Thursday, July 1, 2010

Kelapa Pandan

Kelapa Pandan (Cocos nucifera) merupakan satu tanaman saka dari keluarga ARECACEAE yang diusahakan untuk tujuan minuman air kelapa segar di Malaysia. Kelapa Pandan ini dipercayai berasal daripada negara Thailand dimana ianya diusahakan kebanyakkan di kawasan tanah rendah seperti di kawasan sawah padi dan tanaman dusun campuran dinegara tersebut. Saya baru sahaja melawat satu ladang kelapa pandan yang luas di Jasin, Melaka iaitu seluas lebih kurang 40 ekar. Kebun tersebut dimiliki oleh Encik Ah Tee telah berumur 10 tahun dan dikelilingi dengan ladang getah dan kelapa sawit serta tiada kampong atau ladang kelapa lain yang berdekatan (Jalan masuk kekebunya hampir 64 km dari Bandar Jasin dan 2.5 km masuk jalan kebun - 20 minit dengan 4WD) . Kebun terasing ini adalah penting untuk mempastikan tidak ada pokok kelapa varieti lain berdekatan yang akan menyebabkan berlaku pedebungaan silang atau kacuk mengakibatkan kelapa dihasilkan nanti adalah Kelapa Pandan Tulin. Artikel kali ini saya menulis teknologi penanaman kelapa pandan yang dilaksanakan oleh Mr Ah Tee.


Jarak tanaman ditanam 20 kaki x 20 kaki dan menurut Ah Tee (Gambar sebelah) dia berminat untuk memperluaskan tanaman kelapa pandan dengan membuka kawasan baru nanti dan akan menanam dengan jarak lebih jauh sekitar 23 kaki x 23 kaki. Ini kerana jarak tanaman sekarang terlalu rapat apabila pokok berumur 10 tahun dan menjejaskan sinaran matahari. Kawasan ini ditanam dengan tembikai dan labu semasa peringkat awal penanaman selama 4 tahun. Pemerhatian saya mendapati pertumbuhan pokok adalah seragam dan subur. Ah Tee mengamalkan Amalan Pertanian Baik (GAP) dimana tiada sebarang racun serangga atau racun kulat yang digunakan di ladang beliau. Rumput di urus dengan mesin 'Rotor Slasher' dan 'Power Ripper' dimana tiada racun rumpai digunakan sejak 5 tahun dulu. Ini penting untuk menjamin air kelapa dari kebun beliau tiada kesan sisabaki racun kerana ianya untuk minuman. Pokok kelapa adalah sensitif dengan sebarang racun kerana mempunyai akar serabut yang cepat menyerap racun dan mengalirkannya kebahagian lain pokok.


Terdapat 15 haif Lebah Keran (Apis cerana) yang disusun di bahagian tengah antara pokok kelapa dalam kebun bertujuan untuk meningkatkan proses pendebungaan. Ah Tee mendakwa lebah tersebut telah meningkatkan kadar pendebungaan kelapa pandan sebanyak 60% berbanding dengan sebelum dimasukkan lebah 2 tahun dulu. Lebah tersebut disusun di atas bakul buah atau tiang kayu yang juga kurang diberi perhatian atau diurus seperti teknologi pemeliharaan lebah yang saya ajar penternak lebah di Muar dan Parit Botak (Saya terlibat dengan teknologi penternakan lebah madu hampir 11 tahun). Kutipan madu bagaimana pun lingkungan 8-10 kilogram setiap bulan walau pun pengurusan haif lebah pada tahap minima. Saya dapati sumber nektar mencukupi terutama pada musim kering. Madu dijual dengan harga RM 10.00 - RM 15.00 satu botol 250 -300 ml. Madu dari nektar kelapa mempunyai aroma dan kadar kamanisan yang sangat baik. 


