KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, February 5, 2010

Peria Katak

                                                      Penanaman peria katak varieti 321 yang di Tanam oleh En Murad 
di Kelompok Kg Paya Mas Tangkak, Ledang Johor 
kelolaan Jabatan Pertanian.
Peria Katak (Momordica charantia) dari order Cucurbitaceae adalah sejenis sayuran menjalar yang mempunyai permintaan yang baik terutama digunakan sebagai ulaman untuk ubatan oleh masyarakat tempatan. Peria katak berbeza dengan peria biasa dengan ciri-ciri pada kulit yang mengerutu dan berwarna hajau gelap. Peria katak asli (Liar) tumbuh dikawasan yang mendapat sinaran matahari dan mengeluarkan buah yang kecil , berwarna hijau gelap serta sedikit. Jenis Peria Katak Komersial pada masa ini ditanam menggunakan benih hybrid Taiwan No 321 yang lebih komersial. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi penanaman peria katak untuk bacaan dan rujukkan pembaca semua.

Peria Katak No 321 merupakan satu varieti yang sesuai untuk di komersialkan dan harga satu tin benih hybrid antara RM 400.00 - RM450.00 satu tin yang hanya boleh ditanam sekali sahaja (F1). Pada masa ini terdapat seluas kira-kira 26 hektar CHE keluasan tanaman peria katak di usahakan di Daerah Muar dan Ledang. Kawasan tumpuan penanaman peria katak di sekitar Bandar Tangkak, Kg Solok, Sagil dan Sengkang. Kawasan lain adalah disekitar Pagoh, Ledang dan juga kawasan Sungai Balang, Muar. Peria Katak disukai penanam sayur kerana kurang kadar serangan oleh lalat buah jika ditanam dikawasan yang baru dibuka.

Pemeriksaan tanaman peria katak.
Pasaran dan permintaan peria katak adalah terhad dan jika bekalan terlebih maka pernah dilaporkan harga akan turun sehingga RM 0.60 sahaja satu kilogram sedangkan harga purata 'ex-farm' saya dapati tidak kurang RM 2.00.kg atau lingkungan pasaran antara RM 2.20 hingga RM 2.80 sekilogram.

Peria Katak di tanam diatas batas yang di bubuh lapisan plastik silvershine. Batas yang disediakan perlu digaul dengan baja organik (lazimnya tahi ayam) dengan kadar 2 tan satu hektar. Bubuh 2 biji benih setiap lubang dan jarak penanaman sebaris sejauh 1.5 meter dalam barisan. Kalau terlalu rapat maka penghasilan adalah tinggi tetapi pokok cepat mati berbanding jika ditanam dengan jarak lebih jauh. Baja vegetatif NPK 15:15:15 dan baja organik tahi ayam dibubuh peringkat awal penanaman. Baja buah jenis diberikan dengan baja NPK 12:12:17:2 mengikut kadar disyorkan. Penyiraman dijalankan 2 kali sehari dan kerja-kerja kawalan rumpai dijalankan. Kawalan rumpai dengan cara manual (menajak , mencabut) atau gunakan racun kimia secara terkawal.  Perbezaan antara peria katak dengan peria biasa ialah peria katak dikawasan terpencil tidak perlu dibalut. Kajian penulis jika kawasan tersebut "isolated" daripada kawasan tanaman jenis cucurbitaceae yang lain lebih baik. Bagaimanapun pastikan yang Lalat Buah (Daucus spp) sentiasa dipantau kehadirannya.

Buah Peria Katak yang matang dituai menggunakan pisau tajam dan di kumpulkan mengikut gred. Antara perosak tanaman peria katak ialah Ulat Pengorek Buah, Lalat Buah dan boleh di kawal jika kadar serangan tidak serious dengan perangkap methyl eugenol. Penyakit Layu Bakteria (Fusarium spp) merupakan masaalah utama peria katak. Petani mungkin tidak dapat hasil jika serangan layu fusarium berlaku pada peringkat awal. Kawalan rumpai hanya pada peringkat awal penanaman dan tidak menjadi masaalah jika pokok telah menutupi keselurohan kanopi.

Pengalaman penulis dengan En Murad yang telah menanam peria katak lebih 5 tahun menyatakan , beliau menjalankan penanaman peria katak bergilir-gilir dengan tanam petola, timun dan kacang panjang dan akan berubah kawasan penanaman. Kata Murad masalah untuk dapatkan benih yang baik, tanah yang subur dan ketulinan benih adalah isu utama dan bukannya masaalah amalan agronomi. Bekalan benih dari kedai penjual benih kadang-kadang sukar di perolehi. Oleh itu beliau ada memilih dan menyimpan benih sendiri untuk kegunaannya bagi penanaman akan datang. Kajian oleh penulis yang pernah berbincang dengan CEO Guthrie di Kuala Lumpur pada tahun 2007 menyatakan syarikatnya perlukan banyak peria katak untuk di proses bagi dijadikan pes ramuan bagi dijadikan ubat. Bagaimanapun harga ditawarkan cuma RM 0.30 - RM 0.40 sekilogram menjadikannya penanaman di Muar tidak viable. Kini syarikat tersebut banyak mengimpot bahan Charantia dari China.

Kandungan rasa pahit peria katak dipercayai secara klinikal dapat membantu mengawal penyakit kencing manis dan dipercayai dapat hindarkan HIV. Selain itu didakwa bahawa peria katak dikenali sebagai "INSULIN TUMBUHAN" yang kawal kandungan gula dan kencing manis. Kajian penulis mendapati anggaran pendapatan bersih sehektar peria katak sekitar RM 3,980.00 - RM 4,200.00 sehektar dan kos pengeluaran setiap kilogram peria katak sebanyak RM 0.90 dan pulangan setiapuran sebanyak ringgit pelaburan sebanyak RM 1,86 iaitu menguntungkan.


Peria Katak kini telah dikomersilkan dengan penghasilan produk 'ready to eat' seperti dalam bentuk kapsul, pil,  serbuk dan juga dalam bentuk larutan cecair. Produk tersebut dikategorikan sebagai makanan suplement kesihatan yang mudah didapati di farmasi-farmasi dan juga syarikat jualan terus. Saya percaya satu hari nanti  produk dari tanaman peria dan peria katak akan terus popular bagi penggunaan segar mahu pun dalam bentuk produk proses. 


KATAK OH KATAK...... PERIA KATAK?
KATAK APA.... KULIT MACAM KATAK PURU....
APA KHASIATNYA...... PAHIT JADI UBAT......
HARGANYA MAHAL...KAT SUPERMARKET 


Related articles:
1. Petola Segi (Klik disini)
2. Capsaicin yang pedas (Klik disini)
3. Petua (Klik disini)
4. Silvershine Plastic (Click here)
5. Seeds (Click here)
6. Sayuran Popular di Malaysia (Klik disini)


By
M Anim
Tangkak
Johor,
Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...