KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, April 11, 2012

KULTIVAR NENAS

KULTIVAR NENAS (Ananas cosmosus) yang ditanam di Malaysia terdiri daripa 3 kumpulan yang besar iaitu Jenis Nenas CAYENE, Nenas SPANISH  dan juga Nenas QUEEN. Keluasan penanaman nenas di negara kita terus naik daripada seluas 14,833 hektar (2005) kepada 15,311 (2007) , 15,792 hektar (2009) dan seluas 17,601 (2010) seperti dilaporkan dam Laporan Agromakanan MOA 2011.  Sebanyak 416,070 metrik tan nenas dihasilkan pada tahun 2010 yang bernilai RM 644.908 juta dengan purata pengeluaran nenas negara sekitar 25.1 metrik tan sehektar. Negeri Johor merupakan pengeluar utana nenas di Malaysia dengan kawasan seluas 9,830 hektar (57% dari keluasan di Malaysia) dan menghasilkan sebanyak 163,830 metrik tan pada tahun 2010. Industri nenas telah lama di usahakan di Johor terutama ditanam diatas tanah gambut untuk di kaleng (ditinkan) atau pun untuk jualan nenas segar. Selama 14 tahun bertugas di negeri Johor, saya rasa memang menjadi kelaziman untuk melaksanakan banyak projek penanaman nenas terutama pembukaan kawasan tanaman nenas baru seperti di Bt 14, Air Hitam, Muar dan banyak lokasi di Kluang, Batu Pahat dan Pontian. Artikel pagi ini sempena cuti hari Pertabalan Yang DiPertuan Agong saya menulis artikel mengenai Klutivar Nenas yang popular di Malaysia.


KUMPULAN CAYENE
Kultivar atau janis nenas kumpulan ini mempunyai saiz buah yang besar, mata buah yang rata, isinya berwarna kuning pucat dengan kandungan gula dan asid yang tinggi. Pemerhatian saya mendapati nenas jenis ini menunjukkan pertumbuhan tampang (vegetative growth) yang cepat dengan tepi daunnya halus dan berduri dibahagian hujong sahaja. Nenas jenis ini popular ditanam dibanyak lokasi seluruh dunia untuk dikalengkan  dan mempuyai bentuk buah yang tirus. Senang sahaja nak kenal nenas ini iaitu Nenas Sarawak dan Smooth Cayene daripada saiznya dan bentuknya.  Kelebihan jenis ini dikatakan rintang terhadap penyakit reput teras dan juga penyakit buah hantu.  Di kampong saya memang ada tanam nenas ini ditepi parit dan rasanya agak masam... maklumlah tidak pernah berbaja pun kerana amalkan konsep 3T (Tanam, Tinggal, Tuai sahaja).


Pokok Nenas Sarawak (macam mana pulak dapat nama 'Sarawak'...sedangkan yang banyak tanam di Johor...di Sarawak nenas ini saya dapati dipanggil sebagai nenas 'Paun'). Ketinggian pokok sekitar 120 cm dengan bilangan daun sekitar 60 -80 helai semas pokok tersebut berbunga. Apa yang saya lihat di belakang rumah dulu daunya berwarna hijau dengan pigmentasi merah ungu disepanjang bahagian tengah daun dan ianya berduri tajam dibahagian hujung. Kalau kena duri dia.....mak ooi, luka dan gatal. Nenas ini mempunyai buah paling besar dengan 2-4 kg sebiji bergantung kepada jenis tanah dan kesuburan pokok.  Buah nenas Sarawak berbentuk tirus dengan warna kulit hijau gelap. Maklumat dari ramai petani juga mengesahkan nenas ini kurang resposnsif terhadap hormon pil ANA untuk berbuah kerana jenis iani dipengaruhi suku dan fotokala untuk berbuah. Kajian saintis menunjukan jenis ini perlukan suhu 20 Celsiu dengan sinaran siang yang pendek yang tiada di Malaysia.  Jenis nenas ini sentiasa dalam keadaan tampang (Vegetative) sahaja di negara kita dan sukar untuk di aturkan penghasilan buah nenas Sarawak yang seragam dan komersil.  Sesekali dapat makan Nenas Sarawak yang cukup masak dan baru dipetik...wow memang manis dan masam, sampai orang jawa kata 'LIDAS'.


