KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, April 25, 2015

MANGGIS -CARA MENANAM (Part 1)

MENANAM MANGGIS (Garcinia mangostana L.) adalah satu aktiviti yang semakin kurang dilakukan oleh petani masa kini. Ini kerana manggis adalah sejenis buah-buah bermusim tergolong dalam keluarga Guttiferae. Walau pun ia sesuai di negara-negara beriklim tropika diantara 20 C dan 30C tetapi sebenarnya ia memerlukan keadaan lembab dengan jumlah taburan hujan sebanyak 2,500 mm. setahun. Tanaman manggis dan mesta sesuai dengan pelbagai jenis tanah yang bersaliran baik. Jenis tanah yang sesuai ialah tanah lanar laut seperti Siri Telok, tanah lanar sungai dan kawasan dataran banjir. Jabatan Pertanian merekodkan seluas 7,414 hektar (2006) kawasan tanaman manggis di Malaysia dengan pengeluaran 28,900 metrik telah menurun kepada seluas 7,390 hektar pada tahun 2012 dengan pengeluaran sebanyak 28,350 metrik tan. Negeri Perak, Selangor dan Johor merupakan negeri yang banyak menenam pokok manggis selain daripada Pahang. Daerah Batang Padang di Perak menanam paling luas tanaman manggis (340 ha) diikuti Daerah Hulu langat Selangor (300 ha) dan Daerah Segamat , Johor (288 ha). Pada masa ini belum ada klon yang dikenalpasti untuk disyorkan kerana biji manggis adalah jenis apomiksis, iaitu pokok yang dibiak daripada biji tetap tidak berubah dari bakanya. Anda boleh baca tulisan saya mengenai manggis iaitu Manggis (Sila klik disini), Manggis - Isu Gamosis (Sila klik disini), Varieti Manggis di Malaysia (Sila klik disini), Manggis - Apa kekuatan kita (Sila klik disini), Manggis - Kawalan Perosak (Sila klik disini), Ciri Benih Manggis vs Mesta (Sila klik disini), Khasiat manggis (Sila klik disini) dan banyak lagi. artikel kali ini sata menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penduan menanam manggis untuk bacaan dan rujukan anda.


Anakbenih Manggis untuk ditanam sebaiknya perlu diperolehi daripada pembekal yang mempunyai Sijil Pengesahan Benih Tanaman (SPBT) daripada Jabatan Pertanian. Penyediaan benih manggis berbeza sama ada ia daripada biji yang disemai atau anakbenih cantuman yang dijual dengan harga lebih tinggi. Benih ditanam dalam lubang yang digali dan diisikan dengan baja organi dengan jarak tanaman 7.5 meter x 7.5 meter dengan kepadatan 175 pokok sehektar. Buat lubang penanaman 60 cm x 60 cm x 80 cm dalam dan berhati-hati ketika memasukkan anak benih manggis. Akar pokok manggis sangat sensitif dan mudah rosak. Pastikan dibubuh sungkupan dan penanda pada lokasi penanaman. Buat sulaman pada pokok yang mati. Kawasan yang sesuai untuk pokok manggis berhasil tinggi adalah kawasan seperti tepi sungai, tepi kolam dimana akar pokok manggis kekal lembab sepanjang tahun. Kawasan seperti sekitar Sungai Muar, Sg Pahang dan Sungai Perak merupakan kawasan sesuai untuk tanaman manggis. Pengurusan Air tanaman manggis selepas menanam sangat perlu bagi tanaman manggis pada peringkat awal di ladang. Kekurangan air pada peringkat ini akan menyebabkan pokok yang bru diubah, lambat pulih daripada kejutan pemindahan dan seterusnya lambat membesar. Bagi mengatasi masalah ini, seelok-eloknya pokok diubah ke ladang pad awal musim hujan. Sungkupan di keliling pokok digalakkan terutamanya sepanjang musim kemarau. Air yang mencukupi perlu pada peringkat pembuangan dan pembesaran buah. Kekurangan air akan menyebabkan pembesaran buah terbantut. Air yang berlebihan juga tidak baik kerana pokok akan lebih mudah atau cenderung untuk berpucuk. Pokok yang berpucuk pada masa pengeluaran buah akan mewujudkan saingan dalam mendapatkan bahan makanan. Akibatnya keguguran buah boleh berlaku atau buah lambat membesar. Lazimnya bagi tanaman manggis di ladang komersil, pengairan mikro boleh digunakan. Sistem pengairan mikro mempunyai kecekapan yang tinggi melebihi 90% pemberian air. Pengendaliannya tidak memerlukan tenaga kerja yang banyak. Kadar alir air bagi kepala penyebar mikro adalah diantara 2-60 liter sejam pada tekanan 2-60 psi. Bagaimana pun ramai petani yang memilikki dusun manggis tidak mempunyai sistem pengeiran sempurna. 


