan ketika zaman remaja kerana belalang memang haiwan yang halal dimakan apabila perlu dan berkhasiat. Peribahasa 'semut mempersembahkan peha belalang kepada raja' yang mana ia bermaksud 'pemberian yang tidak ada ertinya' walau pun amat jarang kita dengar memang ada tujuannya yang jelas. Walau pun ia agak jarang digunakan pada masa kini tetapi keujudan peribahasa ini masih relevan untuk  masyarakat kita. Bersama-sama kita renongkan bidalan ini untuk tujuan dijadikan panduan semua. Wasallam!.
PAHA BELALANG ...ENAK DIMAKAN...
SEMUT BERI...DIPERSEMBAHKAN...
RAJA TIDAK NILAI... PEMBERIAN...
TIDAK BERERTI... SIA SIA BUKAN?...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(29 Muharam 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...