Friday, July 30, 2010

TUPAI

Reactions: 

Tupai (Callosciurus cenisep atau C. nigrovittatus, atau C. notatus) merupakan sejenis binatang dari keluarga Sciuridae iaitu sejenis Rodentsia yang terdapat dinegara kita dan sering dikenali sebagai perosak tanaman terutama buah-buahan. Tupai merupakan sejenis binatang Mamalia yang berdarah panas dan memakan kebanyakannya dari jenis tumbuh-tumbuhan dihabitatnya. Tupai merupakan sejenis binatang yang makan bahagian Buah, Daun, Kulit Pokok malahan bahagian akar tumbuhan. Antara pokok buah-buahan yang menjadi kegemaran ialah buah Durian (Durio zibethinus Murr) , Kelapa, Rambutan , Mangga, Betik, Manggis, Nangka , Duku, Langsat dan banyak lagi. Ada peribahasa "Kelapa di Tebuk Tupai"...maknanya... Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pengenalan haiwan tupai yang terdapat dikampong dan ianya dikategorikan sebagai perosak kerana makan buah-buahan tempatan seperti Durian, Nangka, Cempedak dan sebagainya.

Di Malaysia terdapat lebih 12 jenis tupai yang dikenalpasti popular dan lazim ditemui dimana kebanyakkannya adalah jenis Tupai Terbang iaitu yang habitatnya diatas pokok (walau pun banyak lagi yang belum popular atau belum di kenalpasti dalam hutan dan sekitar kebun). Antara jenis-jenis tupai yang ada ialah seperti Tupai Tanah dan antara Jenis Tupai Terbang yang ada ialah Tupai Terbang Bintang, Tupai Kinabalu, Tupai Kerawak putih-Kuning, Tupai Terbang Berjambang, Tupai Terbang Dada Putih, Tupai Terbang Comot, Tupai Terbang Merah, Tupai Terbang Pipi Kelabu, Tupai Terbang Thomas, Tupai terbang Ekor Terbang dan Tupai Terbang Kecil. Namanya memang comel-comel....

Bahagian buah yang menjadi kegemaran tupai adalah buah yang hampir masak dimana tupai akan membuang kulit dengan menebuk dan memakan isinya. Akibatnya buah akan berlubang kemudian rosak dan seterusnya busuk akibat serangan kulat serta tidak sesuai untuk dimakan segar atau dijual. Tanda-tanda serangan Tupai adalah apabila didapati kulit dan biji bertaburan diatas tanah dan apabila diperiksa buah telah berlubang. Yang paling menjengkelkan kita adalah apabila buah yang ditebuk belum habis dimakan, tupai akan tebuk buah lain yang lebih manis dan masak mengikut kesukaannya.

Tupai adalalah mamalia yang bersosial dimana mempunyai masyarakat dimana Tupai Jantan dan betina yang tinggal dalam sarang bersama dan kemudian melahirkan anak. Sarang tupai terdiri daripada ranting-ranting dan daun-daun kayu yang dibuat dikawasan agak tinggi dan selamat dari ancaman musuh seperti ular dan burung pemangsa. Tupai biasanya mengeluarkan bunyi yang nyaring utuk berkomunikasi dengan kumpulan atau ahli keluarganya apabila mereka mencari makanan atau diganggu musuh.
Kelebihan tupai yang saya perhatikan ialah kemampuannya bergerak dengan pantas dan laju diantara satu pokok dan satu dahan ke destinasi yang lain. Tupai mampu terbang dengan lompatannya dari satu dahan kedahan lain atau dari bahagian atas kebahagian bawah dengan imbangan kaki dan ekornya. Kukunya yang tajam menjadikan cengkamannya sangat kuat pada daun atau dahan kayu yang dia hinggap. Tupai juga mempunyai gigi yang sangat tajam dan mampu memgigit dengan pantas untuk menebuk kulit buah-buahan malahan kulit atau batang pokok.


Kawalan tupai agak rumit juga iaitu dengan menyediakan perangkap khas iaitu dengan memasang Perangkap Kotak berpintu 'spring' yang diberikan umpan dan tupai akan masuk kedalam perangkap tersebut. Kutip tupai yang masuk dalam perangkap dan musnahkan. Bentuk perangkap lain adalah dengan memasang perangkap seperti peranggkap tikus yang diikat pada dahan laluan utama tupai. Apabila tupai lalu untuk memakan umpan maka ianya akan tersepit dan boleh mati. Kaedah yang paling popular dikalangan pemilik dusun ialah dengan menembak tupai pada musim tertentu. Tupai akan ditembak menggunakan peluru penabur dan ianya paling berkesan untuk memusnahkan tupai. Kaedah lain ialah dengan memberikan umpan yang telah dibubuh racun (sesuai jika bukan musim buah) dan apabila tupai makan akan mati perlahan-lahan.

Kaedah memusnahkan sarang tupai di pokok atau diatas tanah juga dapat mengurangkan populasi tupai. Kaedah memusnahkan sarang tupai ialah dengan membakar atau membuangnya. Tupai tidak boleh di halau dengan mendengar salakan anjing seperti binatang monyet dan babi hutan. Bagi tupai tanah yang saiznya agak lebih besar akan sukar dikawal jika sekitar dudun kita semak samun yang tebal dimana ianya sesuai untuk tupai bersembunyi.  
Ada juga penggemar binatang liar memelihara tupai sebagai binatang peliharaan dalam sangkar atau Sarang. Biasanya makanan seperti buah-buahan tempatan diberikan sebagai makanan serta air minuman. Daripada pembacaan saya mendapati kebanyakkan tupai terbang di Malaysia adalah dilindungi oleh Akta Hidupan Liar maknanya tidak boleh di tangkap atau di bunuh sewenang-wenangnya. Hukuman dan denda dibawah akta ini juga agak berat.

Tupai merupakan perosak tanaman yang boleh mendatangkan kerugian kepada petani sehingga 70-80 % banyaknya. Petani yang menanam durian merupakan mereka yang paling terjejas setiap musim jika tidak dibuat kawalan sempurna. Tupai dengan giginya yang tajam akan mengigit kulit dan makan isi buah durian sehingga habis atau dimakan sebahagian sahaja. Kesan gigitan tupai menyebabkan kita tidak dapat jual durian kerana hanya kualiti buah durian yang baik sahaja akan menjadu buruan peminat durian. Tanda serangan tupai apabila kita lihat buah durian sudah ditebuk sebelum gugur dan terdapat sisa-sisa gigitan. Demikianlah pengetahuan saya mengenai tupai yang saya ingin 'share' dengan para pembaca...maklumlah dulu masa kecil memang duduk kampung kat Muar, Johor memang suka lastik tupai sebagai satu acara kebanggaan kami untuk mengetahui siapa sebenarnya HERO..JUARA LASTIK...


BUAH YANG SEDAP...DITEBUK TUPAI...
KALAU DITEMBAK...KEPALA BERSEPAI...
KALAU DIPERANGKAP...TINGGI TAK CAPAI...
APA NAK BUAT....REZEKI TERGADAI...

By
M Anem,

Senior Agronomist,
Tangkak Agriculture Station,
Jalan Bekoh, Ledang,
Johor, Malaysia.
(Kemaskini pada 10 Ogos 2013)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA