Support My Blog

Sunday, June 20, 2010

RUMBIA - PENGENALAN


Pokok Rumbia (Metroxylon sagu) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Arecaceae atau keluarga Palmae yang kebanyakannya tumbuh dikawasan tanah lembap. Taburan tumbuhan ini didapati banyak di Indonesia, Malaysia dan juga Papua New Guinea. Pokok ini juga di panggil sebagai pokok Rembia atau juga pokok Sagu (Melayu), Sago Palm (English), Limbia (Tagalog),  Sa Khu (Thai), Thagu bin (Myanmar) dan sebagainya. Rumbia adalah dari keluarga Arecaceae yang banyak didapati di kawasan rendah persisir sungai atau laut Asia Tenggara. Dianggarkan seluas  antara 1,500-2,500 hektar kawasan rumbia yang ujud di Malaysia dengan Sarawak sebagai kawasan paling banyak tumbuhan atau tanaman rumbia. Pokok Rumbia adalah tumbuhan yang hidup di merata hutan pedalaman. Pokok Rumbia juga boleh dijadikan atap nipah. Batangnya pula boleh diproses bagi menghasilkan sagu dan produk berasaskan sagu rumbia. Ia boleh ditanam untuk tujuan penghasilan sagu secara besar-besaran. Tempoh ia matang bergantung kepada kesuburan tanah. Secara purata, pokok rumbia boleh dituai apabila menjangkau umur 12-13 tahun di tanah mineral dan 15-18 tahun di tanah gambut. Pokok rumbia yang telah ditebang perlu diproses secepat mungkin bagi mengelakkan kemerosotan kandungan kanji, biasanya tidak melebihi 2 hari selepas ditebang. Tepung sagu rumbia boleh digunakan untuk memproses serbuk perasa (MSG), sirap glukosa, alkohol, makanan bayi, gum gula-gula, tekstil, kertas, pelekat, gam, bahan pembeku, plastik dan lain-lain. Artikel ini memberikan ilmu teknologi dalam "Anim Agro Technology" mengenai penanaman rembia di Malaysia khususnya di Negeri Sarawak. Penulis pernah bertugas di Jabatan Pertanian Sarawak pada tahun 1995-1997 dan berpeluang menimba dan juga dapat memberikan ilmu teknologi tanaman rembia.


Pokok Rumbia mempunyai batang yang besar, tegap, mencapai ketinggian antara 10 - 12 meter, mempunyai isi yang lembut dan mengandungi kandungan kanji yang tinggi (Sila lihat foto sebelah untuk batang rembia). Pokok Rumbia juga merupakan sumber makanan asasi bagi kaum peribumi di Sabah dan Sarawak, antaranya suku kaum Bisaya, dan Melanau. Pokok Rumbia mempunyai banyak pelepah berbentuk pinnate 6-8 meter panjang yang mula-mula tegak kemudian perlahan-lahan melengkung ke bawah. Pokok Rumbia mengeluarkan jambak bunga yang menghasilkan banyak bunga jenis dwiseks (Bisexual) dan kemudian akan mengeluarkan biji-biji sagu. Bunga adalah jenis ‘protandrous’ di mana bunga jantan akan menjadi matang dahulu daripada bunga betina. Ini bagi memastikan pendebungaan kacuk (cross pollination) akan berlaku. Musim berbunga akan mengambil masa dua tahun di mana selepas ini pokok Rumbia akan mati.

Rumbia mempunyai dua jenis yang sering dijumpai iaitu Jenis Berduri dan Jenis Tidak Berduri. Pokok rumbia mempunyai batang menegak, tidak bercabang, mempunyai ruas dan mampu mencapai ketinggian sehingga 10 meter. Terdapat pokok rumbia yang mencapaii umur lebih dari 20 tahun dan masih bertahan. Akar pokok rumbia tumbuh dari pangkal batang dan berupa akar serabut. Daun rumbia berbentuk majmuk serta dimana tangkai daun mempunyai pelepah dan sesuai di buat atap rumah. Bunga rumbia mempunyai mayang yang akan membentuk buah rumbia. Paling istimewa adalah buah rumbia yang seakan buah nipah yang dihasilkan dengan berkulit keras yang hijau ketika muda dan bertukar coklat apabila matang. 

