KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, April 8, 2015

RACUN - KALIBRASI SEMBURAN CECAIR

RACUN MAKHLUK PEROSAK (Pesticide) ditakrifkan dibawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974 di Malaysia (Pindaan 2002) iaitu sebagai bahan yang digunakan untuk mengawal, mencegah, memusnah, melemah, menghalau, melegakan atau mengurangkan makhluk perosak. Itu adalah penerangan asas mengenai perkara tersebut dalam undang-undang dinegara kita mengenai racun makhluk perosak. Racun makhluk perosak boleh dibahagikan kepada beberapa jenis berdasarkan perosak yang dikawal iaitu dikenali dengan jenis Racun Serangga, Racun Hama, Racun Nematod, Racun Tikus, Racun Kulat, Racun Rumpai, Racun Anai-anai, Racun Burung dan Racun Siput. Kesemua jenis racun-racun tersebut mempunyai fungsi berbeza bergantung kepada bahan aktif (active ingredients) yang berlainan. Ini kerana semua jenis racun tersebut mempunyai perumusan (Formulasi) berbeza bagi setiap jenis. Perumusan racun makhluk perosak adalah campuran pelbagai jenis bahan untuk menghasilkan produk yang berguna dan berkesan bagi tujuan yang dinyatakan. Sebagai contoh, antara beberapa perumusan racun adalah seperti formulasi Pekatan Formulasi (Emulsified concentrate - EC), Serbuk Bancuh (Wettable Powder - WP), Serbuk Bancuh Larut (Soluble Powder - SP), Debu atau Granule (GR) dan formulasi Aerosol (Aerosole) dan sebagainya. Artikel subuh Ahad ini dalam kesejukkan pagi dari tingkat 10 sambil memandang Sungai Sarawak, saya teruskan menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kalibrasi semburan racun dalam bentuk cecair yang menggunakan alat penyembur khas dengan cara yang betul dan efektif untuk rujukan anda. Bahan rujukan memang diperolehi daripada pakar bidang racun dan juga pengalaman penulis sendiri dalam sektor  pertanian selama lebih 32 tahun.


Aktiviti menggunakan racun adalah berbeza bergantung kepada jenis racun, formulasi racun, alat yang digunakan, kepekatan, ketegori kelas kebisaan racun dan persekitaran (angin, suhu dan cuaca). Bagaimana pun kebanyakan dari jenis racun yang digunakan adalah dalam bentuk cecair campuran. Ini kerana penulis dapati cara ini dianggap mudah, murah dan amat praktikal dilaksanakan. Teknik Semburan Cecair didapati kaedah paling luas digunakan dilapangan sama ada pihak estet atau pekebun kecil terutama untuk jenis racun rumpai (weediside) dan juga beberapa jenis racun serangga (Pesticide) dan racun kulat (Fungicide) yang lain sebagai satu pilihan utama yang selalu diamalkan. Ia berbeza dengan racun pejal yang dijadikan sebagai umpan (baits) seperti Racun Siput, Racun Tikus dan beberapa jenis lagi. Lazimnya teknik semburan cecair memerlukan peralatan iaitu ALAT PENYEMBUR sama ada ianya jenis dari jenis manual (seperti Knapsack Sprayer) atau jenis berjentera (seperti Motorised sprayer) dimana ia bergantung kepada kesesuaian dan kos. Pemilihan alat ini juga bergantung kepada jenis racun yang digunakan sama ada perlu menggunakan tong yang sama atau tong lain untuk jenis-jenis racun berlainan. Kawasan yang lebih luas atau ladang besar (estates) sesuai menggunakan jenis penyembur berjentera untuk liputan besar dan kerja yang lebih cepat. Ini kerana ia memerlukan masa yang lama jika menggunakan tong penyembur galas yang hanya mampu membawa sekitar 4 liter sahaja.  


