Support My Blog

Thursday, July 22, 2010

TEKNOLOGI TANAMAN NENAS


Nanas (Ananas comosus) sejenis tanaman tropika dari keluarga Bromelioaceae yang dipercayai berasal dari Bahagian Timur Amerika Selatan. Nama lain nenas adalah Nanas, Nenas, Pineapple (English), pina (Spanish), ananas (Argentina), anaasa (Telugu India) dan sebagainya. Sejarah Nenas telah diperkenalkan di Tanah Melayu pada abad ke 16 oleh orang-orang Portugis dimana ini selaras dengan perkembangan tanaman getah, pada tahun 1921 nanas mula ditanam di Singapura, Johor dan Selangor sebagai tanaman kontan. Tanaman nenas terus berkembang dan diusahakan secara perladangan di kawasan tanah gambut terutamanya di Johor. Penulis terlibat dengan projek tanaman nenas ketika bertugas di Muar dengan membangunkan dan memberi khidmat nasehat teknikal lebih 300 hektar ladang nenas di Mukim Air Hitam dan Mukim Sg Balang. Artikel ini ditulis untuk share maklumat mengenai tanaman nenas dengan pembaca. Industri nenas di Malaysia kini di terajui oleh Lembaga Perusahaan nenas malaysia (LPNM). Jabatan Pertanian mungkin masih relevant dalam pembangunan tanaman nenas terutama penanaman kawasan baru dan Tanah Terbiar di Johor. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi tanaman nenas untuk dijadikan bahan rujukan dan bacaan.

Malaysia merupakan salah satu negara pengeluar utama nanas dunia selain daripada Thailand, Filipina, Indonesia, Hawaii, Ivory Coast, Kenya, Brazil, Taiwan, Australia, India dan Afrika Selatan. Pada tahun 2008 FAO menyenaraikan pengeluaran nenas dalam negara di Malaysia menduduki Ranking ke 8 mengikut nilai USD 69,620 dan ke 10 mengikut pengeluaran selepas Minyak sawit (1) dan getah (2). Buah nanas yang dikalengkan mempunyai pasaran yang tinggi di negara-negara seperti Jepun, Amerika Syarikat, Negara-Negara Kesatuan Ekonomi Eropah, Asia Barat dan Singapura. Terdapat seluas 16,850 hektar tanaman nenas akan ditanam pada tahun 2010 dengan anggaran pengeluaran sebanyak 416,070 metrik tan. Negeri Johor merupakan nageri paling luas dengan tanaman nenas terutama di daerah Pontian (3,686 ha), Daerah Kluang (2,950 ha) dan Daerah Muar (1,266 ha) secara komersial dan pekebun kecil. 
Buah Nanas mempunyai kandungan Vitamin C yang tinggi yang amat diperlukan untuk kesihatan dalam membantu dalam usahaa untuk menyembuhkan luka atau cedera di samping mampu penyerapan zat besi ke dalam saluran darah. Kandungan Vitamin B di dalam buah nanas terutamanya B1 (thiamin) berfungsi dalam membantu proses penghadaman dan melicinkan proses pencernaan dalam usus manakala Vitamin B3 (niacin) bersama kandungan kabohidratnya dapat mengawal sistem penghadaman agar sentiasa sihat. Kandungan potassium bersama-sama sodium di dalam buah nanas dapat mengawal imbangan air dalam tubuh manusia. Buah nanas juga mengandungi sejenis enzim yang sangat berguna di dalam sektor perubatan iaitu enzim Bromelin di mana ianya digunakan dalam meluas semasa pembedahan di dalam mengawal pembengkakkan, jangkitan dan menghalang berlakunya pembekuan darah.


