KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, June 10, 2010

MANGGIS


MANGGIS (Garcinia mangostana) merupakan sajenis buah-buahan tropika dari keluarga Clusiaceae yang dipercayai berasal dari negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan sebagainya. Di Malaysia tanaman manggis diusahakan secara tradisional semenjak dahulu dan ditanam bercampur dengan durian, rambutan, duku dan pokok dusun lain. Jabatan Pertanian merekodkan seluas 7,414 hektar (2006) kawasan tanaman manggis di Malayisa dengan pengeluaran 28,900 metrik telah menurun kepada seluas 7,390 hektar pada tahun 2009 dengan pengeluaran sebanyak 28,350 metrik tan. Negeri Perak, Selangor dan Johor merupakan negeri yang banyak menenam pokok manggis selain daripada Pahang. Daerah Batang Padang di Perak menanam paling luas tanaman manggis (340 ha) diikuti Daerah Hulu langat Selangor (300 ha) dan Daerah Segamat , Johor (288 ha). Di Pahang terdapat jenis manggis yang di panggil 'MESTA". Penulis banyak pengalaman berkaitan penanaman manggis semasa bertugas di Pejabat Pertanian Segamat sebagai pegawai pengembangan. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi tanaman buah manggis daripada pelbagai sumber maklumat dan pengalaman penulis dalam bidang pertanian selama lebih 33 tahun. 


Pokok manggis adalah dari tumbuhan saka yang mampu mencapai ketinggian sehingga 7-25 meter dan mempunyai batang kayu yang keras. Pokok manggis adalah dari jenis pokok yang lambat tumbuh dan berbanding dengan tumbuhan lain seperti durian, rambutan, jambu batu dan sebagainya. Anak benih yang ditanam tumbuh sangat perlahan iaitu beberapa centimeter sahaja dalam satu bulan. Daun manggis berwarna hijau gelap dan tebal. Dahannya dari kayu keras dan mengeluarkan bunga di hujung atau di bahagian pucuk. Bunga manggis berwarna putih hijau dan terletak di hujung tunas. Akar tunjang pokok manggis agak kuat dan kukuh. Buah manggis berwarna hijau ketika muda dan bertukar kepada ungu coklat gelap apabila sudah masak. Buah manggis mempunyai 4-5 kelopak berwarna hijau dibahagian atas dan kelopak kecil2 dibahagian bawah buah. Isi buah manggis berwarna putih dan berbiji. Kulit manggis adalah tebal lingkungan 0.5-1.0 cm dan mengeluarkan cecair ungu bila di perah. Biji manggis berwarna coklat dan lembut.

Penanaman manggis biasanya menggunakan anakbenih daripada biji yang dikutip dan disemai. Kutip biji benih dari klon bermutu kerana biji manggis tidak tahan lebih dari 5 hari. Biji benih manggis dalam polibeg akan cambah dalam masa 2-3 minggu dengan disiram dan dijaga. Biarkan benih tumbuh sehingga setinggi 30-40 cm dengan mempunyai lebih 5 helai daun sebelum dialih keladang. Jarak tanaman manggis yang disyorkan ialah 7.5 meter x 7.5 meter untuk kepadatan sebanyak 175 pokok sehektar. Buat lubang penanaman 60 cm x 60 cm x 80 cm dalam dan berhati-hati ketika memasukkan anak benih manggis. Akar pokok manggis sangat sensitif dan mudah rosak. Pastikan dibubuh sungkupan dan penanda pada lokasi penanaman. Buat sulaman pada pokok yang mati. Kawasan yang sesuai untuk pokok manggis berhasil tinggi adalah kawasan seperti tepi sungai, tepi kolam dimana akar pokok manggis kekal lembab sepanjang tahun. Kawasan seperti sekitar Sungai Muar dan Sg Perak merupakan kawasan sesuai.

Pembajaan manggis seperti juga tanaman saka yang lain menggunakan baja NPK 15:15:15 sebanyak 0.5 kg sepokok setahun dari tahun pertama sehingga 1.0 kg/pokok tahun ke 6 dan ditambah kepada baja buah NPK 12:12:17:2 sebanyak 4-5 kg /pokok/ tahun untuk penghasilan. Pokok manggis dari baka biji benih biasanya berbuah dalam masa 6 - 12 tahun bergantung kepada pengurusan, jenis tanah dan baka. Bagaimanapun kini ada benih yang mampu berhasil kurang dari 6 tahun dari anakbenih terpilih. Kawalan rumpai perlu dijalankan pada peringkat awal penanaman seperti selaput tunggul dan lalang. Tanaman manggis tidak mempunyai musuh tanaman dan penyakit yang merbahaya. 


