KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, April 26, 2015

MANGGIS -CARA MENANAM (Part 2)

MENANAM MANGGIS (Garcinia mangostana L.) adalah satu aktiviti yang semakin kurang dilakukan oleh petani masa kini. Ini kerana manggis adalah sejenis buah-buah bermusim tergolong dalam keluarga Guttiferae. Walau pun ia sesuai di negara-negara beriklim tropika diantara 20 C dan 30C tetapi sebenarnya ia memerlukan keadaan lembab dengan jumlah taburan hujan sebanyak 2,500 mm. setahun. Tanaman manggis dan mesta sesuai dengan pelbagai jenis tanah yang bersaliran baik. Jenis tanah yang sesuai ialah tanah lanar laut seperti Siri Telok, tanah lanar sungai dan kawasan dataran banjir. Jabatan Pertanian merekodkan seluas 7,414 hektar (2006) kawasan tanaman manggis di Malaysia dengan pengeluaran 28,900 metrik telah menurun kepada seluas 7,390 hektar pada tahun 2012 dengan pengeluaran sebanyak 28,350 metrik tan. Negeri Perak, Selangor dan Johor merupakan negeri yang banyak menenam pokok manggis selain daripada Pahang. Daerah Batang Padang di Perak menanam paling luas tanaman manggis (340 ha) diikuti Daerah Hulu langat Selangor (300 ha) dan Daerah Segamat , Johor (288 ha). Pada masa ini belum ada klon yang dikenalpasti untuk disyorkan kerana biji manggis adalah jenis apomiksis, iaitu pokok yang dibiak daripada biji tetap tidak berubah dari bakanya. Anda boleh baca tulisan saya mengenai manggis iaitu Manggis (Sila klik disini), Manggis - Isu Gamosis (Sila klik disini), Varieti Manggis di Malaysia (Sila klik disini), Manggis - Apa kekuatan kita (Sila klik disini), Manggis Kawalan Perosak (Sila klik disini), Ciri Benih Manggis vs Mesta (Sila klik disini), Khasiat Buah Manggis (Sila klik disini) dan banyak lagi. Artikel kali ini sata menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penduan menanam manggis untuk bacaan dan rujukan anda.


Kawalan Rumpai diperingkat awal penanaman manggis perlu dijalankan sejak awal pertumbuhan lagi terutama di pangkal pokok bagi mengelakkan persaingan untuk mendapatkan nutrien dan air. Kawalan dilakukan dengan menggunakan sungkupan di pangkal pokok yang terdiri daripada lalang atau rumput kering. Sekiranya perlu, rumpai di keliling pokok manggis boleh dikawal secara manual dengan menggunakan cangkul sementara rumpai yang terdapat di antara barisan boleh dikawal dengan cara menggunakan mesin pemotong rumput. Tanaman penutup bumi seperti jenis kekacang juga boleh digunakan untuk mengawal rumpai yang dengan sendiri boleh mengawal hakisan tanah serta meningkatkan kesuburan tanah. Bagi pokok manggis yang matang rumpai dikawal dengan menyembur racun rumpai seperti paraquat (1.0 kg/ha) atau glufosinate-ammonium (0.5 kg/ha). Sebaiknya kawasan tanaman manggis mempunyai kebersihan kebun seperti dinyatakan dalam amalan MyGAP. Penyemburan racun perosak hendaklah diberhentikan beberapa hari sebelum mengutip hasil. Ini berpandukan kepada TDMH yang telah ditetapkan bagi racun-racun perosak. Panduan TDMH bagi racun perosak yang digunakan pada tanaman manggis boleh dirujuk kepada pegawai pengembangan pertanian.


Indeks kematangan dan penuaian Buah Manggis perlu difahami oleh petani terutama untuk mendapatkan tahap tepat memetik buah. Tanaman ini dapat mengeluarkan hasil yang memuaskan apabila pokok lebih daripada lapan tahun. Pada permulaan hasil adalah rendah tetapi hasil seterusnya meningkat mengikut umur pokok. Manggis biasanya berbuah setahun sekali. Lazimnya buah manggis akan mengambil lebih kurang 13-14 minggu untuk matang. Tanda kematangan ialah apabila ada perubahan pada warna kulit buah. Buah yang belum matang berwarna hijau kekuningan dan akan bertukar menjadi hijau dengan tompok-tompok ungu atau kemerahan pada peringkat matang. Keseluruhan buah akan bertukar kepada warna coklat kemerahan dan seterusnya kehitaman apabila buah cukup masak. Terdapat berbagai-bagai peringkat kematangan dalam satu pokok pada masa yang sama dan untuk memudahkan pengutipan hasil indeks warna yang berikut digunakan sebagai indeks kematangan. Perubahan warna daripada satu indeks warna ke satu indeks warna seterusnya mengambil masa satu hari pada suhu 25 C - 30 C.