Kalibrasi penyemburan cecair racun perlu dikira dengan betul untuk mendapatkan kesan yang optima, kos yang sesuai dan kecekapan semburan yang sesuai. Lazimnya ada petani masih lagi berfikiran jika mereka menggunakan dos yang tingi dan berlebihan maka ia akan 'cepat' memberikan kesan. Ini merupakan pemahaman yang kurang tepat kerana pada setiap bekas racun ada dituliskan dengan jelas kadar dos racun yang perlu digunakan dengan bancuhan air bersih. Bagaimana pun jika kadar penggunaan racun kurang daripada yang disyorkan, ia sebenarnya kurang memberi kesan terhadap sasaran semburan malahan ianya adalah merugikan petani. Kawalan yang tidak berkesan ini menyebabkan keadaan fitotoksik kepada tanaman atau meninggalkan sisa baki racun pada hasil tanaman serta menyebabkan pencemaran alam sekitar. Penggunaan dos yang tidak betul juga akan menyebabkan kesan kebal kepada serangga perosak (immune) dan sasaran lain. Penulis sering juga melihat bagaimana ada pekerja ladang (terutama pekerja warga asing) tidak berkemahiran dimana mereka tidak mengikuti amalan keselamatan penggunaan racun ketika aktiviti semburan dilaksanakan. Antaranya seperti cara membancuh racun dalam tong penyembur dengan tangan sahaja (sepatutnya guna alatan lain), tidak menggunakan pakaian sesuai, makan, merokok dan minum semasa meracun. Saya jua melihat kuku mereka kehitaman dan rosak akibat terkena racun.


Terdapat dua keadaan yang penting bagi membuat kalibrasi semburan racun. Pertama adalah kadar liputan permukaan tanah dalam unit meter persegi dan kedua adalah jumlah semburan (output) yang keluar dari penyembur dalam liter seminit. Dalam menentukan formula kalibrasi penulis dapati terdapat 3 maklumat penting yang diperlukan iaitu Had Kelajuan Perjalanan (Meter/Minit), Lebar Semburan dan Kadar Semburan. Had Laju Perjalanan akan ditentukan dengan mengukur jarak perjalanan air dalam masa 1 minit. Selalunya akan dibuat ulangan beberapa kali untuk mendapatkan nilai purata bacaan. Lebar Semburan pula didapati sama ada kita menggunakan satu atau lebih nozle. Jumlah nozel lebi membolehkan kebar sebaran lebih luas. Kadar Semburan pula kita kena kumpulkan dari satu nozel dalam satu bekas semala satu minit. Catit jumlah yang terkumpul daripada semburan dan kemudian mecampurkan semua jumlah yang terkumpul dan ulangi beberapa kali untuk dapatkan purata bacaan. Semasa membuat semburan pastikan tekanan semburan dalam pam adalah seragam. Contoh penggiraan berikut boleh digunakan untuk latihan sahaja:-

1. Purata jarak berjalan seminit  = 30 meter

2. Lebar Semburan                     = 1 meter
3. Kadar Semburan                     = 3.0 liter/minit
4. Jumlah Kawasan disembur     = 3.0 liter seminit
5. Jumlah kawasan disembur      = 20m x 1m2 = 30m2
6. Masa semburan sehektar       = 10,000/30m2 = 333.33       
                                                        minit sehektar
7. Jumlah liter sehektar               = 333.3 minit/ha x 3 liter/min
                                                    = 999.9 liter /ha 
                                                    = 1,000 liter sehektar.

Kiraan tersebut menunjukkan alat tersebut telah dikalibrasi untuk isipadu semburan pada kadar 1,000 liter sehektar. Jika isipadu semburan yang disyorkan pada label racun yang kurang atau lebih daripada 1,000 meter/hektar, maka purata jarak berjalan dan kadar semburan seminit perlu diubah mengikut kesesuaian. Apa juga pun tahap kefahaman ini perlu diketahui oleh petani atau pekerja ladang dengan betul dan tepat. Semuga artikel subuh ini memberi info berguna kepada pembaca semua.  Wasallam!.



KALIBRASI RACUN... PERLU TAHU...
KESAN OPTIMA... SEMBURAN ITU...
IKUT ATURAN...BACA LABEL DULU...
MMENGUNA RACUN...ELAK KELIRU...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1016, Riverside Majestic Hotel,
Jalan Tunku Abdul Rahman,
Kuching, Sarawak,
Malaysia
(23 RabiulAwal 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...