Malaysia terkenal dalam menghasilkan nanas kaleng yang berkualiti dengan warna kuning keemasan. Buah Nanas Malaysia mempunyai ciri-ciri yang berlainan daripada pesaing dan berpotensi untuk dipertingkatkan mutunya. Pada masa ini 95% daripada pengeluaran nanas kaleng adalah untuk pasaran eksport dan lebihan 5% adalah untuk pasaran domestik manakala nanas segar menyumbangkan 3% untuk pasaran eksport dan 70% untuk pasaran domestik Singapura merupakan pasaran eksport tradisi bagi nenas segar dan diikuti oleh Asia Barat. Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu, Brunei dan Hong Kong. Penanaman Nenas di tanah Gambut perlukan saliran berupa peparitan perlu dibina dahulu bagi tujuan menurunkan paras air yang sememangnya keadaan tanah gambut di Malaysia selalunya menakung air. Parit utama beukuran 1.5m x 1.2 m x 1.2 m perlu di gali begitu juga dengan parit kedua (1.2 mx 0.9m x 0.9m) dan parit sokongan (0.9 mx 0.9mx 0.6 m). Saliran yang berlebihan pula akan mempercepatkan proses kesusutan mengakibatkan tanah kekeringan berterusan. Pertumbuhan pokok akan terganggu.

Menebang dan Pembersihan Kawasan perlu dilakukan dalam musim panas, 3-4 bulan kemudian kayu akan kering. Pembinaan Jalan & Lorong dibuat dengan kerja mengumpul kayu-kayu besar dipotong 5m panjang, disusun melintang di atas jalan-jalan cadangan sebagai pelapik penyokong. Batu-batu laterit dimampatkan setebal 10-20cm melapisi atasnya. Kemudian sediakan lorong-lorong dibina daripada lapisan laterit setebal 10-20 cm dan selebar 3-4m. Pokok nenas boleh ditanam daripada bahagian tampangnya seperti jambul, sulur tangkai, sulur udara atau sulur tanah. Pilih benih dari pokok induk yang mempunyai ciri-ciri seperti pokok sihat dan subur, berbuah besar (Foto sebelah), bertangkai pendek dan tegap serta berjambul tunggal. Kecekapan dalam pemilihan benih akan meningkatkan hasil sehingga 10-15%. Pengambilan Benih dengan mengutip benih setelah mencapai saiz 30-60 cm (1'-2') panjang iaitu lingkungan dari tarikh memetik. Benih dikelaskan mengikut saiz Kecil (30 cm), Sedang (45 cm) dan Besar (60 cm). Apabila perlu disimpan benih sebelum ditanam maka langkah-lanhkah penyimpanan perlu dituruti bagi mengelakkan kerosakan dan musnah pada benih tanaman. Saya dapati kaedah ini kurang difahami oleh petani yang baru mengushakab nenas. Benih-benih perlu disusun selapis dengan kedudukan bahagian pangkal diterbalikkan ke atas. Pastikan benih disimpan di tempat yang bernaung dan yang penting pastikan penyimpanan benih tidak melebihi 1 bulan. Kalau benih banyak mati maka kos akan meningkat untuk beli benih dan kerja sulaman.

Sebaiknya buat Rawatan Benih untuk pembasmian serangga atau kulat dimana benih dicelupkan ke dalam larutan racun serangga atau kulat. Racun serangga digunakan ialah 24ml Malathion dicampur dengan 18l(4gelen) air bersih dan racun Kulat jenis Benlate 75C. Kepadatan tanaman nenas sangat bergantung kepada objektif perlaksanaan projek, jenis baka dan sistem penanaman. Pada umumnya, kepadatan tanaman tunggal bagi setiap baka ialah 43,500 pokok/ha atau 17,424 pokok/ek dengan jarak tanaman 90cm x 60cm x 30cm(3'x2'x1'). Bagi sistem Tanaman kepadatan tinggi, > pokok/ha (20,000pokok/ek) memenuhi keperluan peningkatan hasil.