Kemahir memetik dan mengenali indeks kematangan buah manggis adalah perlu. Foto diatas menunjuukkan 7 indeks kematangan buah manggis. Indeks 1  adalah tahap dimana buah manggis masih berwarna hijau kekuningan dengan sedikit kesan merah. Indeks 2 pula buah  manggis akan menjadi hijau kekuningan dengan sedikit kesan kemerahan. Kulit buah apabila dipotong masih lagi mengandungi lateks kuning dan isinya masih melekat kuat pada kulit. Mutu buah yang dipetik pada peringkat ini tidak dapat diterima. Kemudian Indeks 3 dilihat apabila warna merah kekuningan dengan tompok-tompok kemerahan sekeliling buah. Kandungan lateks dalam kulit berkurangan sedikit dan bahagian ini masih tidak mudah dipisahkan daripada kulit. Buah yang dipetik pada peringkat ini sedia untuk dihidangkan selepas 3-4 hari diperam pada keadaan ambien. Indeks warna ini adalah peringkat yang paling awal sesuai bagi memetik buah. Indeks 4 pula apabila pada keseluruhan kulit buah berwarna kemerahan dengan tompok-tompok merah yang jelas. Lateks masih terdapat dalam kulit manakala isi boleh diasingkan daripada kulit. Buah yang dipetik pada peringkat ini sesuai untuk pasaran eksport. Indeks 5 pula apabila buah menjadi coklat kemerahan pada seluruh permukaan kulit. Buah yang dipetik pada peringkat ini sudah boleh dihidangkan tetapi kulitnya yang tebal masih mengandungi lateks. Untuk eksport, buah mestilah dipetik tidak melampaui peringkat ini. akhir sekali adalah Indeks 6 dimana buah menjadi warna kemerahan pada seluruh permukaan buah. Buah yang dipetik pada peringkat ini sudah sedia untuk hidangan kerana mutu dan citarasanya adalah memuaskan. Isi dan kulit mudah diasingkan manakala kulit sudah tidak mengandungi lateks lagi. Indeks 7 apabila buah manggis menjadi ungu gelap atau kehitaman pada seluruh permukaan kulit. Buah pada peringkat ini adalah terlalu masak.


Pemerhatian penulis mendapati cara pengutipan buah manggis lazimnya tidak dapat dibuat serentak kerana pembungaan berlaku berperingkat-peringkat. Kebiasannya buah dipetik setiap dua atau tiga hari dengan memilih buah yang sudah sedia dipetik sahaja. Buah perlu dipetik dengan cermat dan elakkan dari jatuh terhempas ke tanah bagi mengatasi gamosis. Buah boleh dipetik dengan tangan, penggunaan tangga digalakkan bagi pokok yang tinggi. Galah yang mempunyai cangkuk dan perangkap jaring dihujung juga sesuai untuk digunakan. bagi pengendalian di ladang selalunya buah-buah yang dipetik akan dikumpul di dalam bakul atau bekas yang sesuai serta dialas dengan span atau kain bagi mengelak dari kecederaan secara mekanikal seperti hentakan, himpitan dan gegaran. Bakul-bakul yang berisi buah perlu dihantar dengan cepat ke rumah pembungkusan untuk mengelakkan kerosakan dan penurunan mutu. Sementara itu di Pusat Pembungkusan lazimnya buah dipilih dimana buah yang buruk, terlalu muda, terlalu kecil dan sampah sarap dibuang sebelum proses seterusnya. Bagi penyediaan buah untuk tujuan eksport ke negara tertentu, pengasingan mengikut indeks warna yang dikehendaki boleh dilakukan di peringkat ini. Buah dimasukkan ke dalam tangki air bersih bagi membuangkan sampah sarap dan kotoran yang terlekat pada buah tanpa mencederakannya. Span atau kain boleh digunakan semasa membasuh. Air perlu diganti dengan yang bersih dari semasa ke semasa. Buah kemudiannya di susun di atas rak-rak atau meja bertingkat bagi mengeringkan air pada permukaan kulit. Kipas boleh juga digunakan bagi mempercepatkan proses pengeringan.


Penggredan buah manggis akan digred mengikut saiz. Penggredan dengan tangan boleh dilakukan dengan berasaskan penentuan gred. Lazimnya jika berat sebiji buah 100 gm atau lebih, iaitu lebih kurang 8.10 biji/kg dan dilihat pada kulit buah bersih, tidak cedera, bebas dari kesan penyakit atau kerosakan oleh serangga. Kualiti juga digred mengikut keadaan kulit dimana ada kulit sederhana tebal, pejal tetapi tidak keras serta tiada kesan getah kuning (resin) pada kulit dan tangkai. Sebaiknya ulas isi putih bersih dana tidak jernih disebabkan oleh kecederaan. Cara yang lazim untuk pembungkusan dilakukan dengan menyusun dengan teratur dan padat di dalam kotak. Lapisan pengalas digunakan bagi mengurangkan geseran, himpitan diantara buah dengan permukaan kotak. Reka bentuk kotak berbeza mengikut jenis pasaran, sistem pengendalian, kehendak pengguna dan muatannya selain mengambil kira kekuatan mekanikal, kemudahan untuk dikendalikan, lubang perudaraan yang mencukupi dan kemudian mengaturnya didalam kontena dan diletak atas kenderaan dan di bilik penyimpanan. Proses penyimpanan buah manggis bagi pasaran segar selalunya penggunaan bilik sejuk pada suhu 5C dan kelembapan relatif 85% adalah kaedah yang sesuai untuk penyimpanan manggis. Dalam keadaan ini, buah manggis boleh disimpan sehingga 4 minggu. Buah manggis perlu dijual segera untuk jaminan kualitinya. Oleh itu jenis pengangkutan yang boleh digunakan untuk mengangkut buah manggis ke destinasi pasaran adalah tertakluk kepada jarak perjalanan, jangka masa penyimpanan buah dan kos yang terlibat. Wasallam!.
MENANAM MANGGIS.. JENIS APA...
LAMBAT BERBUAH.. PERLU DIJAGA....
POKOK BERBUAH... LAMA JUGA...
HASIL BERKUALITI...MAHAL HARGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pejabat Pertanian Bera,
Bera, Pahang,
Malaysia.
(26 JamadilAkhir 1436H)
-Terlibat dengan pemulihan banjir

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...