Thursday, June 24, 2010

TEKNOLOGI SERAI


Serai (Cymbopogon spp) merupakan sejenis tanaman renek (herbs) dari keluarga Poaceae (Dulu Graminanea) sama dengan keluarga jenis tumbuhan rumput. Serai dipercayai mempunyai sebanyak 37 jenis tetapi di Malaysia terdapat 2 jenis serai yang dikomerssilkan  dan banyak ditanam iaitu Cymbopogon citratus dan juga Cymbopogon flexus. Dalam bahasa Inggeris serai di panggil 'Lemon Grass' atau kalau di melayukan jadi Rumput Limau atau Oil Grass. Jenis Cymbopogon citratus merupakan jenis yang banyak di tanam di Malaysia sementara Cymbpogon flexus banyak di tanam di negara India. Penulis pernah terlibat dengan projek tanaman serai ketika bertugas di MIADP Melaka sekitar tahun 1990'an , di Endau Mersing, DiDaerah Segamat dan di Daerah Muar. Serai banyak dijadikan tanaman cepat berhasil dan kurang risiko kecuali harga pasaran yang tidak menentu. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman serai yang sangt mudah ditanam dan banyak digunakan didalam penyediaan makanan masyrakat kita. 

Tanaman serai banyak di usahakan secara kecil-kecilan dan juga komersial. Keluasan tanaman serai di Malaysia lingkungan 240-300 hektar setiap tahun terutama di Negeri Johor, Selangor, Perak, Kelantan dan Negeri Sembilan. Diluar negara, serai banyak di tanam seperti di India, China, Guatamala dan Brazil untuk kegunaan domestik dan eksspot bagi penghasilan minyak pati serai. Laporan ststistik menunjukkan anggaran pengeluaran minyak pati serai dunia meningkat dari 310 mt setahun pada awal 1980'an kepada lebih 520 mt setahun pada tahun 2005. Minyak pati ini digunakan dalam pelbagai industri sampingan seperti Kosmetik, Makanan, Kimia dan minyak wangi. Penanaman serai di Malaysia hampir kesemuanya adalah untuk kegunaan segar sahaja sebagai perasa dalam masakkan. Terdapat beberapa usahawan IKS kecil-kecilan ada membuat minyak serai di Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.

Serai di Malaysia mempunyai pelbagai nama tempatan seperti Serai Wangi, Serai Peha Ayam, Serai Peha Gajah , Serai Biasa dan sebagainya (Nasib baik tiada yang dakwa Serai Peha Burung Puyuh). Nama-nama pelik ini digunakan untuk promosi jualan dan taktik penjual benih serai. Penulis pernah melawat Kg Sg Dulang di Pontian awal Januari 2010 dimana ramai petani disana hanya mengeluarkan Serai Peha Gajah sahaja tetapi apa yang saya lihat saiz serai tersebut hampir-hampir sama dengan yang dihasilkan di Muar. Di Kawasan Sg Balang Muar pernah terdapat projek menanam serai wangi yang dijalankan tetapi sukar untuk dijual. Di Kg seri Medan batu Pahat terdapat kilang yang memproses serai wangi dan hasilkan produk minyak serai yang popular dengan produk "Minyak Serai Wak Dakam".

Serai sesuai di tanam dkawasan beriklim tropika dengan cahaya matahari yang banyak. hujan banyak membantu pertumbuhan serai dengankadar hujan lebih 2,500 mm setahun. serai mudah tumbuh ditanah subur tetapi pastikan mempunyai saliran yang baik. Tanah gembur serta lom berpasir sangat sesuai untuk serai. Antara pengalaman penulis menjalankan tanaman serai di kemengkang Jasin, Tebong dan Di Sg Balang Muar. Serai makan (Cymbopogon citrates) ditanam menggunakan anak benih induk berakar dari pokok yang telah tua melebihi 8-9 bulan di kebun. Kutip dan leraikan batang serai dengan memotong daun dan tinggalkan benih sepanjang 20-30 cm untuk ditanam. Tanah kawasan tanaman serai sebaiknya digemburkan dengan membajak piring dulu.

Tanam 2-3 batang benih dalam lubang penanaman dengan jarak 0.6-1.0 meter antara baris dan 0.3-1.0 meter antara dalam barisan. Kepadatan dianggarkan sebanyak 20,000 rumpun / hektar. Benih ditanam dengan bahagian batang diatas tanah dan 10-15 cm dalam tanah. Pembajaan pada peringkat awal gunakan Baja NPK 15:15:15 pada kadar 400 kg/ hektar yang ditabur diantara baris dengan 3 kali tabur berperingkat2. Kali pertama tabur 100 kg/ ha selepas 1 bulan penaman kemudian sebanyak 150 kg/hektar pada bulan ketiga dan 100 kg/ hektar pada bulan ke lima. Serai juga boleh di buat Ratoon dimana pembajaan dibuat 3 kali iaitu sebanyak 100 kg/ha selepas menuai, bulan pertama ratoon (150 kg/ha) dan bulan ketiga ratoon sebanyak 150 kg/ha.

Rumpai dalam kawasan tanaman serai perlu dikawal pada peringkat awal penanaman boleh dengan cara manual. Hati-hati meracun rumpai dkawasan tanaman serai kerana racun akan menjejaskan pokok serai. Pemerhatian penulis mendapati belum ada serangga perosak atau penyakit yang menyerang tanaman serai. Cuara kering, Kemarau berpanjangan dengan panas terik kuat boleh manjejaskan pertumbuhan serai. Penuaian serai untuk jualan serai makan boleh dibuat seawal 6 - 8 bulan lepas tanam. Serai dikutip menggunakan cangkul dengan menggali pangkal pokok. Potong daun serai dan leraikan batang2 serai ikut gred sepanjang 10-15 cm panjang dan ikatkan. Kajian penulis mendapati terdapat antara 25 - 30 batang serai dalam satu rumpun pokok. Anggaran pengeluaran mengikut berat pula kira-kira 16 - 30 metrik tan sehektar bergantung kepada pengurusan dan jenis tanah.

Serai di gunakan untuk di masak sebagai perasa terutama untuk masakan "Tomyam" di restoran Ala Thailand (Foto sebelah). Selain itu serai diguna dalam masakan membuat rendang, nasi goremg serai, pelbagai lauk pauk ikan dan daging dan sebagainya. Penulis pernah melawat projek memproses dauns serai untuk penyulingan minyak pati serai di Simpang Rengam Johor dan MARDI Kuala Linggi. Ektraksi minyak pati serai mempunyai potensi untuk dimajukan. serai dijual dengan harga RM 1.00 satu ikat atau kira-kira RM 0.15 - RM 1.20 satu batang dikawasan bandar.

TANAM SERAI ... KELILING RUMAH....
BELI SERAI... HARGA MASIH MURAH...
NAK USAHAKAN KOMSERSIAL... TERSERAH....
KALAU TAK BOLEH JUAL...JANGAN PASRAH....
SERAI ADA DIPANGGIL.. SERAI PEHA GAJAH....
BUAT SERAI SERBUK... GUNA PUN MUDAH...


By
M Anem

Agronomist
DOA Muar
Johor
Malaysia
(Updated on 4 March 2013)

1 comment:

  1. best gak tanam serai ni-http://zaimzero.blogspot.com

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA