Tuesday, July 13, 2010

Kesedaran Penggunaan Racun di Malaysia

Reactions: 
Penulis dengan petani di TKPM BukitPerak, Pendang, Kedah.


Kesedaran Penggunaan Racun oleh petani-petani di Malaysia adalah pada Tahap Baik dan Memuaskan hasil daripada kajian yang telah saya jalankan selama 2 bulan. Kajian yang telah saya jalankan pada bulan Jun dan Julai 2010 ini melibatkan seramai 40 responden di 4 negeri iaitu Negeri Melaka, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Petani terpilih merupakan mereka yang terlibat dalam pertandingan hasil-hasil pertanian MAHA 2010 untuk kategori hasil-hasil tanaman iaitu buah-buahan dan sayur-sayuran. Set Kertas soalan saya rekabentuk untuk mengetahui status kesedaran penggunaan racun serangga, racun rumpai dan racun kulat dalam aktiviti pertanian.


Daripada 40 petani yang di buat kajian seramai 22 petani merupakan penanam sayuran (6 orang dengan Sistem Penanaman Cara Fertigasi), 15 petani buah-buahan, 8 petani tanaman kontan dan 5 orang usahawan cendawan. Antara sayuran terlibat seperti Sayuran Daun (Sawi, Bayam, Sawi dan Kangkung) sementara sayuran buah ialah Timun, Kacang Panjang, Petola, Terung, Bendi, Cili Padi, Tomato, Peria dan Kacang Buncis. Bagi buah-buahan responden terlibat dengan tanaman Buah Jambu Batu Air, Jambu Batu Giant (Lohan), Jambu Batu Seedless, Pisang, Tembikai, Dokong, Limau Madu, Pulasan, Durian, Mangga, Limau Kasturi, Kelapa Pandan dan Betik Sekaki. Bagi responden tanaman kontan melibatkan tanaman jagung, keladi mawar, ubi kayu, tebu dan keledek.

Seramai 85 peratus responden memahami cara menggunakan racun dengan betul. Mereka menjalankan penyemburan racun mengikut label dan kadar yang disyorkan. Mereka menyatakan harga racun yang tinggi pada masa ini menyebabkan perlu menggunakan sukatan yang betul ikut arahan pada label. Hanya 15% nyatakan kadang-kadang menggunakan kadar racun pada kepekatan berlebihan. 90% petani menjalankan bilasan bekas racun sebanyak 3 kali sebelum memusnahkan atau menanam dalam tanah sementara bakinya 10% tidak membuang bekas racun seperti disyorkan.

Semua responden (100%) hanya menggunakan racun yang ada kelulusan LRMP dan tidak ada petani yang menggunakan "Racun Haram" yang tidak berdaftar. Antara sebab kenapa mereka tidak menggunakan racun haram atau "Racun Thailand atau Racun Siam" adalah faktur kesukaran dapatkaan racun haram, kesan terhadap sisabaki, takut kena tangkap, keselamatan pekerja dan tanaman dan telah menerima tunjukajar dari kakitangan Jabatan Pertanian. Oleh kerana saya datang dengan kenderaan Jabatan Pertanian dan petani atau responden merupakan mereka yang kenal dengan Jabatan Pertanian maka kejadian mereka menjawab yang pro jabatan ada. Oleh itu pasukan saya akan memeriksa setor dan bekas-bekas racun yang masih boleh di baca. Memang hampir semua menggunakan racun-racun yang ada no LPRMP daripada bekas-bekas racun yang telah digunakan atau dalam stok simpanan.

Pemeriksaan penggunaan racun diKebun Amiruddin di Kg Tiang Dua, Melaka Tengah.

Kaedah penyimpanan racun berbeza-beza antara petani mengikut kemampuan dan tahap amalan pertanian yang dijalankan. Kajian mendapati hanya 40% mempunyai kaedah penyimpanan dan setor yang baik (Ikut konsep Amalan Pertanian Baik - GAP), sebanyak 30% mempunyai setor pada tahap minima (keadah penyimpanan setor kurang sempurna), 20% tidak mempunyai setor di kebun (Dakwanya setor di rumahh petani) dan bakinya 10 % lagi hanya membeli racun mengikut keperluan sahaja dan memang tidak perlukan setor langsung.


Hampir semua responden faham akan maksud "Post Harvest Interval" penggunaan racun. Rata-rata mereka menjawab akan menjalankan penyemburan racun selepas menuai hasil dan selepas tempoh PHI. Contonya En Rashid dari Jitra, Kedah akan menyembur racun serangga dan racun kulat selepas memetik kacang panjang. En Tan dari Felda Chuping yang menanam 14o ekar tembikai jenin Sin Fong juga faham akan maksud PHI. Hampir semua responden faham mengenai racun sistemik dan racun sentuh.

Apabila ditanya mengenai racun Furadan 3G rata-rata faham akan kesan sisa baki racun tersebut yang agak lama dalam tanah. Oleh kerana 80% petani yang di kaji merupakan telah berpengalaman lebih 10 tahun, kesedaran keselamatan ketika menyembur atau menggunakan racun juga memuaskan. Keselamatan asas ketika membuat semburan dilaksanakan seperti menutup mulut ketika menyembur, memakai pakaian berlengan panjang, memakai kasut boot , menyembur pada waktu tepat dilaksanakan pada tahap memuaskan. Kerja semburan dilaksanakan oleh buruh upahan (75%) sementara hanya 25% pemilik yang menjalankan semburan sendiri.


Kajian diatas dan temuan-temuan menunjukkan kesedaran petani-petani mengenai penggunaan racun adalah pada tahap sederhana tinggi. Kebanyakan petani memahami jika hasil tanaman mereka mengandungi tahap MRL yang tinggi akan menjejaskan harga dan kesihatan para pengguna. Semua responden tidak pernah menerima Borang RF-2 iaitu Borang untuk memberikan nasehat Penggunaan Racun Yang Betul oleh Pegawai Pertanian Pengembangan kepada petani yang telah disahkan mempunyai hasil yang telah melebihi MRL.

Kajian lebih lanjut dan terperinci perlu dijalankan seterusnnya untuk kajian menyeluruh seluruh negara dari semua negeri. Kempen penggunaan racun yang BETUL dan SELAMAT oleh Pegawai Pengembangan dan Pengedar Racun serta Penjual Racun perlu diperhebatkan. Kesedaran ini boleh membantu dalam penghasilan bahan makanan yang berkualiti, bermutu dan yang selamat dimakan oleh pengguna.



BUAT KAJIAN....KESEDARAN PENGGUNAAN RACUN...
KEBANYAKAN PETANI....FAHAM DAN AKUR....
PERANAN JABATAN....TERUSKAN PESTICIDE EXTENSION...
AGAR HASIL TANAMAN.... SELAMAT DIMAKAN DAN SUBUR...


By
M Anem
Baron Hotel
Langkawi

1 comment:

  1. assalamualaikum...boleh pelajar master ingin mengetahui lebih lanjut lagi tentang kajian yg telah dibuat encik..boleh sy dptkan email atau contact no dr encik??

    yg benar:
    yati(uitm)

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA