Support My Blog

Thursday, January 7, 2016

CILI JERUK

CILI JERUK adalah sejenis makanan daripada buah Cili Besar / Hijau (Capsicum annum) atau Cili Padi (Capsicum frustecens) yang mudah disediakan dan sangat diminati untuk tujuan menyedapkan makanan. Rasa cili jeruk yang pedas, masam dan masin serta agak manis menyebabkan ia akan menambah selera ketika dimakan bersama pelbagai jenis makanan kegemaran terutamanya mee goreng, mee hoon goreng, kuetiow goreng dan sebagainya. Cili jeruk bukan sahaja popular dikalangan masyarakat Melayu tetapi kini telah menjadi satu kemestian dalam makanan masakan Cina yang dihidangkan dihotel-hotel dan restoran yang menghidangkan set 'Chinese Cuisene'. Cili Jeruk merupakan satu kaedah penyimpanan cili (chili preservation) untuk satu jangkamasa yang agak lama tanpa menghilangkan rasa pedas cili. Saya sendiri memang sangat suka makan cili jeruk ketika menikmati makanan seperti mee goreng, kuey tiow goreng, mee hoon goreng, nasi goreng dan sebagainya. Selain daripada membuat sendiri cili jeruk, sebenarnya telah banyak produk cili jeruk yang dijual dipasaran dengan pelbagai jenama dan negara pengeluar. Pada saya lebih baik buat jeruk cili sendiri dari cili segar. Cili Jeruk juga amat mudah disediakan dengan beberapa teknik cara memproses mudah yang boleh kita buat sendiri dirumah. Artikel malam Ahad ini sambil menonton TV saluran ASTRO perlawanan bolasepak antara Kelantan dengan ATM, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" iaitu mengenai jeruk cili dan cara menyediakannya untuk bacaan dan rujukkan anda.


Cili Hijau yang segar boleh dibeli atau dipetik dari kebun sendiri keliling rumah (Tanam sendiri dalam pasu - Program Bumi Hijau). Cili padi juga boleh diproses menjadi 'Cili Padi Jeruk' kepada mereka yang inginkan rasa pedas yang lebih hebat. Cili segar tersebut dibasuh dahulu sehingga bersih dan kemudian perlu dihiris nipis-nipis (sekitar 2-4 mm tebal)  bergantung kepada kesesuaian saiz cili (Lihat foto sebelah). Penting untuk kita gunakan pisau yang nipis dan tajam kerana jika pisau tumpul dan tebal akan menyebabkan potongan cili menjadi pecah dan tidak cantik. Hirisan cili ini kemudian perlu dimasukkan kedalam bekas (Mangkuk atau bekas khas plastik) yang dicelur dulu dengan air panas selama 2-4 minit. Kemudian hirisan cili perlu ditoskan dan dimasukkan dalam balang atau jar bertutup sebelum diisikan campuran air cuka (Lihat foto dibawah) dan disimpan ditempat yang sesuai. Kita boleh ambil bila-bila masa apabila disimpan dalam peti sejuk untuk ketahanan yang lebih lama.


Bagi saiz satu balang bersaiz biasa dipasaran, sebanyak 20-30 biji cili hijau boleh dipotong dimana ramuan air cuka disediakan dengan sebanyak 2 cawan air panas, satu sudu makan penoh dengan garam, setengah cawan gula dan 3/4 cawan cuka makan (Jika mahu lebih masam boleh ditambah cuka makan). Cuka ini perlu dituang didalam jar yang telah mengandungi hirisan cili hijau atau cili padi yang telah dicelur. Pastikan paras air cuka penoh dan menenggelami semua hirisan cili kerana jika tidak cili akan kering dan rosak. Tutupkan jar tersebut dengan penutupnya dan ikat dengan kuat (agar tidak tumpah air cukanya) dan biarkan sehingga 2-3 jam sehingga warna hijaunya akan menjadi pudar. Jika jeruk ini disimpan dengan lama, air cuka akan berubah dan menyebabkan kualiti cili jeruk kurang menarik. Untuk mengatasi masaalan ini sebaiknya dibuang air cuka lama dan dikeluarkan hirisan cili dan isikan air cuka yang baru. Pengalaman penulis dapati cara ini mampu mengekalkan kualiti cili jeruk. Lakukan beberapa kali gantian air cuka untuk mengekalkan kualiti dengan teknik yang sama beberapa kali.


Cili Jeruk memang menyedapkan rasa makanan seperti mee goreng, kuey tiow goreng, mee hoon goreng, pelbagai makanan ikan atau daging dan sebagainya. Hidangan cili jeruk pada makanan tersebut akan meningkatkan lagi keenakkan makanan kerana ada rasa masam, masin, manis dan juga pedas (Lihat foto sebelah). Bagaimana pun mereka yang mempunyai masaalah 'GASTRIK' dinasihatkan jangan makan cili jeruk berlebihan kerana ianya akan memudharatkan. Mereka akan rasa pedih atau sakit perut jika makan cili jeruk akibat kesan cuka dan pedas pada cili jeruk. Cili Jeruk yang dibuat dari cili padi memberikan rasa lebih pedas lagi tetapi masih diminati oleh ramai penggemarnya. Kaedah penyediaan cili jeruk dengan menggunakan cili padi sama dengan proses yang dinyatakan diatas. Kalau tidak ada cili jeruk kadang-kadang ada orang akan potong cili besar atau cili padi dimasukkan dalam kocap dan enak juga rasanya untuk menambahkan keenakkan makanan. Semuga anda semua masih mampu membaca dan boleh menyediakan cili jeruk sendiri dirumah seterusnya akan menikmatinya. Wasallam!.

CILI JERUK.... MUDAH DISEDIA...

CILI DIHIRIS... DICELUR PULA...
DIRENDAM LAMA ...ADA AIR CUKA...
JIKA DIMAKAN... AMBOI ENAKNYA... 

By,
M Anem
Senior Agronomist
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia
(2 JamadilAkhir 1434H)         

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...