KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, June 28, 2010

LADA HITAM (Part 1)


Lada Hitam (Piper nigrum Linn) yang dipercayai berasal dari Barat-Daya India rempah daripada keluarga Piperaceae yang digunakan dengan meluas diseluruh dunia. Serbuk lada hitam digunakan sebagai perasa makananmerupakan produk buah daripada tumbuhan tropika jenis memanjat. Di Malaysia tanaman lada hitam banyak ditanam di Sarawak selain daripada sedikit di Johor (Kulai) dan Sabah. Keluasan tanaman lada hitam di Malaysia adalah pada kadar sekitar 13,000 hektar dimana kebanyakannya ditanam oleh pekebun kecil terutama di negeri Sarawak. Tanaman lada telah ditanam sejak tahun 1856 tetapi penanaman secara meluas bermula pada tahun 1900-an. Tanaman ini telah dibawa masuk ke negara kita oleh penjajah yang membawanya daripada negara lain. Artikel kali ini dalam "Anim Agro Technology" saya akan membincangkan teknologi tanaman lada hitam berdasarkan pembacaan dan pengalaman penulis yang telah bertugas di Jabatan Pertanian Sarawak pada tahun 1995 – 1997 dan memberikan khidmat pengembangan teknikal semasa melawat projek lada hitam. Tanaman lada hitam merupakan tanaman yang perlukan perubahan teknologi untuk ianya lebih berdaya saing.

Kini tanaman lada masih merupakan salah satu tanaman kontan yang penting sebagai punca pendapatan untuk kira-kira 67,000 penduduk di kawasan pedalaman Sarawak. Keluasan purata kebun lada adalah 0.2 hektar (Setengah ekar). Lada Hitam banyak ditanam di beberapa daerah di Bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Sarikei. Anggaran semasa kawasan penanaman lada ialah kira-kira 13,000 hektar. Di Johor Lada Hitam di tanam oleh beberapa pengusaha Cina di Kawasan Kulai dan Kluang. Malaysia mengeksport sebanyak 19,748 tan metrik lada pada tahun 2004 dan 18,824 tan metrik pada tahun 2002 yang masing-masingnya bernilai RM113.2 juta dan RM120.0 juta. Hampir 98 peratus pengeluaran lada di Malaysia adalah di Sarawak. Pengeluaran untuk tahun 2004 adalah 20,000 tan metrik. Malaysia kini menduduki tangga kelima negara pengeluar lada dunia selepas negara Vietnam, India, Indonesia dan Brazil. Kira-kira 95 peratus perdagangan lada dunia adalah dalam bentuk lada hitam dan putih, manakala selebihnya adalah dalam bentuk oleoresin lada, minyak lada, lada hijau dan lada kisar.

Pokok lada hitam hidup subur di kawasan beriklim tropika yang panas dan lembap. Lazimnya, lada hitam akan dibiak daripada keratan batang dan pembiakan menggunakan biji jarang dilakukan. Pembiakan daripada biji bagaimana pun hanya untuk tujuan penyelidikan bagi mendapatkan varieti-varieti baru yang tahan penyakit dan mengeluarkan hasil tinggi. Sistem akar berkembang daripada akar adventitius yang terbentuk pada bahagian buku keratan batang yang ditanam. Daun akan keluar pada setiap buku semasa peringkat tumbesaran keratan pucuk utama. Akar adventitius juga akan berkembang untuk membantu pucuk melekat pada tiang sokongan. Pada setiap buku, mata tunas aksil tumbuh menjadi dahan sisi dan seterusnya akan mengeluarkan sulur buah.

Bunga lada keluar pada buku yang bertentangan dengan setiap daun di dahan sisi. Kebanyakan kultivar lada mempunyai bunga dwiseks yang kebiasaannya mengalami pendebungaan sendiri. Buah lada yang lebih dikenali sebagai beri, berwarna hijau dan berkeadaan lembut di peringkat awal pembentukan. Ia bertukar ke warna hijau tua dan menjadi keras apabila matang. Kulit luar (eksokarpa) berwarna kuning dan merah cerah dan menjadi lembut apabila masak. Setiap beri lada mengandungi biji tunggal yang diselaputi isi buah (mesokarpa). Lada hitam terdiri daripada keseluruhan beri yang telah dikeringkan manakala lada putih adalah biji lada. Rasa pedas buah lada adalah disebabkan oleh kehadiran alkaloid piperine, chavisine dan piperettine manakala minyak pati menghasilkan aroma lada. Kedua-dua sebatiantersebut membentuk oleoresin yang dapat diperolehi melalui proses ekstraksi pelarut. Kepedasan lada juga dipengaruhi oleh varieti dan persekitaran penanaman lada.


