KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, April 29, 2012

KHASIAT MANGGIS

MANGGIS (Garcinia mangostana L.) merupakan sejenis buah-buahan tropika yang dipercayai berasal atau 'native' dari Semenanjung Malaysia. Pokok Manggis merupakan satu komoditi yang ditanam untuk penghasilan buah bagi dimakan segar dan kebanyakannya ditanam dalam dusun bercampur bersama-sama dengan buah-buahan lain seperti durian, duku, langsat, rambutan dan sebagainya. Ladang Manggis monokrop secara komersil jarang-jarang dijumpai pada masa ini kecuali dibeberapa Stesyen Pertanian. Terdapat seluas 5,029 hektar tanaman manggis pada tahun 2102 dilaporkan oleh Jabatan Pertanian dengan anggaran hasil sebanyak 27,300 metrik tan. Kawasan utama tanaman manggis adalah di Daerah Segamat (307 hektar - saya pernah bertugas di sana selama 4 tahun), Daerah Tumpat (243 ha) dan Daerah Pasir Mas (223 hektar). Bagi varieti Mesta pula banyak ditanam di kawasan Temerloh, Pahang. Artikel pagi Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" sambil duduk depan laptop mengenai teknologi serta khasiat manggis untuk bacaan anda semua.

Pokok Manggis merupakan tumbuhan saka yang berbatang tegak, lurus , daunnya lebar serta mampu mencecah ketinggian sehingga 20 meter. Apa yang khusus pencirian pokok manggis adalah kerana dikatakan semua bahagian pokok akan mengeluarkan cecair kuning apabila dilukai. DAUN manggis adalah ringkas serta tebal, berkilat dengan warna hijau dibahagian atas dan hijau kekuningan dipermukaan bawah lai daun.  Daun  manggis mempunyai susunan bertentangan dimana tangkai daun adalah pendek serta berukuran 15-25 cm panjang dan 7-13 cm lebar. BUNGA Manggis merupakan bunga tunggal atau berpasangan terbit dari hujung ranting.  Terdapat 4 sepal warna hijau pada bunga manggis dengan 4 petal warna hijau kuning dimana dibahagian pinggirnya agak kemerahan. Buah manggis berbentuk buah beri yang bulat dengan warna hijau ketika muda , bertukar merah apabila masak dan hitam apabila terlalu masak.

Penanaman manggis lazimnya menggunakan biji benih darii varieti manggis yang baik atau pun kini telah popular dengan anakbenih manggis cantuman.  Pokok yang ditanam dari biji benih perlukan masa lama untuk berbuah iaitu sekitar 5-8 tahun tetapi pokok manggis cantuman mampu berhasil 4 tahun sahaja dengan pengurusan yang baik.  Tanaman manggis mempunyai beberapa masaalah serangan perosak seperti ulat daun yang suka makan daun muda berwarna merah dan serangga penghisap cecair buah sehingga boleh menyebabkan buah menjadi keras dan akhirnya gugur. Serangan kulat pada akar berlaku pada musim hujan dengan saliran kurang sempurna menyebabkan akar menjadi busuk dan perang.  Jika berlaku cuaca hujan lebat selepas musim kemarau berlaku kerosakan fisiologi pada buah dimana getah akan masuk kedalam buah manggis mengakibatkan kulit buah menjaadi keras.

Manggis adalah kategori 'BUAH SEJUK' iaitu berlawanan dengan buah durian yang dikenali sebagai 'BUAH PANAS'.  Saya amat suka buah manggis kerana rasanya yang manis, ada sedikit kelat pada kulit dan agak pahit pada buah muda yang kena getahnya. Buah manggis merupakan buah paling digemari diseluruh dunia kerana keunikannya dan khasiat permakanannya. Buah manggis kaya dengan bahnan mineral, Vitamin dan protin serta unsur lain. Buah yang masak di tekan dengan tangan untuk pecahkan kulitnya dan akan nampak isi manggis yang putih gebu dan sedia untuk dimakan. Kepada mereka yang kreatif akan proses buah manggis menjadi jem, jus atau jeli. Semasa bertugas di Segamat dulu, memang sangat puas makan buah manggis diberikan oleh petani-petani secara percuma kerana Daerah Segamat merupakan kawasan paling banyak menanam manggis. Kulit buah manggis merupakan bahan pewarna yang baik dan juga digunakan dalam proses pembuatan Gula Melaka sebagai ramuan penting nagi mendapatkan warna gula kehitaman yang cantik menawan.

Khasiat dari pokok manggis memang telah diketahui ramai. Air rebusan akar manggis yang diminum memang dipercayai mampu mengatasi masaalah kitaran haid bagi perempuan. Saya ada mendengar juga air rebusan daun dan kulit pokok sesuai untuk merawat ulser dalam mulut dan juga demam panas. Dikawasan pendalaman ada kaedah memasak daun manggis, daun pisang dan kemenyan untuk dijadikan ubat sapu untuk rawatan kulit atau luka selepas bersunat (Berkhatan).  Bagi kulit pokok dan kulit buah yang direbus dan airnya diminum mampu merawat masaalah cirit birit dan disenteri.  Jika ada masaalah bengkak pada tekak, ambil kulit buah manggis dan kemam lama sedikit dipercayai mampu menghilangkan masaalah tersebut.  Lebih hebat lagi adalah dakwaan dimana air rebusan kulit manggis mampu menyembuhkan bengkak usus atau masaalah bengkak saluran kencing.  Kalau tidak di cuba mana hendak tahu khasiatnya!.


BUAH MANGGIS....HITAM KULITNYA...
ISINYA MANIS...PUTIH WARNANYA...
AIR REBUSAN KULIT...BANYAK GUNANYA...
KHASIAT MANGGIS..DIMANA ILMUNYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Projek Kelompok Dusun Buah-buahan,
Kg Gelang Cincin, Segamat,
Johor, 
Malaysia.
(7 JamadilAkhir 1433H)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...