KUMPULAN SPANISH
Nenas Jenis Kumpulan Spanish adalah popular ditanam di Malaysia untuk tujuan pengeluaran bagi nenas Kaleng (untuk di tinkan). Antara yang memang semua tahu adalah jenis Masmerah dan Gandul. Kedua-dua jenis ini telah ditanam di Johor semenjak lama dimana pokok ini mempunyai 35 - 70 helai daun dengan ketinggian pokok 100 cm. Pemerhatian saya dapati daunnya mempunyai duri dibahagia hujong dan yang istimewa ialah kerana ia mempunyai banyak 'Tunas Slip' antara 2-12 tunas yang terbit pada pangkal buah.  Jambulnya (Crown) nenas ini juga besar dan kadang-kadang terjadi berbilang dan juga menjadi pipih bentuknya. Saiz buah jenis ini sederhana besar sekitar 1.3 kg sebiji yang berbentuk selinder, mata agak dalam dan warna buah hijau bertukar ke ungu gelap atau jingga kemerahan apabila masak.  Isinya berwarna kuning keemasan dan berserabut. Buah ini tahan lasak dan tidak mudah lebam walau pun pengendaliannya kasar. 


Buah kumpulan Spanish seperti Nenas Gandul mempunyai empulur yang kecil dengan garispusat sekitar 1.8 - 2.2 cm serta mengandungi kadar gula agak rendah (sekitar 10 -12 darjah Brix sahaja) dan kandungan Asid Sitrik sebanyak 0.3 -0.6% sahaja. Nenas jenis ini kurang diserang penyakit yang lazim menyerang tanaman nenas dan mudah bertindakbalas dengan Aruhan Pembungaan. Lazimnya pil ANA atau pun Etephon akan dibubuh pada pokok yang telah sedia untuk di galakan pembungaan ( Sekitar 8 bulan ). Pokok nenas ini boleh diprogramkan bila masa menanam dan bila masa untuk menuai dengan kiraan yang betul dan jadual penanaman yang boleh di programkan. 


KUMPULAN QUEEN
Kumpulan Nenas Queen merupakan antara yang paling popular ditanam di Malaysia. Siapa yang tidak pernah dengar Nenas Moris?.... Nenas jenis ini merupakan nenas yang luas ditanam untuk kegunaan segar dan di masak untuk dibuat paceri dan sebagainya. Nama lain dalam kumpulan ini seperti Nenas Tailung 2 di Taiwan dan Nenas Common Rough, Nenas Ripley Queen yang ditanam di Australia. Saya memang biasa sangat dengan nenas Moris dimana ianya manis (Gula antara 13-18 darjah brix) dan bentuk buahnya yang tirus. Nenas ini tidak sesuai untuk dikaleng kerana saiznya kecil dimana tekstur isinya rapuh dan warna kuning keemasan yang menarik bila cukup masak.  Pokoknya paling kecil dibanding dengan jenis lain dengan warna daun hijau kebiruan serta ungu dibahagian tengahnya dan mempunyai duri. Buah yang kecil berwarna hijau gelap dan tidak mempunyai slip tetapi mampu menghasilkan sulur (suckers) yang banyak. Kultivar ini mampu menghasilkan buah 1 bulan lebih awal daripada kumpulan Cayene dan Spanish.


Nenas Moris (Nama asal saya fikir 'Mauritius' agaknya) merupakan nenas yang ditanam untuk makan segar dengan jangkamasa menuai singkat sekitar 9-10 bulan sahaja. Nenas jenis ini sangat responsif atau bertindakbalas dengan baik terhadap pengaruhan pembungaan menggunakan pil ANA atau bahan hormon yang lain. Penanaman lazim menggunakan bahan tanaman daripada sulur batang yang banyak diperolehi selepas menuai buah dan mencantas daunnya. Daripada beberapa lawatan kekebun petani, didapati ada beberapa spesis atau varian nenas jenis ini seperti Nenas Moris Sungai Balang (Di Muar lah tu - istimewa kerana ianyanya paling manis sekitar 16 - 18 Darjah Brix), Nenas Moris Slipping (Jenis ini pelik sikit kerana ada slip) dan juga Nenas Moris Besar (Buahnya besar sekitar 1.5 - 1.8 kg sebiji). Memang dibelakang rumah ada beberapa pokok nenas moris dibawah pokok getah dan pokok kelapa sawit. Walau pun ianya tumbuh dibawah naungan tetapi ada juga buahnya kalau rajun tengok, tetapi buahnya agak masam sedikit. 
Diharap entry kali ini memberikan pengetahuan berguna daripada saya untuk anda. Sekilas kata-kata.... 


KUMPULAN NENAS...3 KULTIVAR SEMUANYA....
NENAS CAYENE....MEMANG BESAR SAIZNYA...
NENAS GANDUL...DITINKAN CARA GUNANYA....
NENAS MORIS ..SIAPA TIDAK KENAL DENGANNYA....


Related Articles:
1. Nenas (Klik disini)
2. Nenas MD2 (Klik disini)
3. Benih Tanaman Nenas (Klik disini)
4. Nenas Moris Kedah (Klik disini)
5. Nenas Organik (Klik disini)
6. Nenas Pada Sarawak (Klik disini)
7. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)


By,
M Anem
Gersik, Muar,
Johor, Malaysia.
(18 JamadilAwal 1433H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...