Teknologi Pembajaan Kelapa Pandan mnggunakan dikebun ini menggunakan sejenis baja impot (Jenis Yara Mila) yang mana ianya mengandungi NPK 12:11:18S:3 MgO + 85 + TE dan sangat berkesan untuk kesuburan pokok kelapa pandan. Baja Yara Mila diimpot dan diedar oleh sebuah syarikat di Tangkak, Muar, Johor. Baja sebatian SOP juga digunakan (NPK15:10:20:2 TE) yang di tabur sebanyak 4 kali setahun pada kadar 200 gram sepokok. Bagi mempastikan kualiti hasil kelapa seperti dikehendaki iaitu ujudnya kualiti 'Bau Pandan' dan 'Rasa Manis', maka teknologi bubuh Garam Makan/Masin di tabur sebanyak 1-2 kg sepokok sebanyak 4 kali setahun. Baja organik tahi ayam proses juga ditabur sebanyak 300-400 gm sepokok sebanyak 3 kali setahun. Kaedah pembajaan ini sesuai untuk umur pokok 10 tahun dan diberikan di keliling pangkal kanopi pokok. Perlu difahami yang pokok kelapa pandan memerlukan baja organik yang banyak untuk menjamin kesuburan pokok.


Penuaian Kelapa Pandan yang hendak di petik dipilih dari tandan yang paling bawah dimana terletak pada kedudukan selari dengan tandan buah diatasnya apabila saiz buah itu sebesar 'gengaman tangan'. Buah di petik menggunakan sabit dengan galah aluminium yang tajam. Dengan ketinggian sekarang antara 15-20 kaki satu teknik baru di praktikkan di kebun ini. Sebelum memetik hasil pekerja akan memotong satu pelepah daun tua dahulu. Pelepah tersebut akan dijadikan 'laluan turun' bagi tandan buah yang dipotong dengan jatuh melorot dan sampai ketanah agar tidak rosak atau pecah. Kaedah menggunakan tangga dan tali kini sudah tidak praktikal lagi untuk memetik tandan kelapa pandan dikebun Ah Tee kerana lambat dan kurang praktikal.


Buah yang dipetik akan di kumpulkan, di periksa dan digredkan mengikut saiz (70-80% mempunyai saiz seragam). Keseragaman buah amat tinggi dikebun ini kerana teknologi penggunaan baja dan amalan kebersihan kebun sangat baik. Kajian Ah Tee mendapati hasil pengeluaran buah kelapa pandan ada waktu rehat iaitu selama 2 bulan setiap tahun atau dikatakan 'musim lawas'. Penghasilan dari kebun ini dilaporkan sekitar 65,000 - 70,000 biji  kelapa muda sebulan dan kelapa tersebut dijual kepada FAMA (30%) dan Pasar Borong Melaka(70%). Harga purata jualan  ladang kelapa pandan Ah Tee ialah RM 1.00 sebiji jika datang ambil di kebun dan RM 1.30 sebiji jika dihantar ke Melaka atau Tangkak, Johor. Kekerapan memetik buah 2-3 kali seminggu ikut jadual biasa dan ditambah jika ada tempahan khusus dari pembeli atau pemborong.


Kebun dijaga bersih dan tiada racun digunakan di kebun kelapa pandan ini.


Keluasan kebun kelapa 40 ekar ini cuma perlukan 3 orang pekerja (Pekerja asing - Indon) sahaja untuk mengurus kebun dan dakwa Ah Tee tanaman ini hampir 2-3 kali ganda lebih untung dari tanaman kelapa sawit. Purata pendapatan kasar bulanan antara RM 60,000 - RM 70,000 sebulan. Kebanyakkan kelapa pandan ini digunakan untuk  air minuman kelapa segar dan dijual runcit pada harga RM 4.00 - RM 5.00 sebiji di restoran biasa. Harga kelapa pandan yang di kupas kulit akan mencapai sehingga RM 7.00- RM 10.00 sebiji jika di jual dalam hotel dan Kompleks Perniagaan. Menurut Ah Tee penjual air kelapa di pasar malam atau ditepi jalan cuma menggunakan sebanyak 10 biji kelapa pandan yang dikopek kemudian dimasukkan kedalam tong air dan yang banyak ialah air gula dan ais! Tetapi saya terjumpa penjual di pasar malam ada yang menggunakan air kelapa dari Varieti Kelapa Tinggi (Malaysian Tall) atau Varieti Kelapa Matag dan dibubuh 'perasa pandan' ... jangan tertipu!.. Dah haus sedap juga.