Bahagian batang mengandungi sagu yang merupakan sumber kabohiderat penting untuk makanan utama dahulu. Industri tanaman rumbia di Malaysia adalah untuk pengeluaran tepung sagu yang diproses untuk dijadikan bahan membuat kuih, industri kimia, kosmetik dan sebagainya. Antara kueh asas tepung sagu kueh onde-onde, kueh ku, kueh buah melaka, keropok, keropok lekor (Foto sebelah) , cili sos, Tebaloi dan sebagainya. Kanji rumbia sama seperti kanji dalam jagung, ubi kentang, gandum dan sebagainya juga diproses untuk dibuat serbuk perasa (Monosodium Glutamate - MSG , Ajinomoto), Alkohol, sirap glukosa, makanan bayi, gula2 gam, tekstil, kertas, pelekat bahan pembeku dan plastik. Bahagian daun boleh dianyam unuk dijadikan atap dan umbutnya boleh juga dibuat sayur walau rasanya agak kelat.


Bahan tanaman rumbia adalah diambil dari sulur pokok rumbia yang telah matang. Benih ini dikutip dan ditanam dengan jarak 10 meter x 10 meter (Kepadatan 100 pokok sehektar). Oleh kerana pokok ini ditanam dikawasan yang agak lembab maka penyiraman tak perlu. Periksa sulur yang ditanam dan ganti atau sulam jika mati atau rosak. Pembajaan tanaman rembia dijalankan 3 kali setahun. Pada tahun pertama hingga ketiha gunakan 50 kg/ha Dolomite, 50 kg/ha Urea, 50 kg/ha Rock Phosphate dan 50 kg/ha MOP. Kadar ini ditambah kepada sebanyak 200:100:50:50 pada tahun ke 4 hingga tahun ke 6. Pokok rumbia berumur lebih 7 tahun pembajaan sama pada kadar 200:100:0:100.


Pokok rumbia tumbuh bergantung kepada kesuburan tanah dimana ianya ditanam. Penjagaan adalah minima kerana tidak perlukan pemeriksaan harian seperti tanaman lain. Senang kata tanaman rumbia sebagai tanaman "TANAM-TINGGAL-TUAI". Pokok rumbia di kawasan tanah mineral boleh dituai setelah 12-13 tahun ditanam. Pokok ditanah gambut pula agak lama matang iaitu lingkungan 15-18 tahun. Penuaian dibuat dengan menebang gunakan kapak atau mesin gergaji letrik.  
Batang rumbia dipotong-potong sepanjang 2.5 hingga 3.5 meter panjang untuk memudahkan diangkut keluar dari ladang dan terus dihantar kekilang memproses rumbia. Batang ini mesti dihantar untuk diproses tidak melebihi 2 hari untuk menjamin mutu sagu. Jika lewat kualiti sagu akan rosak sebab telah busuk dan berlaku penapaian. Penanaman rumbia di Malaysia khususnya di Sarawak perlu diteruskan untuk menjamin industri ini berterusan bagi menjamin bekalan kanji rumbia dalam Malaysia. Semuga artikel ini memberikan ilmu tambahan kepada anda semua. Wasallam!.

BATANG REMBIA YANG DITUAI.
POKOK RUMBIA ...LIAR TUMBUUHNYA...
RAMAI TAK TAHU..BENTUK MACAMANA....
SAGU RUMBIA.... PELBAGAI GUNANYA...
KURANG DITANAM...DIMANA-MANA...


Artikel berkaitan
1. Sisal (Klik disini)

2. Pokok Kekabu (Klik disini)
3. Rami (Klik disini)
4. Jut (Klik disini)
5. Kelapa Pandan (Klik disini)
6. Pinang (Klik disini)


By
M Anem
Senior Agronomist.
DOA Sarawak 
Jalan Simpang Tiga,
Kuching, Sarawak
Malaysia.
(Pegawai Program Intergrasi Nasional 1995-1997)
- Kemaskini artikel pada 11 September 2013

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...