KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, April 1, 2015

KESAN KEMARAU - JEJASKAN HASIL SAYURAN

KEMARAU (Draught) merupakan satu istilah yang lazim terdengar di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan mengakibatkan banyak kesusahan kepada rakyat terutama dikalangan petani dan pesakit kronik. Pemerhatian yang penulis buat pada tahun 2014 mendapati ujud kesan fenomena El-Nino (Cuaca panas dan kering) di Negeri Melaka dan Johor menunjukkan cuaca kering tersebut berlaku dari bulan Febuari - April 2014 telah memberi kesan teruk kepada sektor tanaman terutama pengeluaran sayuran dan beberapa jenis buah-buahan terpilih. Kawasan seperti di Kg Solok Tangkak, Sengkang, Machap, Kluang dan kawasan tanaman nenas di Benut di Johor didapati terjejas teruk kesan kemarau ini. Laporan kajian oleh Bahagian Hortikultur Negeri Johor yang telah disediakan telah dirujuk dimana penulis jadikan rujukkan asas. Laporan tersebut menyatakan pengeluaran hasil sayuran terutama untuk jenis sayur daun telah menurun sebanyak 25 - 30% setiap bulan dimusim kemarau ini. Ini disebabkan air didalam kolam takungan (storage water) dan dalam sungai atau perparitan didapati telah kering melebihi 3 bulan pada waktu tersebut. Keadaan menjadi lebih teruk dikawasan penanaman sayuran dan tanaman makanan di tanah gambut (peat soil)  yang sangat mudah kering dan terbakar. Perkara sama berulang pada tempoh sama 2-15 tetapi tempohnya adalah pendek sedikit. Lawatan penulis di Kelompok Sayuran Komersil Bt 19, Sengkang, Ledang yang menenam sekitar 500 ekar sayuran dan buah-buahan bercampur mengesahkan akan kerugian besar kepada petani. Selaps 2.5 - 3. bulan tidak hujan di kawasan Gunong Ledang berterusn menyebabkan bekalan air tidad disungai utama kawasan ini. Pengusaha telah pasang 4 unit Telega Tiub Dalam (Bernilai RM70,000 satu unit dibiayai oleh petani sendiri) walau pun hanya 2 unit tube well yang berfungsi dengan baik. Kesan kemarau kepada pengeluaran bahan sayuran terutama sayuran daun  amat ketara. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kesan kemarau terhadap pengeluaran sayuran berdasarkan laporan Akhbar Kosmo yang terbit pada 30 Mac 2015.



LAPORAN AKHBAR:
Kemarau jejas pengeluaran sayur-sayuran
Oleh Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek


PUTRAJAYA, 30 Mac - PENGELUARAN sayur-sayuran dijangka terjejas pada musim kemarau. Musim kering atau kemarau secara amnya ditakrifkan berlaku apabila purata hujan bulanan kurang daripada 50 milimeter. Bagi tujuan membantu perancangan pertanian negara, Jabatan Pertanian telah membangunkan Peta Indeks Hujan (ARI) Pertanian untuk menunjukkan kawasan yang mengalami bulan-bulan kering. Peta ini menunjukkan negeri-negeri di utara Semenanjung yang mengalami musim kering yang berpanjangan sehingga empat bulan secara berturutan. Bagi negeri Perlis dan sebahagian besar utara Kedah dan Pulau Langkawi musim keringnya bermula dari Disember hingga Mac manakala Kelantan dan pesisiran pantai Terengganu pula sekitar Januari hingga April. Lazimnya, projek-projek pertanian yang dijalankan mengambil kira keadaan musim kering yang dijangka berlaku pada setiap tahun contohnya Perlis dikenal pasti sebagai kluster penyelidikan Mangga Harumanis kerana musim kering yang panjang merangsang pembentukan bunga.

Pengeluaran
Kesan Kemarau akan memberi kesan lebih awal di kawasan pengeluaran sayur-sayuran apabila keperluan air tanaman adalah tinggi kecuali terletak di kawasan yang mempunyai bekalan sumber air yang berterusan. Diikuti oleh tanaman buah-buahan tidak bermusim seperti betik, pisang, nanas, jambu batu, belimbing dan nangka. Tanaman buah-buahan bermusim seperti durian, mangga, rambutan, duku dan dokong akan terkesan sekiranya tempoh berlakunya musim kering berpanjangan. Bagaimanapun, bagi kawasan-kawasan yang mempunyai kemudahan seperti telaga, kolam, takungan air dan telaga tiub, pengeluaran hasil tanaman dapat dikekalkan seperti biasa. Kesan kemarau dijangka bertambah buruk sekiranya sayur-sayuran atau buah-buahan ini ditanam di atas tanah berpasir, tanah gambut yang mudah mengering, tanah aluvium laut yang ada lapisan masam asid sulfat dan tanah-tanah bukit yang terlalu gembur atau tanah laterit.


