Friday, July 2, 2010

Jambu Air Merah


Jambu Air (Euginia aquea) adalah sejenis buah-buahan tropika yang sesuai ditanam dinegara kita sama ada berskala kecil atau komersil. Pada masa ini terdapat beberapa varieti atau klon jambu air yang popular iaitu Klon E3 (Jambu Air Madu Merah - Foto diatas ) dan Klon E2 (Jambu Air Madu Hijau). Keluasan tanaman jambu air di Malaysia belum ada catitan rasmi tetapi anggaran penulis lingkungan 150-170 hektar pada tahun 2012 berdasarkan kepada keluasan CHE (Crop equivalent hectarage). Penanaman jambu air banyak dijalankan untuk tanaman suka-suka keliling rumah pada masa dahulu dengan tidak mementingkan varieti dan pengurusan yang sempurna. Kini telah ramai petani yang mula menanam jambu air secara komersil walau pun ia bukan merupakan tanaman yang diminati. Kawasan utama penanaman jambu air mengikut kajian penulis adalah seperti di Johor, Perak, Selangor, Melaka dan Pahang. Jambu Air Merah ditanam untuk kegunaan makan segar dan merupakan satu industri buah-buahan yang baru di Malaysia. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman jambu air yang disediakan berdasarkan pengalaman penulis, kepakaran, lawatan ladang, pembacaan dari beberapa buku dan juga perbincangan dengan mereka yang terlibat.


Penulis baru sahaja melawat kebun Jambu Air Merah yang ditanam berskala komersial di Kg Relau, Asahan, Jasin, Melaka serta dapat mempelajari beberapa ilmu tambahan bagaimana cara pengurusan penanaman Jambu Air Merah oleh Usahawan Encik Liow (Foto sebelah). Jambu Air beliau telah didaftarkan dengan nama JAMBU AIR ASAHAN (E6). Kebun beliau seluas 8.5 ekar ditanam dengan beberapa jenis tanaman iaitu Jambu Air Merah sebagai tanaman utama dan juga Kedondong, Cili Padi Fertigasi, Nangka sebagai tanaman sampingan. Tanaman utama iaitu Jambu Air Merah adalah satu varieti baru yang didakwa Jenis Taiwan dan ia merupakan varieti Baru (Belum ada nama khas dan belum daftar). Cili-ciri utama jambu beliau ialah kadar keguguran bunga yang sangat rendah, penghasilan yang tinggi, Bentuk buah yang seragam, Tiada Biji, Kepadatan isi (Hampir tiada rongga ditengah buah), Rangup, Kemanisan 10-14 Darjah Brix, Buah yang menarik warnanya, pokok buah boleh direndahkan dan tangkai jambu air yang kuat. Ciri-ciri ini menyebabkan beliau akan memperbesarkan projek tanaman jambu air. Beliau nyatakan perlukan tenaga keja tambahan untuk kerja-kerja membalut buah kerana bilangan 4 orang masakini tidak mencukupi.


Jarak tanaman di kebun ini ialah 40 kaki x 40 kaki dengan kepadatan 65 pokok seekar. Pokok di kebun beliau kini yang telah berumur 5 tahun tumbuh subur dan sangat bersih. Daun yang luruh dan dahan yang dicantas dikutip setiap masa. Cantasan pembentukkan peringkat awal dijalankan agar pokok pada ketinggian terkawal. Benih Jambu air ini diperolehi dari kerja-kerja biakbaka yang En Liow jalankan di Muar dan pokoknya yang banyak ditanam di Jasin. Penjagaan kebun sangat baik dan beliau sedang membuat kajian untuk buat cantasan pucuk atau 'Topping' bagi merendahkan lagi pokok untuk memudhkan pengurusan kebun terutma membalut buah (40% kerja ladang untuk balut buah).


Setiap pokok di pasang dengan sistem pengairan mikro-sprrinkler sebanyak 2 unit berhampiran perdu pokok (2-3 kaki dari pangkal pokok dengan penyiraman setiap hari jika tidak hujan). Pam air membekalkan air pada setiap pokok dari kolam disediakan. Baja Organik iaitu tahi ayam proses di tabur keliling pokok di hujung kanopi daun dan baja impot Yara Miles juga digunakan. Kawalan rumpai dijalankan dengan mesin rumput dan tidak menggunakan racun rumpai. Dahan dan daun di potong dan dikutip dan dikumpulkan disatu lokasi untuk dibakar. En Liow sedang dalam proses hendak proses dahan dan daun untuk dijadikan baja kompos.


