KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, April 7, 2012

RAMBUTAN DELI BALING (R193)

RAMBUTAN DELI BALING merupakan satu varieti rambutan (Nephelliun lappaceum) yang diyorkan untuk ditanam kerana mempunyai ciri-ciri yang komersial. Rambutan Deli Baling mempunyai Nombor Daftar R193 yang dimana ianya didaftarkan oleh Encik Ayob bin Abdul Rahman dari Baling , Kedah pada 10 Oktober 1991 kepada Jabatan Pertanian. Sehingga kini terdapat sebanyak 62 klon rambutan yang telah didaftarkan dimana hanya sekitar 4 klon sahaja yang ditanam secara meluas iaitu Varieti Deli Baling (R193), Varieti Anak Sekolah (R191), Varieti Deli Cheng (R170) dan juga Varieti Mas Gading Muar (R156).  Keseluruhan tanaman rambutan di Malaysia pada tahun 2011 seluas 26,946 hektar dengan anggaran pengeluaran hasil sebanyak 86,085 metrik tan bernilai sekitar RM 78 juta. Kawasan utama penanaman rambutan adalah di Negeri Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Artikel tengahari ini saya menulis ciri-ciri untuk mengenali salah satu varieti popular rambutan iaitu Rambutan Deli Baling (R193) bagi rujukkan pembaca semua. Maklumat ini disesuaikan dengan sumber rujukkan daripada Jabatan Pertanian dan pengalaman penulis sendiri dalam bidang pertanian selama 30 tahun.


Buah Rambutan Deli Baling mempunyai kulit yang berwarna merah (kod warna R45A) dengan bentuknya yang Ovat (ovate).  Secara mata kasar agak sukar hendak kenal buah rambutan varieti ini dengan varieti-varieti lain yang mempunyai warna dan bentuk yang hampir serupa. Panjang buah adalah sederhana iaitu 4.68 cm dan lebarnya juga sederhana (3.8 cm). Dari segi perbandingan saintifik antara panjang buah dengan lebar buah adalah 1.23:1.  Jika dilihat foto diatas kita akan dapat lihat tebal kulit buah rambutan Deli Baling adalah dikira Sederhana. Saiz bulu rambutan ini sederhana iaitu tidak terlalu panjang atau tidak terlalu pendek dibandingkan dengan varieti lain.  Warna pangkal bulunya juga Merah (kod warna R46A) dan hujungnya agak kehijauan dengan tekstur bulu yang sederhana lembut.  Lapisan isi pulpanya adalah berwarna Krim dengan ketebalannya juga sederhana.


Isi buah rambutan Deli Baling adalah berwarna Krim yang pejal dan mempunyai ketebalan sederhana (Lihat foto dikiri).  Permukaan luar isi sederhana licin dan merupakan sejenis varieti rambutan yang SANGAT MANIS dengan bacaan kemanisan sebanyak 24 % (Brix meter). Kajian juga mendapati kandungan asid adalah sangat rendah dan buah varieti ini juga kurang berair. Paling istimewa tentang buahnya adalah kerana ia sejenis buah rambutan yang LEKANG atau di kampong saya dipanggil sebagai Buah LONGKAH. Apabila dimakan isinya mudah terpisah daripada bijinya. Kadar kelekatan testa pada biji buah adalah pada tahap 'sederhana melekat'. Saya dulu memang suka makan rambutan jenis ini tetapi sekarang dah kurang kerana susah nak dapat yang free lagi.


Biji buah rambutan varieti anak sekolah ini adalah sebiji setiap buah yang berada dibahagian tengah buah. Jarang-jarang dijumpai buah rambutan Deli Baling tanpa biji (seedless fruit). Dari foto sebelah kita lihat yang bentuk bijinya adalah 'Obovate' iaitu bujur lonjong yang bersaiz sederhana sekitar 2 cm panjang dan 1 cm lebar. Bijinya berwarna coklat krim dengan lapisan testa yang agaj sederhana keras dan mudah untuk disemai bagi dijadikan anak benih. Belum ada kegunaan lain biji rambutan ini selain daripada untuk dijadikan benih untuk pokok penanti tetapi apabila tumbuh sendiri ditanah ia akan jadi pokok varieti Deli Baling agaknya. Mungkin satu hari nanti akan ada usahawan yang pungut biji rambutan bagi diproses jadi snek makanan ringan yang sedap dan berkualiti. 


Seperti rambutan lain varieti ini berbunga awal iaitu sekitar bulan Mac-Julai (musim utama) dan kadang-kadang pada Julai-November (luar musim). Bunga rambutan ini jenis Hermaprodit dimana ada bunga jantan dan betina pada satu jambak. Pendebungaan dibantu oleh agen-agen seperti semut, lebah, kerengga dan kelulut semasa musim bunga secara semulajadi. Varieti ini mempunyai tempoh masa matang dari berbunga hingga buah masak sekitar 110-120 hari.  Pemerhatian saya di Johor dan Kedah mendapati tanaman ini disyorkan untuk ditanam dengan jarak 9 meter x 9 meter untuk memberikan kepadatan tanaman sebanyak 142 pokok sehektar (bentuk tiga segi) atau sebanyak 123 pokok sehektar (Bentuk empatsegi sama). 


Kupu2 dewasa pengorek buah
Antara masaalah tanaman rambutan Deli Baling adalah serangan oleh Penyakit  Cerana Batang (Penyebab Dolabra nepheliaceae) yang membentuk keruping pada kulit batang dan boelh dikawal dengan racun berasaskan kuprum seperti Alliete. Serangan Kulapok Hitam (Meleila nelhelii) juga berlaku yang disebabkan oleh koya dan boleh dikawal dengan racun yang mengandungi sulfur. Varieti Deli Baling juga boleh diserang Kulapok Berdebu disebabkan oleh Kulat Oidium nephelii yang juga boleh dikawal dengan racun berasaskan sulfur. Serangga yang menyerang rambutan adalah Ulat Pengorek Buah (Conopomorpha cramevella) yang masuk kedalam isi buah dan merosakan kualitinya (Lihat kupu-kupu dewasa pengorek buah).  Anggaran hasil sekitar 3.2 hingga 3.5 metrik tan sehektar bergantung kepada umur pokok dan cara pengurusan. Walau pun ada usaha untuk mengekspot rambutan Deli Baling ke luar negara, banyak usaha perlu dilakukan untuk menjadikan tanaman ini berdayamaju untuk pasaran domestik.


DELI BALING .....RAMBUTAN DISYORKAN....
DAERAH BALING...ASAL DIDAFTARKAN....
BUAHNYA MANIS...KETIKA DIMAKAN...
RAMAI TAK TAHU...RAMAI IDAMKAN.....


Related articles:
1. Rambutan (Klik disini)
2. Klon Rambutan di Malaysia (Klik disini)
3. Cashflow Rambutan (Klik disini)
4. Rambutan Gading Muar (Klik disini)


By,
M Anem
Pct 11, Putrajaya,
Malaysia.
(20 JamadilAwal 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...