Kawasan penanaman di tanah tinggi (Cameron Highlands, Pahang dan Lojing, Kelantan) dijangka tidak menerima impak berbanding kawasan tanah rendah kerana terletak di kawasan tadahan air. Berbeza dengan kawasan tanah rendah, lebih sukar untuk mendapatkan bekalan air alternatif sekiranya sumber air seperti sungai atau kolam mengalami kekeringan. Pada masa ini, pengeluaran sayur-sayuran di negara ini hampir mencukupi keperluan untuk penggunaan tempatan baik sayur-sayuran tanah pamah dan tanah tinggi. Pengeluaran sayur-sayuran adalah dianggarkan sebanyak 3,000 tan sehari dari kawasan pengeluaran utama. Pada tahun 2014, seluas 38,592 hektar tanah telah diusahakan untuk mengeluarkan 994,976 tan setahun merangkumi pelbagai jenis sayur. Johor, Pahang, Kelantan, Perak dan Selangor merupakan kawasan pengeluaran sayur utama di Semenanjung Malaysia.


Kawasan Cameron Highlands dan Lojing merupakan satu-satunya kawasan pengeluaran jenis tanaman sayur-sayuran tanah tinggi. Sayur-sayuran jenis tanah pamah banyak ditanam di kawasan bekas lombong, tanah gambut, berpasir dan aluvium sungai. Kawasan seperti ini terletak di Hulu Selangor; Bentong, Pahang; Kinta dan Batang Padang, Perak serta Ledang dan Kluang, Johor. Tanaman sayur-sayuran memerlukan jumlah air yang banyak berbanding tanaman lain dan perlu disiram setiap hari. Pelbagai kaedah digunakan untuk penyiraman air seperti pengairan renjis dan titis. Biasanya sumber air diperoleh daripada pelbagai cara seperti sungai, lombong, kolam dan telaga tiub. Di kawasan Cameron Highlands dan Lojing, sumber air diperoleh daripada kawasan tadahan air dan hutan berhampiran yang membekalkan air ke dalam sungai.


Kebelakangan ini, didapati taburan hujan tidak menentu dan di luar jangka daripada trend peta indeks hujan yang telah disediakan. Umpamanya, pada awal tahun 2014, negara mengalami musim kering yang agak panjang iaitu selama tiga bulan di beberapa tempat sehingga catuan air dijalankan. Bagaimanapun, pada tahun ini taburan hujan pada tiga bulan pertama ini tidaklah seteruk berbanding tahun lepas tetapi sekiranya musim kering berlanjutan, ia akan menjejaskan sedikit pengeluaran tanaman sayur-sayuran. Selain bekalan air daripada hujan, simpanan air dalam tanah juga bergantung kepada jenis tanah iaitu sama ada tanah berpasir, gambut, aluvium sungai dan bukit.

Kesan kemarau
Kawasan berpasir seperti tanah lombong cepat kehilangan air kerana kekurangan bahan organik. Kesan kekurangan air di tanah gambut pula boleh meningkatkan risiko kebakaran. Bagi tanah lanar laut, kekurangan air dalam tanah akan meningkatkan keasidan tanah yang boleh menjejaskan pertumbuhan tanaman sayur-sayuran. Mengikut maklumat daripada Persatuan Pekebun Sayur-sayuran Malaysia dan pegawai pertanian kawasan, majoriti kawasan sayur-sayuran masih mampu mengekalkan pengeluaran sayur-sayuran dengan menggunakan sumber air yang sedia ada. Rekod pengeluaran sayur-sayuran Jabatan Pertanian dari Februari, 2015 hingga sekarang menunjukkan penghasilan sayur-sayuran tidak terjejas kecuali beberapa lokasi di Ledang, Johor.


Bagi menghadapi kesan kemarau panjang, Jabatan Pertanian mengesyorkan beberapa tindakan yang boleh diamalkan oleh penanam-penanam sayur seperti dengan meningkatkan kecekapan menyalurkan air dari puncanya ke dalam kebun pengusaha sayur-sayuran melalui kaedah atau penggantian pam dan paip saluran yang lama. Kedua adalah dengan meningkatkan kapasiti kolam-kolam takungan dalam kebun petani dan juga menyediakan telaga untuk sumber air yang berterusan. Seterusnya adalah dengan menyediakan tangki untuk simpanan air hujan untuk kegunaan pengairan dan juga meminimumkan penggunaan air menggunakan sistem pengairan titis dan renjis terutamanya untuk sayur-sayuran daun. Cara lain adalah dengan menambah penggunaan bahan organik terutama semasa penyediaan tanah. Bahan Organik berfungsi untuk menambah kapasiti pegangan air tanah. Penggunaan bahan sungkupan terutamanya daripada bahan organik juga sesuai untuk mengurangkan sejatan air tanah yang berlebihan. Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Jabatan Pertanian Malaysia di talian 03-8870 3007/3050 atau faksimili di 03-8870 4775 atau melayari laman Facebook di Facebook/jabatanpertanianmalaysia. Wasallam!.


KESAN KEMARAU...BERLAKU BILA...
FEBUARI - APRIL... ADA MELANDA...
KAWASAN SAYURAN..TERJEJAS IA...
PERLU DI RANCANG.. MENGATASINYA....

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kebun Sayuran Komersil,
Bt 19, Sengkang, Bukit Gambir,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(10 JamadilAkhir 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...