Tanaman manggis walau pun dikatakan lasak tetapi tetap mempunyai masaalah serangan serangga dan penyakit. Diantara serangga perosak adalah Ulat Pelombong Daun (Phyllocnictis citrella) dimana larvanya akan memakan inti daun melalui saluran atau liang-liang yang dibuat (Sila lihat foto sebelah). Daun yang diserang menjadi berkilat seolah-olah melecur dan bahagian tepi daun kelihatan pudar dan bergulung. Larva membesar di dalam daun dan menjadi kepompong dalam lipatan daun. Jika tahap kerosakan tinggi, kawalan boleh dibuat dengan menyembur daun-daun yang terlibat dengan racun jenis serap seperti dimethoate dengan kadar 0.1% bahan aktif. Perosak kedua adalah Pengorek Buah (Curculio sp.) yang mana lazimnya kumbang dewasa bertelur di kulit buah pada peringkat pembesaran buah dan larva membesar di dalam buah. Larva yang hampir jadi kepompong memakan isi buah hingga ke biji dengan membuat lubang hampir dengan tangkal buah. Apabila buah jatuh, larva akan masuk ke dalam dan menjadi kepompong di dalam tanah. (boleh hidup 2-6 minggu sebelum muncul sebagai kumbang dewasa). Belum ada syor kawalan tertentu kecuali dengan membuang buah yang jatuh ke tanah dengan segera.


Bagi kes masaalah penyakit pula, terdapat serangan Cerana Zignoela (Zignoela garcianneae) yang menyerang dahan dan batang. Tempat diserang akan bengkak dan bercerana. Daun akan layu dan luruh. Pokok akan mati. Selalunya akibat serangan maka akan musnah pokok yang diserang dengan menebang dan membakar kesemua bahagian pokok untuk mengawal penyakit dari merebak. Serangan oleh Penyakit Cendawan Angin (Corticum salmonicolor) sering ia menyerang batang dan dahan pokok. Bahagian yang diserang akan menjadi merah samar dan diselaputi oleh bebenang. Daun-daun dan pucuk di dahan yang diserang akan kecut dan layu dan terus mati. Ia boleh dikawal dengan memperbaiki sistem pengudaraan di keliling pokok. Cantas dahan yang terlalu rapat. Jika perlu sembur bahagian pokok yang diserang dengan racun kulat berasaskan kuprum. manggis sering mempunyai masaalah dinamakan Gamosis (Sila klik disini). Penulis dapati selain penyakit, pokok manggis mengeluarkan sejenis gam berwarna kuning yang boleh merosakkan dahan dan buah. Buah yang rosak akan mengeluarkan gam dan ini akan menyebabkan buah menjadi keras dan berasa pahit. Kerosakan ini berlaku apabila dahan atau buah tercedera akibat tersentuh secara mekanikal. Masalah ini lebih ketara apabila getah kuning terdapat di dalam buah yang telah matang. Gam ini kadang-kadang tidak kelihatan pada kulit buah. Kawalan atau cara mengatasinya adalah dengan menjaga buah atau dahan supaya tidak rosak. Buah yang telah matang perlu dipetik secara manual dan tidak dibiarkan jatuh ke tanah. Kawalan gamosis secara terperinci masih belum diperolehi. 
Artikel ini bersambung pada Part 2 (Sila klik disini).


MENANAM MANGGIS.. JENIS APA...
LAMBAT BERBUAH.. PERLU DIJAGA....
POKOK BERBUAH... LAMA JUGA...
HASIL BERKUALITI...MAHAL HARGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pejabat Pertanian Bera,
Bera, Pahang,
Malaysia.
(26 JamadilAkhir 1436H)
-Terlibat dengan pemulihan banjir

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...