Teknologi tanaman kelapa pandan memang telah ada di Jabatan Pertanian dan pengusaha swasta. Saya juga telah menjumpai ramai petani yang gagal menjadi usahawan kelapa pandan seperti Mr Tan (Di Kahang, Kluang, Johor), En Yusop (Di Endau, Mersing), En Tham (di Desaru, Kota Tinggi) dan ramai lagi. Antara punca kegagalan penanaman kelapa pandan ialah kerana kerosakan tanaman oleh serangan musuh (Kumbang Tanduk, Nematod, Ulat Makan Daun) dan binatang liar (Babi Hutan, Lembu, Kambing) pada 2 tahun pertama penanaman. Punca benih sah terjamin juga menjadi satu masaalah dimana setelah pokok berbuah bukan semua menjadi kelapa pandan. Kelapa pandan perlu ditanam secara terasing di Malaysia dan kawasan tersebut kebanyakanya ditepi hutan atau dikelilingi ladang getah atau sawit yang terasing untuk menjamin tidak berlaku 'cross-pollination'.


Semuga artikel ini memberikan maklumat tambahan kepada mereka yang membaca. Lawatan kekebun Ah Tee di Kg Cohong, Jasin, Melaka ini memberikan satu perspektif baru mengenai amalan teknologi dan agronomi penanaman kelapa pandan. Mungkin cara pengurusan kelapa pandan perlu disesuaikan dengan kawasan yang agak berlainan. Selamat minum air kelapa pandan. Ianya sangat sedap diminum ketika kita sangat dahaga apa lagi kalau dapat free!

TANAM KELAPA ....KELAPA PANDAN .....
KEBUN DIJAGA...GAP DI AMALKAN....
BUAH SERAGAM....HARGA LUMAYAN...
BERANI MELABUR...PASTIKAN PASARAN...


Related Article:
1. Coconut (Klik disini)
2. Air Kelapa Muda (Klik disini)
3. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)
4. Minyak Kelapa Dara (Klik disini)
5. VCO (Click heere)


By
M Anem
Jasin, Melaka
Malayisa

8 comments:

helmy bin mustafa said...

salam, nak tanya kebun ah tee kat jasin dibahagian mana ? saya amat berminat nak melawat ladang beliau...

Helmy

M Anem said...

Kat Kg Chohong, nak tahu tanya kat pejabat pertanian Jasin, mereka boleh bawa . Cari tak jumpa..masuk dalam kawasan kebun getah dan sawit kena naik 4WD

Rangkuti said...

how to get the seed?any infos can be shared?

thanks

Efri

M Anem said...

Kelapa Pandan Seedling available at Private Nursery that was certified by authority. Ensure to get the genuine seedling from friends or existing growers.

khalid said...

Boleh saya dptkan no tel ah tee... berminat membeli kelapa dari nya utk perusahan saya. Tqvm.

Rumah Rehat Tanjung Bidara said...

Boleh saya beli kelapa muda sebanyak 250bj
ambik sendiri dari Ahmad Temerloh Pahang

anak johor said...

salam...., satu artikel yg sangat baik, tapi sayangnya pemilik blog ini tidak membenarkan salinan untuk disimpan oleh pelawat blog.satu tindakan yg tidak mesra pelawat.takkanlah nak simpan dalam kmpter pon kena minta izin.

kalau semua ilmu perlu diminta izin untuk disimpan,kita semua kena jumpa rasulullah agar membenarkan kita menyalin naskah al'quran.

Wangi74 said...

Tkasih info yang padat dan senang difaham.40ekar tu...

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...