Kayu pancang berentangkan tali atau dawai digunakan sebgai penanda barisan. Tali atau dawai itu berbubuh tanda bagi pengukuran jarak tanaman sepanjang barisan. Kayu tugal ditugalkan untuk membina lubang tanaman sepanjang rentangan tali. Kedalaman lubang 10-15cm(4-6 inci) adalah disesuaikan dengan saiz benih 30-60cm (1'-2')panjang. Tanam sulur bersaiz sama di petak yang sama. Satu sulur untukl satu lubang, tanah disekelilingnya dipijak agar sulur berdiri tegak. Laksanakan kerja menanam nenas penanaman pada musim lembab. Kaedah Pengawalan rumpai dikawasan nenas dilaksanakan secara manual iaitu dengan tangan, mencabut, memotong, menajak dan sungkupan atau dengan kawalan kimia dengan menyembur racun herba yang berbagai jenama memerlukan pemilihan yang sesuai dengan langkah kawalan yang diambil. Gunakan racun Paraquat 50-100ml/18 liter air untuk memusnahkan rumput rencam atau Racun Glyphosate 80-100ml liter air untuk lalang. Jika perlu diulang lagi 4-6 minggu kemudian. Bagi pengawalan Rumpai Sebelum Tanam perlu gunakan racun rumpai pracambah dan disemburkan merata di permukaan tanah. Antara racun disyorkan ialah KROVAR 1 (120 gm/18 liter air / 2kali semburan) atau GESAPAX (120 gm/ 18 liter air) atau jenama lain2 seperti COMBI 80, DIRAN, DIURON, KARMEX dan KIMEX. Bagi tanaman nenas pembajaan adalah sangat penting dimana satu formulasi am baja, jadual dan kadar pembajaan untuk tanaman nanas di atas tanah gambut telah ditentukan. Terdapat du ajenis formulasi pembajaan iaitu Formulasi Pembajaan Semburan dan Formulasi Pembajaan Tabur. Bagi formulasi baja semburan larutan BS-1 dan larutan BS-2 digunakan (Larutan mengandungi Kapor Terhidrat, Zink Sulfat, Kuprum Sulfat dan Fe Sulfat) serta Urea. Larutan ini disembur pada tanaman nenas. Bagi Formulasi Pembajaan Tabur digunakan Baja campuran nanas (BCN) berunsur NPK dalam nisbah 30 : 1 : 32 adalah sesuai untuk tanaman nanas berbagai kultivar di atas gambut. Keperluan BCN oleh pokok setiap kali pembajaan ialah 14g/pokok. Sepusingan hayat, tanaman nanas BCN diperlukan sebanyak 42g/pokok. Formulasi tersebut ialah Ammonium Sulfat(SA) – 72 kg , Christmas Island Rock Phosphate(CIRP) – 1 kg dan Muriate of Potash(MOP) 27 kg.

Pokok nenas perlukan proses ARUHAN PEMBUNGAAN (Menghormon) walau pun Pokok nanas dalam keadaan biasa mengalami pembungaan sendiri pada 12-18 bulan selepas ditanam. Beberapa faktor alam sekitar seperti suhu, jangka masa siang hari dan banyaknya sinaran matahari mampu merangsang pengaruhan bunga semula jadi. Kadar pertumbuhan tampang yang cepat kesan rangsangan pembajaan nitrogen yang berlebihan, pengairan atau hujan akan menghalang pembungaan. Nanas merupakan tanaman yang peka terhadap bahan-bahan kimia pengawalatur pertumbuhan. Penggunaan Hormon Pembungaan dengan Pil NAA sebanyak 1 biji/pokok yang dimasukkan tepat ke dalam pucuk nanas sering dibuat oleh petani dan merupakan kaedah yang paling mudah. Kaedah lain ialah dengan menggunakan Cecair NAA (Planofix) iaitu sebanyak 4.5ml Planofix / 18 l air dan sembur 50 ml larutan atau dituangkan ke tengah-tengah setiap pokok. Kaedah ketiga ialah dengan menggunakan Ethephon (Etherel) sebanyak 30 ml ETHEREL campur 180 g Urea dan 18 l air dimana sebanyak 40-50 ml larutan setiap pokok. Sembur atau dituangkan ke tengah-tengah pucuk atau semburkan seluruh pokok. Cara keempat ialah dengan gunakan Asetilena (Kalsium Karbaid) iaitu sebanyak 200g Kalsium Karbaid + 18 l air yang diguna sebanyak 50 ml larutan sepokok dan disemburkan atau dituangkan ke tengah-tengah pucuk pokok.

