KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, April 20, 2015

CANISTEL - BUAH APA?


BUAH CANISTEL (Pouteria campechiana) merupakan sejenis pokok buah yang berasal dari wilayah Amerika Tengah dan Mexico Selatan dan kini telah ditanam dibeberapa negara seperti Vietnam, Filipina, Brazil dan Taiwan. Di Malaysia ia kurang popular dan kini ada ditanam sebagai kajian di Taman Pertanian Sabah berhampiran Tenom. Dinegara jiran Indonesia, buah ini juga dipanggil sebagai Buah Sawo Mentega, Sawo Ubi atau Mamey Sapote atau seakan buah Abiu. Selain nama Canistel buah ini juga dikenali sebagai egg fruit atau yellow sapote. Saya ada menulis mengenai buah abiu sebelum ini dalam blog yang sama (Sila klik disini). Pengalaman penulis melawat Taman Pertanian di Sabah ini membolehkan saya mengenali pokok ini yang kini telah matang dan sering berbuah (Sila lihat foto paling bawah). Berdasarkan penerangan dari pegawai penjaga taman ini, pokok ini asalnya diambil daripada Filipina dan Brazil dan ditanam untuk melihat prestasi pertumbuhan pokok tersebut di Sabah. Pokok canistel ini tumbuh menegak dengan bercabang dan berukuran sederhana dengan ketinggian mencecah sehingga 30 meter. Bagaimana pun lazimnya ia hanya mencapai 20 meter jika dijaga dengan baik.Dahannya berwarna kelabu tua dengan tekstur halus dan akan mengeluarkan getah susu putih (lateks) apabila dilukakan. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok buah canistel yang jarang kita jumpa di negara kita untuk tambah ilmu bersama. 



Pokok canistel yang subur mrmpunyai daun-daun terkumpul di ujung ranting (Sila lihat foto disebelah). Lazimnya daun adalah berbentuk bujur telur terbalik dan ia adalah memanjang. Bentuknya juga seperti bentuk sudip berukuran 6-25 cm panjang dan 2.5 - 8 cm lebar. Ia sering kelihatan berkilat dengan berwarna hijau dan panjang tangkai sekitar 5 - 25 cm. Bunga canistel keluar dari ketiak daun iaitu di bahagian bawah sama ada ia tunggal atau berkelompok. Bunga ini bertangkai panjang sekitar 5 -12 cm dengan mempunyai sebanyak 5 bunga. Ia juga berwarna hijau keputih-putihan dan memang berbau harum. Buah canistel unik bentuknya iaitu berbentuk gelembong, bulat telur, bulat telur songsang dan sering macam membulat. Uniknya dibahagian hujung buah semacam 'berparuh'. Saiz buah lazimnya sekitar 7.5 -12.5 panjang dan 2.0 - 7.5 cm lebar. Ia mempunyai kulit yang nipis, licin seperti berlilin, agak keras dan akan menjadi warna kuning bila masak. Isinya berwarna kuning, lembap atau agak kering seperti teksrue tepung, berbau harum dengan rasa manis. Buah canistel mempunyai biji yang besar berwarna coklat yang selalunya berkilat. Biji ini berbentuk bulat telur yang panjangnya hingga 5 cm dimana terdapat sekitar 1-5 butir dalam tiap buah.


Kegunaan buah canistel kurang diketahui orang kita. Buah yang masak boleh dimakan segar kerana ia lemak dan manis. Mungkin disebabkan amat jarang kita dapat makan buah ini memang akan rasa was-was untuk memakannya. Bagaimana pun apabila sudah makan tentunya mereka yang suka akan mencari lagi. Ada juga mereka diluar negara yang banyak menanam buah canistel akan makan buah ini dengan dicampur garam, cili, cuka dan myonis setelah ia dipanaskan sekejap. Buah ini juga kerap dicampurkan kepada jenis kuih sebagai pengganti labu atau dalam dalam puding, kuih dadar (pancake), kuih pai ‘labu’ malahan juga dijadikan jem untuk disapu pada roti. Bagi mereka yang kreatif pula akan memakan isi buah canistel dengan ais krim atau pun dibuat canistel shake. Buah ini memang mengandungi nutrisi yang hebat seperti dipaparkan dalam Jadual 1 dibawah. Batang kayunya yang berwarna coklat kelabu hingga kemerah-merahan bertekstur halus adalah jenis kayu keras yang sesuai untuk dijadikan kayu balak atau untuk dijadikan perabot. Di Amerika Tengah ada dilaporkan yang lateksnya ditoreh untuk campuran getah dijadikan bahan asan industri getah. Pokok ini juga sesuai ditanam sebagai pokok landskap iaitu berfungsi sebagai peneduh atau penghias taman dikawasan perbandaran.


Jadual 1: Kandungan nutrisi buah canistel
Dalam beberapa penulisan. buah canistel ini dikategorikan sebagai sejenis lagi buah nadir yang jarang diketahui umum. Bagaimana pun pokoknya masih lagi ada dijumpai di Sabah, Malaysia. Di Semenanjung pula penulsi dapati memang buah ini lebih dikenali dengan nama buah kuning telur dan ia hanya didapati sesetengah tempat sahaja. Semasa lawatan saya beberapa kali dipasar tami dan pasar minggu di Kota kinabalu dahulu memang ada jumpa buah ini banyak dijual di sana dan berkemungkinan ada juga terdapat ladang Canistel yang ditanam secara komersil di Sabah. Laporan Statistik Jabatan Pertanian tidak menyatakan keluasan tanaman canistel kerana mungkin hanya segelintir sahaja yang mengenalinya. Ada laporan pokok ini di tanam di Teluk Intan dan di Semenyih oleh peminat pokok ini. Pokok kuning telur dikatakan tidak bermusim dan boleh berbuah sepanjang tahun. Pokok yang dibiak melalui biji benih dengan matang dan akan berbuah dalam masa 3-5 tahun sahaja. Sesiapa berminat boleh cuba menanam sendiri. Wasallam!.


POKOK CANISTEL... APA DIA...
PERGI SABAH... BARU JUMPA...
BUAH MANIS... KUNING ISINYA...
DIMAKAN SEGAR...AKU SUKA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 720, Hotel Promenade,
Kota Kinabalu,
Sabah, Malaysia.
(22 JamadilAkhir 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...