Terdapat banyak kultivar di Negara India yang merupakan tempat asal tanaman lada. Di Sarawak, kultivar yang paling banyak ditanam ialah Jenis 'Kuching '. Melalui penyelidikan, dua kultivar, iaitu 'Semongok perak' dan 'Semongok emas' telah disyorkan kepada petani. Terdapat 47 'kemasukan' (accessions) Piper nigrum dan 46 'kemasukan' (accessions) spesies Piper di dalam koleksi germplasma lada di Pusat Penyelidikan Pertanian Semongok, Sarawak. Bahan-bahan ini digunakan untuk program penambahbaikan tanaman lada. Lada mula ditanam oleh pekebun Cina. Kini kira-kira 87 peratus daripada pekebun lada adalah kaum bumiputera, terutama kaum Iban dan Bidayuh, hasil daripada galakan dan bantuan skim penanaman yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian sejak tahun 1972. Bantuan merupakan anak benih, baja asas, tiang tanaman dan khidmat nasehat teknikal dari pegawai pertanian. Harga lada hitam yang tidak menentu dulu telah menjadikan industri ini pernah lumpuh satu ketika dulu.

Di Sarawak, lada ditanam sebagai Tanaman Tunggal (monocrop) tanpa naungan terutamanya di kawasan lereng yang bercerun landai dan curam. Untuk kebun lada yang terletak di kawasan rendah dan mendatar maka sistem parit perlu disediakan. Pokok lada ditanam di atas busut yang disediakan semasa penyediaan tanah. Secara tradisional, pekebun mengamalkan merumpai bersih kebun lada mereka. Amalan ini sering mengakibatkan hakisan tanah yang teruk, oleh itu pekebun lada kini digalakkan menanam tanaman penutup bumi. Masa yang paling sesuai menanam lada adalah di antara bulan Oktober hingga Disember. Bahan tanaman yang boleh digunakan ialah keratan tanpa akar, keratan berakar atau keratan dalam polibeg. Jarak antara tanaman yang disyorkan ialah 2.5m x 2.0m (2,000 pokok lada/hektar). Keratan yang baru ditanam perlu diberi naungan atau lindungan sehingga ia tumbuh dengan sempurna. Pokok lada yang masih muda dilatih untuk tumbuh memanjat pada tiang sokongan. Secara tradisional, tiang kayu belian digunakan sebagai sokongan. Walau bagaimanapun, hasil kajian telah mendapati tiang sokongan hidup daripada pokok jenis kekacang (contohnya Gliricidia sepium dan Erythrina indica) sesuai digunakan sebagai tiang sokongan alternatif.

Pokok lada hendaklah dicantas untuk menggalakkan pembentukan kanopi yang sesuai. Tiga pusingan pemangkasan disyorkan: pangkasan pertama ialah enam bulan selepas menanam untuk pengeluaran tiga pucuk utama. Pangkasan kedua adalah di peringkat 12–14 bulan apabila pokok lada mencapai ketinggian separuh tiang sokongan. Pangkasan terakhir dilakukan apabila pucuk utama mencapai bahagian atas tiang sokongan dan ini adalah seiring dengan masa pengeluaran buah yang pertama. Pembajaaan bagi pokok lada memerlukan banyak bekalan nutrien. Penggunaan baja kimia adalah penting untuk pengeluaran hasil yang tinggi. Pengapuran juga perlu dilakukan untuk meningkatkan kandungan zat pemakanan Kalsium (Ca) dan Magnesium (Mg) serta untuk mengawal kemasaman (pH) tanah. Pokok lada muda perlu kerap dibaja dengan baja yang mengandungi nutrien utama Nitrogen (N), Fosforus (P) dan kalium (K). Pokok lada matang pula memerlukan bekalan nutrien dalam kuantiti yang banyak. Keperluan baja, komposisi nutrien dan jadual pembajaan untuk pokok lada yang matang dan belum matang telah dikaji. Gejala kekurangan nutrien dan keracunan juga telah dihuraikan.


Pokok lada lazimnya mengeluarkan hasil yang pertama pada awal musim hujan di tahun kedua penanaman. Pengutipan hasil dilakukan mulai bulan Mac hingga Ogos. Lada hitam dihasilkan dengan menjemur buah lada yang telah matang tetapi belum masak di bawah cahaya matahari. Lada putih diproses dengan merendam buah lada dalam air bersih yang mengalir untuk membuang lapisan isi buah (perikarpa) sebelum dikeringkan di bawah matahari. Untuk penghasilan lada putih, sagaran buah yang mempunyai banyak buah yang hampir masak digunakan.

Banyak serangga perosak dan penyakit boleh menyebabkan kerosakan pada tanaman lada. Serangga perosak utama yang merosakkan pokok dan bunga lada ialah Kumbang belalai (Lophobaris piperis) dan Kepinding lada (Dicronocoris hewetii). Kumbang rokok (Lasioderma serricorne) juga boleh merosakkan biji lada semasa penyimpanan. Penyakit yang biasa menyerang lada adalah disebabkan oleh kulat yang membiak dalam keadaan yang panas dan lembap. Penyakit yang perlu diawasi oleh pekebun lada ialah Penyakit reput akar (Phytophthora capsici), Penyakit buah hitam (Colletotrichum capsici, C. piperis dan C. gloeosporioides), Penyakit Cendawan angin (Corticium salmonicolor), Penyakit hawar lembut (Septobasidium sp.), Penyakit akar putih (Rigidoporus lignosus) dan Penyakit kuning (disebabkan oleh gabungan serangan Cacing nematod Radopholus dan Kulat Fusarium Fusarium solani). Cacing nematod (Meloidogyne spp.) menyerang bahagian akar pokok lada. Penyakit daun keriting yang disebabkan oleh virus juga boleh menyerang pokok lada muda dan matang. Kawalan perlindungan tanaman lada daripada serangga perosak dan penyakit dengan menggunakan bahan kimia menyebabkan kos pengeluaran lada meningkat.

Kira-kira 70 peratus lada keluaran Sarawak dieksport dalam bentuk lada hitam dan selebihnya adalah sebagai lada putih, jeruk lada, lada nilai tambah dan produk hasil lada yang lain seperti serbuk lada hitam (Foto sebelah) . Di kawasan pedalaman, pekebun menjual hasil lada mereka kepada peniaga di kampung yang kemudiannya menjual kepada peniaga di bandar. Di kawasan yang berhampiran bandar, pekebun akan menjual terus kepada peniaga di bandar atau pengeksport. Lembaga Pemasaran Lada Hitam, sebuah Agensi Persekutuan yang ditubuhkan pada tahun 1972, bertanggungjawab terhadap maklumat pemasaran, promosi dan pengembangan, penambahbaikan kualiti, perdagangan, peraturan pemasaran melalui pelesenan peniaga dan pengeksport lada serta pembangunan produk lada.

Masalah utama dan kekangan yang dihadapi oleh pekebun lada adalah :-
• Peningkatan kos pengurusan serangga perosak dan penyakit
• Harga baja dan kos tenaga kerja bertambah
• Harga pasaran eksport yang turun naik

Berikut adalah beberapa program penyelidikan untuk menyokong perkara di atas :- Germplasma lada – koleksi dan penilaian peringkat ladang
• Pembiakbaikan dan pemilihan genotip yang sesuai dengan ciri yang diingini
• Keperluan baja mengikut jenis tanah, genotip dan tanaman penutup bumi
• Amalan penanaman untuk sistem pengeluaran lada berkos-rendah
• Pembangunan kaedah pengutipan hasil menggunakan tenaga buruh yang kurang
• Kajian lanjutan ke atas kawalan penyakit reput akar Phytophthora.
• Amalan penanaman dan kawalan kimia terhadap penyakit utama lada yang lain.
• Kawalan bersepadu terhadap kumbang belalai dan serangga perosak semasa penyimpanan.
• Pemantauan kandungan sisa baki racun perosak dalam lada yang diproses
• Rawatan melalui akar ('root feeding') sebagai kaedah alternatif penggunaan racun perosak. • Pembangunan lada transgenik dengan ciri kemasakan buah yang terkawal untuk mengurangkan jumlah pusingan mengutip hasil.
• Analisis sisa baki racun perosak bagi lada yang diproses
• Mengguna kaedah bioteknologi untuk pembiakbakaan, penandaan DNA dan diagnostik penyakit lada
• Menambahbaik teknik pemprosesan untuk menghasil lada yang lebih berkualiti dan mempunyai nilai tambah

Penanaman Lada Hitam di Malaysia merupakan satu aktiviti pertanian yang perlu ditingkatkan amalan teknologinya. Jemaah Lada Hitam Malaysia perlu meneruskan fungsinya sebagai agensi yang membantu membangunkan penanaman dan promosi lada hitam di Malaysia. Selain dari produk tradisi lada hitam juga perlu diproses untuk nilai tambah lebih tinggi pada masa akan datang. Wassalam....

TANAM LADA….LADA HITAM NAMANYA…
SEMONGGOK EMAS…VARIETI TERNAMA...
HARGA TINGGI…DIPASARAN DUNIA….

SARAWAK….PENGELUAR UTAMA…

By
M Anem

Room 205, Dragon Hotel,
Senai, Johor,
Malaysia.
Pernah kerja di Kuching Sarawak
(Dipetik dari artikel DOAS)

Kemaskini pada 11 Mei 2013

4 comments:

  1. Salam to you Anim,

    Saya baru memasuki blog anda dan dapati maklumat pertanian yang begitu banyak dan berfaedah. Saya sedang membuat kajian untuk menceburi alam pertanian dan memerlukan panduan dan nasihat dari ahli pertanian seperti anda. Boleh kah saya menghubungi Cik Anim untuk berkongsi maklumat tentang rancangan pertanian saya.

    Terima kasih,
    HAIRANAH AHMAD
    Singapura

    ReplyDelete
  2. Boleh saja minta pandangan....gunakan email sahaja

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
  3. thanks,.,

    good information...
    http://www.dije.web.id

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...