Perlu diketahui bahawa Masa Aruhan palig disyorkan ialah pada Waktu malam leh itu petani lazim menjalankan mengikut kesesuaian iaitu pada awal pagi dan lewat petang. Ciri Kesesuaian Pokok untuk aruhan mestilah Pokok yang sihat dan subur, Mempunyai 35-40 daun segar yang berfungsi dan 1 bulan selepas pembajaan. Kejayaan aruhan pembangunan dinilai melalui peratus pembangunan yang terjadi selepas 45 - 60 hari aruhan diberikan. Pengiraan peratus pembangunan dilakukan apabila pucuk pokok nanas telah mengeluarkan permulaan bunga berwarna merah. Terdapat kaedah untuk memanipulasi saiz buah dengan penggunaan 2-(3chlorophenoxy) propionic acid atau ringkasnya CPA (3-CP) ialah sejenis kimia hormon untuk mengaruh pertumbuhan buah khusus untuk kv.gandul. Contoh hormon ini dalam pasaran ialah FRUITONE CPA. Tujuan Penggunaan hormon ini adalah untuk Meningkatkan saiz buah, Membantutkan tumbesaran jambul lantas menggiatkan tumbesaran buah, Mengeraskan kulit buah bagi mengelakkan kecederaan semasa punggah dan angkut ke kilang dan Memampatkan isi nanas untuk ketahanan daripada kecederaan. Kadar Penggunaannya ialah sebanyak 1 ml CPA (3-CP) + 1 liter air 2. 50 ml larutan setiap biji dengan menyemburkan keseluruhan bahagian buah sewaktu bunga-bunga telah habis layu.

Pada umumnya buah nanas akan mula boleh dituai apabila buah-buah tersebut masak dengan memperlihatkan ciri-ciri kemasakan terutama warna kulitnya. Pastikan memetik mengikut Indeks kematangan iaitu satu petunjuk yang merujuk kepada perubahan warna kulit yang turut sama merubah ciri dalaman isi buah dan paras kandungan gula asid. Bagi Indeks Kematangan (Nanas Gandul) terdapat 3 ciri iaitu Warna kelopak mata (baktea) bertukar daripada kemerah-merahan kepada putih layu atau Warna bebuah (fruitlet) berubah daripada kemerah-merahan kepada perang kehitaman atau Diantara 146-152 hari selepas tarikh aruhan pembungaan. Penuaian yang lewat akan menjejaskan mutu buah. Apabila 25% bebuah berwarna kuning isi buah telah mulai fermen dan tidak lagi sesuai untuk kalengan. Bagi Indeks Kematangan Pelbagai Kultivar Nanas Segar, Nenas Sarawak/N36 apabila Buah Muda mempunyai Warna Kulit Hijau Tua dan isi putih; Buah masak kulit bahagian pangkal kuning dan isi buah yang kuning pucat. Indeks kematangan boleh dirujuk kepada risalah MPIB atau FAMA. Teknologi tanaman nenas diperbaiki setiap masa untuk mempastikan industri ini berterusan di Malaysia. Wasallam!


TANAH GAMBUT ..DITANAM NENAS....
POKOK NENAS ...PERLU CUACA PANAS...
NENAS MORRIS...BERDURI DAN BERTUNAS...
NEGERI JOHOR... PENGELUAR YANG GANAS...

Related articles :
1. Nenas Organik (Klik disini)
2. Pasaran Nenas dunia (Klik disini)
3. Nenas MD 2 (Klik disini)
4. Nenas Moris di Kedah (Klik disini)
5. Gambir (Klik disini)


By
M Anem

Senior Agronomist
Kg Parit Lapis, Batu Pahat,
Johor
Malaysia

(Kemaskini pada 20 Januari 2015)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...