KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, April 9, 2015

RAMBUTAN: KLON GB-44

RAMBUTAN KLON GB-44 adalah jenis klon yang baru (Nephelium lappaceum) dan telah dibangunkan oleh MARDI semenjak 3 dekad lalu dengan cara konvensional. Saya kali pertama mendengar dan melihat foto klon ini dan terus mendapatkan sedikit info mengenai klon baru ini semasa menghadiri persidangan CONFERTECH 2015 yang diadakan di Kuching, Sarawak pada 6 - 9 April 2015 melalui pembentangan kertas teknikal dan pameran poster. Kaedah cantasan berperingkat dan juga penilaian prestasi yang berterusan telah mendapati bahawa klon ini (atau varieti ini yang masih belum didaftarkan dalam Senarai varieti kebangsaan) adalah diantara klon rambutan yang terbaik untuk diketengahkan. Keluasan tanaman rambutan di Malaysia sekitar 24,749 hektar CHE pada tahun 2012 dengan anggaran hasil sebanyak 89,000 mt (Sumber: Laporan Jabatan Pertanian). Pokok rambutan yang ada ini kebanyakannya adalah ditanam semasa Jabatan Pertanian melaksanakan program AID (Agriculture Input Diversification Program) sekitar tahun 1970'an - 1980'an) dahulu. Tanaman rambutan bukan menjadi pilihan petani masa kini kerana ia kurang ekonomik jika dibandingkan dengan potensi tanaman makanan yang lain. Pemerhatian penulis mendapati semakin banyak pokok rambutan yang ditebang setiap tahun dan digantikan dengan tanaman lain seperti kelapa sawit, getah, sayur-sayuran, buah-buahan lain dan ada juga terbiar begitu sahaja. Anda boleh membaca mengenai rambutan melalui artikel saya sebelum ini Rambutan (Sila klik disini), Varieti Rambutan (Sila klik disini), Cantuman dewasa rambutan (Sila klik disini), Rambutan Gading Muar (Sila klik disini), Rambutan Anak Sekolah (Sila klik disini), Kenapa Tanam Rambutan (Sila klik disini) dan banyak lagi. Buah rambutan yang berbuah ikut musim sekitar bulan Jun - September setiap tahun dikatakan kurang nilai pasaran terutama apabila musim lambakan berlaku. Penulis sering melihat bagaimana buah rambutan kering dipokok tidak dipetik oleh pemiliknya kerana kurang nilai ekonomi. Mungkin kita boleh jadikan buah rambutan sebagai buah MyOrganic dibawah MyGAP kerana memang tidak banyak diberikan baja dan racun kimia. Artikel pada subuh kali ini saya sempat berkarya dalam "Anim Agro Technology" sedikit info mengenai rambutan baru hasil kajian MARDI iaitu Rambutan GB-44 untuk diketengahkan. Sebarang pertanyaan lanjut sila majukan kepada pihak berkaitan.


Laporan MARDI yang saya baca telah menyatakan bahawa Klon Baru GB-44 merupakan klon yang mempunyai prestasi yang lebih baik daripada klon piawai iaitu R191 (Anak Sekolah). Klon ini didapati mempunyai hasil 10% lebih tinggi daripada klon piawai iaitu R191 dengan sistem pengurusan yang sama dilakukan. Walau pun amalan agronomi tanaman rambutan klon bari ini sama dengan klon piawai tetapi ia mampu memberikan hasil sekitar 1-2 minggu lebih awal dengan buah yang masak (Sila lihat foto disebelah). Walau bagaimana pun kedua-dua varieti ini tidak menunjukkan perbezaan yang jelas mengenai ciri saiz buah (sekitar 37 gram sebiji), jumlah pepejal yang larut (21-22%) dan perolehan isi (48-49%). Antara pegawai penyelidik yang terlibat dengan kajian ini di MARDI adalah Johari Sarip, Noraishah Rahmat dan Mohd  Afiq Nawi yang menghasilkan pameran poster tersebut. Kepada petani yang ingin mendapatkan anak benih varieti rambutan baru ini kena tunggu ia di keluarkan oleh pihak berkaitan. Benih rambutan lazimnya disediakan daripada benih cantuman yang ada kepastian mengenai ketulinan varieti. Walau pun sekarang penanaman rambutan bukan menjadi pilihan utama petani tetapi dengan adanya varieti baru ini mungkin akan sedikit sebanyak 'menyegarkan' lagi industri penanaman baru pokok rambutan yang telah agak 'suram' di Malaysia. Belum dinyatakan secara rasmi akan potensi rambutan ini sama ada hanya untuk pasaran segar atau sesuai untuk diproses seterusnya untuk dieksport keluar negara. 


Jadual : Perbandingan Klon GB-44 dengan Anak Sekolah (R191)

Jadual diatas menunjukkan perbandingan prestasi diantara klon rambutan Anak Sekolah (R191) dengan Klon Baru GB-44 yang dihasilkan oleh MARDI. Pertama sekali melihat prestasi hasil menunjukkan pada umur pokok 5 tahun varieti R191 mencapai hanya 18.5 kg sepokok berbanding 26.2 kg sepokok untuk GB-44 Pada umur 8 tahun jika ianya lebih tinggi iaitu 32.4 kg sepokok berbanding dengan 25.2 kg sepokok. Dari segi kelekangan isi pula varieti GB-44 ini dikategorikan sebagai Lekang Separa Testa berbanding dengan varieti Anak Sekolah dikategorikan sebagai Lekang Bertesta. Penulis tertarik dengan tekstur isinya yang dikatakan sebagai 'Rangup Kering' berbanding rambutan perbandingan cuma 'Kenyal Kering'. Bagaimana pun ciri perolehan isi didapati ia hanya 48.3% berbanding R191 agak tinggi sedikit iaitu sekitar 49.5%. Kalau mereka yang bertanya mengenai aroma atau bau rambutan ini dinyatakan ia sebagai beraroma ketara sedangan rambutan piawaian menerima ranking sebagai beraroma sederhana. Bagaimana pun dari segi ekonomi varieti baru GB-44 lebih baik kerana ia akan masak atau boleh dituai 1-2 minggu lebih awal berbanding dengan R191 yang dipetik pada musim puncak sahaja. Ini membolehkan ia menerima harga lebih baik sebelum lembakkan rambutan berlaku dipasaran. Bekalan benih klon baru masih awal untuk dinyataka. Akhir kata saya ucap tahniah kerana ada varieti baru ini dan Salam 1 Malaysia dengan potensi tanaman rambutan masa akan datang. Wasallam!.


KLON GB-44.... RAMBUTAN BARU....
KUALITI BAIK... LAMA DI TUNGGU...
BANDING R191...TINGGI MUTU....
MENCARI BENIH... SIAPA TAHU...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1016, Riverside Majestic Hotel,
Jalan Tuku Abdul Tahman, 
Kuching, Sarawak, '
Malaysia.
(7 April 2015)   

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...