Ladang manggis di Pusat Pertanian Tangkak, Johor.
Pokok manggis yang matang mampu berbuah antara 100 - 3,000 biji bergantung kepada pengajaan dan umur pokok. Biasanya pokok manggis berbuah selepas musim hujan. Pemerhatian di Segamat mendapati pokok berumur 2-3 tahun mampu berbuah sebanyak 1.2 metrik tan sehektar/tahun dan meningkat kepada 7 mt/ha/tahun pada tahun ke 12-13. Pokok berumur 19-20 tahun pula sebanyak 22 mt/ha setahun dan pokok dewasa berumur 25 tahun mampu berbuah sebanyak 28 mt hektar setahun. Buah manggis yang masak dikenali dengan warna ungu gelap dan di kutip samada mengutip dengan tangan semasa panjat pokok atau gunakan galah panjang yang ada karung penampan buah. Buah manggis yang jatuh ketanah akan pecah dan rosak dan mudah busuk. Buah dikumpulkan dibersihkan dan digredkan mengikut saiz. Bagi jualan segar tempatan ditepi jalan buah manggis dijual secara longgok atau diikat dengan tali secara tersusun. Bagi pasaran ekspot seperti ke Jepun perlukan proses yang lebih rumit lagi.


Masaalah Gamosis pada buah manggis akan menyebabkan kualiti buah menurun dan ini akan menjejaskan pendapatan petani. Gamosis ada masaalah dimana buah manggis menjadi eras dan boleh dibaca artikel berkaitan dengan membuat link saya seperti diatas. Kajian penulis mendapati masaalah memetik hasil manggis merupakan cabaran utama dalam industri tanaman manggis. Kerja memetik buah manggis sukar terutama pokok dewasa yang tinggi dan besar. Pemerhatian penulis mendapati hanya 40-60 % sahaja buah yang dapat dipetik jika pokok terlalu tinggi dan besar dan yang lainya akan dibiarkan kering. Harga ladang di Segamat biasanya antara 10-20 sen sebiji dan dijual kepada pengguna dengan harga RM 30-50 sen sebiji atau RM 3.00 - RM 6.00 sekilogram. Buah manggis tahan tidak lebih 3-5 hari selepas dipetik dan akan rosak jika terdedah. 


Buah manggis merupakan buah yang sedap dimakan ketika segar dengan rasa manis dan 'juicy'. Cara makan buah manggis adalah dengan memecahkan kulit tebalnya dengan menekan kulit dan akan pecah. Keluarkan isinya dan makan. Berhati-hati kerana kulit manggis akan mengeluarkan warna unggu yang tidak mudah dihilangkan ditapak tangan atau pada pakaian yang cerah. Kajian saintis mendapati buah manggis mengandungi Vitamin C, Vitamin B1 dan B2, Niacin, Kalium, Protin, Zat Besi, Tanin, Resin, asid malic dan Crytalizable mangoestine. Buah manggis juga kaya dengan Xanthoes (Cantherchins, Polyphenols, Polisacyanide) yang merupakan super antioxidant. Manggis mampu mengubati penyakit cirit birit dan kulitnya adalah bahan pewarna yang berkualiti. Pengusaha gula melaka menggunakan kulit manggis kering untuk pewarna semula jadi ketika masak gula melaka. Penanaman manggis selaku "RATU SEGALA BUAH" di Malaysia perlu di majukan dengan pelbagai program dan insentif.

HITAM-HITAM ...SITAMPUK MANGGIS...
HITAM DILUAR ...DALAMNYA MANIS....
KITA MAJUKAN... JANGAN TEPIS...
TAKUT NANTI... KEMPUNAN MENANGIS...

By
M Anem

Senior Agronomist
Stesyen Pertanian Tangkak,
Ledang, Johor,
Malaysia
(Kemaaskini pada 23 Julai 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...