Pokok jambu Air Taiwan ini berbuah sepanjang tahun dengan agak melawas pada musim hujan. Buah yang banyak pada satu tangkai di buat penjarangan ditinggalkan 2-3 biji sahaja satu tangkai dan di bungkus dengan plastik warna biru (Buah boleh dilihat) dan di sepit dengan penyepit baju. Plastik pembungkus boleh diguna sehingga 3 pusingan tetapi perlu dibasuh setiap kali digunakan. En Liow nyatakan setiap pokok mampu mengeluarkan 50-60 biji buah sepokok dengan kekerapan sebanyak 4 -5 kali setahun. Jangkamasa pokok berbunga hingga buah dituai selama 60 hari dan jangkamasa membalut sehingga menuai selama 30 hari sahaja. Purata hasil sepokok sebanyak 200-300 biji setahun (setelah dibuat penjarangan untuk dapatkan buah sama saiz dan seragam). Buah yang dikutip dikumpulkan dan digredkan (70-80% punyai warna dan bentuk seragam). Buah digredkan dengan 3 gred iaitu Gred AAA (Dijual dengan harga RM 5.00/kg) , Gred AA (harga RM4.50 /kg) dan Gred A (Harga RM 4.00/kg). Stigma buah (Urat bahagian tengah buah) dibuang dan buah dibersihkan dengan mengelap gunakan kain. Buah disusun dalam bakul plastik sebanyak 3 lapisan yang dialaskan dengan kertas surat khabar lama. Anggaran purata berat buah lingkungan 5-6 biji sekilogram (Lingkungan 200-300 gram sebiji).

Buah Jambu Air Merah En Liow dijual kebanyakkannya di kawasan R&R Lebuhraya PLUS di Pagoh, Air Keroh, Machap (Hampir 70%-80% dan hanya sebahagian kecil dijual di gerai-gerai buah dan Supermarket). Harga runcit buah jambu air ini ialah RM 10.00 sekilogram. Jambu air ini sangat berbeza dengan jambu air yang di jual di R&R Tapah (Kebanyakkannya diimpot dari Thailand) dari segi bentuk, warna dan saiz. Kebun jambu En Liow merupakan satu kebun yang sangat berjaya memajukan tanaman ini dn beliau sedang mencuba biakbaka jambu air GIant atau besaar (0.5 kg sebiji). En Liow menunjukkan contoh buah tersebut dalam komputer beliau (Buah tersebut telah di tanam di Taiwan). Buah jambu air ini memang telah beberapa kali dipamerkan pada Pameran MAHA International di MAEPS, Serdang, Selangor dengan mendapat pengiktirafan daripada pihak penganjur. Beliau seterusnya ada mempromosikan buah jambu air ini dengan mendaftarkannya kepada Jabatan Pertanian dibawah 'National Listing' dengan nama varieti Jambu Air Asahan atau Nombor Pendaftarannya sebagai E6.

Selain Jambu Air Merah , tanaman cili api kampong varieti Cili Api CENTIL ditanam sebanyak 10,000 pokok dalam polibeg secara fertigasi. Tanaman cili di pasang dengan bumbung dan menggunakan media cocoa peat serta baja fertigasi. Cili api dijul dengan harga RM 8.00 - RM 10.00 sekilogram. Upah untuk memetik cili sebanyak RM1.00 - RM 1.50 sekilogram. Tanaman kedondong pula ditanam untuk pasaran segar dan juga diproses untu jeruk serta jualan segar. Penanaman Jambu air oleh En Liow perlu di majukan dikawasan lain bagi mempastikan bekalan buah-buahan segar seperti jambu air ini. Buah jambu air merah ini tahan 2 hari selepas di tuai dan 6-7 hari jika disimpan dalam peti sejuk. Kepada petani-petani yang berminat dengan penanaman Jambu Air Merah ini boleh meninjau bagaimana Amalan Pertanian Baik dilaksanakan di kebun ini.

TANAM JAMBU...JAMBU AIR MERAH...
BUAH BESAR...HARGA TAK MURAH...
KUALITI DIJAGA...PASARAN PASRAH...
KG ASAHAN JASIN...KEBUN DIREDAH...

Related articles:
1. Jambu Air Johor (Klik disini)
2. Jambu Batu Giant (Klik disini)
3. Jambu Bol (Klik disini)
4. Jambu Mawar (Klik disini)
5. Jambu Batu (Klik disini)
6. Cermai Belanda (Klik disini)
7. Asam Jawa (Klik disini)
8. Melon (Klik disini)
9. Kantan (Klik disini)


By
M Anem
Senior Agrologist,
Kg Asahan, 
Jasin, Melaka,
Malaysia
(Kemaskini pada 25 Jun 2013)

5 comments:

ayahanuna said...

salam en anem.

boleh saya tahu berapa jenis varieti yang ditanam di ladang ini?

terima kasih

M Anem said...

Hanya satu jenis sahaja...En Liow ada beberapa varieti lagi di kebunnya di Muar, Johor. Perlu tanam 1 jenis sahaja untuk elakkan 'cross pollination' dimana ianya menjejaskan kualiti jambu air dan keseragaman buah...

ayahanuna said...

saya ada satu lagi soalan. adakah buah jambu ini tergolong dalam syzygium samangenese ataupun tidak? terima kasih.

chingshun mah said...

boleh saya mendapat nombor telefon Encik Liow?

haslinda fauzi said...

salam..boley sy dptkn no en.liow??

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...