Rambutan (Nephelium lappaceum Linn) merupakan sejenis buah-buahan tropika yang dipercayai berasal dari Malaysia dan Indonesia. Buah rambutan ini di percayai berasal dari nama " Buah dan Rambut" yang mempunyai isi dan biji dan dimakan segar atau diproses. Pokok rambutan dari jenis pokok saka yang mana boleh mencapai sehingga 20 meter ketinggian. Pokok rambutan yang diurus dengan baik mampu mencapai umur sehingga 25 tahun atau lebih. Industri tanaman rambutan di Malaysia kini kurang popular kerana saya dapati ia memberikan pulangan keuntungan yang amat rendah berbanding dengan tanaman lain. Rambutan boleh ditanam daripada biji atau dari benih cantuman yang baik mempunyai kanopi terbuka. Penulis mempunyai pengalaman memberikan khidmat pengembangan teknikal dalam tanaman rambutan semasa menjalankan projek pemulihan buah-buahan di Johor dan Melaka. Artikel ini saya menulis didalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman rambutan untuk bacaan semua berdasarkan buku dan pengalaman.
Di Malaysia seluas 24,749 hektar keluasan tanaman rambutan dengan pengeluaran sebanyak 79,540 metrik tan direkodkan pada tahun 2009 dan meningkat kepada 26,946 hektar dengan pengeluaran sebanyak 86,085 metrik tan pada tahun 2010. Negeri2 pengeluar utama rambutan seperti Kelantan, Johor, Terengganu, Pahang, Perak dan Kedah. Stastitik Jabatan Pertanian menunjukkan pada tahun 2009 dan 2010 kawasan diDaerah Larut Matang/Selama di Perak paling luas kawasan tanaman rambutan iaitu seluas 846 hektar diikuti dengan Daerah Kuala Kerai Kelantan (654 ha) dan Daerah Dungun Terengganu (473 ha). Di Johor pula seluas 2,354 hektar di tanam pada 2009 dimana paling luas di tanam di Daerah Muar (428 ha) diikuti Daerah Mersing (409 ha), Daerah Kota Tinggi (400 ha) dan Segamat (350 ha).
Rambutan "Anak Sekolah' |
Pokok rambutan mampu tumbuh sehingga ketinggian 20 meter merupakan pokok saka yang ada kanopi rendang dan rimbun. Lazimnya pokok rambutan yang dijaga dengan haik mampu produktif sehingga 25 tahun. Pokok rambutan klon lama kampong ada yang masih tumbuh dengan buah yang masam dan sering digunakan sebagai baka kacukan sahaja. Pokok rambutan sekarang yang ditanam hanya jenis klon terpilih yang dicantum dan mempunyai dahan yang lebih rendah dan sistem cabang yang terbuka tengah.
Musim berbunga bagi rambutan di Malaysia bermula bulan Mac-Julai dan musim kedua pada Julai-November. Kebanyakan bunga rambutan adalah HEMAPRODIT iaitu ada bunga jantan dan betina pada satu jambak. Pendebungaan berkacuk adalah terbaik untuk hasilkan buah berkualiti dan dilaksanakan oleh agen-agen pendebungaan seperti Semut (Companatus spp), Kerengga (Oceophylla smaradgina), Kelulut (Trigona spp) , Lebah (Apis cerana) dsb. Buah rambutan terbentuk pada hujung ranting yang berbentuk bulat berukuran 5 cm yang berwarna hijau masa muda dan bertukar kuning atau merah apabila masak. Tempoh masa matang dari peringkat berbunga natara 100 - 130 hari.
Anak benih ditanam dalam lubang yang telah disediakan dan dimasukkan baja asas TSP (200 gm/lubang) dan perlu ditutup dengan sungkupan. Siram air 2x sehari (Kecuali hujan) atau sebaiknya ada sistem pengairan titis. Program pembajaan dijalankan dengan NPK 15:15:15 (kadar 500 gm/pk) ditambah dengan baja foliar pada tahun pertama dan naik kepada 1 kg/pokok (tahun kedua) . Bubuh baja NPK 12:12:17:2 (baja buah) pada tahun ketiga sebanyak 1.5 kg/pk dan naik 0.5 kg setiap tahun berikutnya. kawal rumpai dengan racun Rumpai (Glufosinate ammonium). Buat cantasan pembentukkan dari peringkat awal untuk dapatkan "open centered" dan pada tahun kedua buat cantasan pembentukkan kanopi. Pada tahun ketiga dan seterusnya dibuat cantasan pembentukan dahan yang kuat.
Penyakit utama rambutan ialah Cerana Batang (Dolabra nepheliaceae) yang berbentuk keruping pada batang dan dikawal dengan GAP, Kikis dan sembur racun kulat fosetyl aluminium (Alliete) atau sulfur (Kumulus) atau Copper oxychloride (Coppocide). Penyakit Kulapok Hitam (Meliola nelhellii) pula serang pada buah disebabkan koya dan kawalan dengan racun sulfur. Penyakit Kulapok berdebu (Oidium nephelii) serang buah dikawal dengan Sulfur atau Copper. Serangga yang menyerang rambutan ialah Ulat Pengorek buah Rambutan (Conopomorpha cramevella) , Ulat Lipat Daun (Muda), Kumbang makan daun (Muda), Tupai, Monyet dan Keluang. Kawalan menggunakan jaring, ditembak atau pasang perangkap.
Pokok rambutan secara teorinya berbuah selepas 275 - 300 hari lepas tanam. Rekod Jabatan menunjukkan purata pengeluaran hasil rambutan di Malaysia lingkungan 3.2 - 3.5 mt/ha. Analisa penulis di Muar mendapati kos penjagaan pokok rambutan dewasa adalah sekitar RM 2,237.00 sehektar setahun (Tidak termasuk kos pembangunan awal) manakala pendapatan kasar ladang sebanyak RM 4,200 ha/tahun manjadikan untung bersih sebanyak RM 1,963 ha/tahun atau cuma RM 163.00 sebulan sehektar. Kos pengeluaran setiap kilogram rambutan sebanyak RM 0.65. Tanaman rambutan bukan satu busines yang sangat menguntungkan jika dijual segar jika dibandingkan dengan tanaman lain kecuali jika di proses atau ada aktiviti lain dalam kebun rambutan.
TANAM RAMBUTAN.... DAPAT MAKAN .....
HASIL RAMBUTAN ... ADA DIBIARKAN ...
JENIS ANAK SEKOLAH...JADI PILIHAN...
MAS GADING MUAR... KUNING DITELAN...
Related articles:
1. Klon Rambutan di Malaysia (Klik disini)
2. Kenapa Rambutan ? (Klik disini)
3. Rambutan Gading Muar (Klik disini)
4. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)
By
M Anem
Agronomist,
Gersik,
Muar, Johor,
Malaysia.
(Kemaskini blog pada 1 Mac 2013)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.