KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, April 23, 2012

TELUR PINDANG

TELUR PINDANG adalah telur ayam yang direbus bersama-sama dengan pelbagai jenis ramuan termasuk beberapa jenis herba untuk mendapatkan kulit telur berwarna coklat kehitaman yang enak dan pada saya sangat lazat. Telur Pindang ini popular dikalangan orang Johor dan merupakan identiti untuk makanan tradisional bagi Negeri Johor (tempat tumpah tanah airku). Saya memang sangat kenal dengan Telur Pindang ini semenjak kecil lagi kerana memang telah ada pengalaman dan menjadi kebiasaan memakan dan memasak telur pindang. Orang dulu-dulu mungkin menggunakan kaedah ini untuk tujuan penyimpanan telur yang telah direbus dengan ramuan yang baik selepas diberikan kepada tetamu dalam jemputan kenduri majlis perkahwinan, majlis cukur jambul (Pu'putan), Majlis Kenduri Berkhatan atau Majlis-majlis lain dikampong. Artikel subuh Isnin ini saya menulis mengenai Teknologi Penyediaan Telur Pindang dan khasiatnya berdasarkan pengalaman saya dikampong dan pembacaan beberapa buah artikel rakan-rakan lain.


Penyediaan Telur Pindang memerlukan ilmu teknikal yang mudah tetapi kritikal untuk diketahui bagi menghasilkan telur pindang yang berkualiti, cantik, tahan lama, sedap dan tidak banyak yang pecah.  Langkah pertama dalam teknologi penyediaan telur pindang ini adalah memilih telur ayam dari gred AA atau A (Gred Sederhana Besar) agar tetamu yang menerima telur nanti akan berpuashati. Telur ayam gred C (Kecil) kurang disyorkan kerana nanti tetamu akan kata 'Lokek betul tuan rumah ini' walau pun ia sebenarnya lebih mudah diuruskan. Telur ayam perlu dibasuh bersih dari segala kekotoran seperti najis, tanah dan kekotoran lain dan lap dengan kain bersih.  Pastikan tiada telur tembelang didalam kumpulan telur untuk di masak sebagai telur pindang !


Sediakan ramuan asas untuk memasak telur pindang daripada bahan-bahan yang boleh didapati dikawasan keliling rumah atau membelinya daripada kedai yang ada menjual bahan ramuan tersebut. Sebaiknya secara tradisional telur pindang dimasak menggunakan periok yang besar yang boleh memuatkan banyak telur dan dimasak diatas kayu api selama 2-3 hari. Pada masa kini kita telah duduk dibandar dikawasan perumahan atau dalam rumah terpaksa masak telur pindang dengan menggunakan gas tetapi kurang eknomik kalau hendak masak selama 2-3 hari. Berapa banyak gas nak digunakan. Maka telur pindang yang dimasak dengan dapur gas bukan tradisional lagi dan boleh kita panggil sebagai 'Telur Pindang Express' sahaja.  Susun telur yang telah dibasuh tadi kedalam periok dilapik dengan menggunakan daun-daun herba / daun sesuai dibahagian bawah selapis demi selapis sehingga penuh diatas periuk dalam banyak lapisan.  Lapisan ini penting untuk pastikan telur tidak akan pecah akibat direbus terlalu lama dan daun-daun bertindak sebagai alas atau pelapis ketika air panas mendidih.


Bahan-bahan untuk membuat ramuan memasak telur pindang banyak daripada pelbagai jenis daun dan ramuan lain (Lihat foto) . Apa yang diamalkan secara tradisinya oleh orang Johor akan masukan ramuan seperti Garam, Kicap, Jintan Putih, Jintan Manis, Ketumbar, Asam jawa dan berbagai jenis bahan lain. Bahan tersebut adalah Kulit Bawang Merah, Kulit Bawang Putih, Serai, Daun Serai Wangi, Daun dan isi Lengkuas, Daun Pandan, Daun Senduduk, Daun Salam, Daun Kunyit, Daun Mengkudu, Daun Kunyit, Daun Jambu Batu dan sebagainya. Bahan-bahan tersebut sama ada di kisar, di potong dan dibasuh dengan bersih akan dimasukkan berlapis-lapis diantara lapisan telur ayam.


Api masak dengan kayu api perlu dikawal dengan baik agar tidak terlalu kuat yang akan menyebabkan telur ayam akan retak atau pecah. Kayu api sentiasa di atur agak tidak akan padam atau terlalu marak selama 3 hari. Pastikan sentiasa melihat paras air dalam periok dan tambah air apabila didapati parasnya turun daripada paras permukaan telur ayam. Kelewatan mengisi air kedalam periok akan menyebabkan banyak telur retak dan pecah. Sebaiknya air panas digunakan untuk menambah air yang kurang. Pengalaman saya mendapati jika air sangat kurang dan dicurah terus air sejuk keatas permukaan telur juga akan menyebabkan telur retak atau pecah. Proses memasak telur pindang memang perlu kesabaran dan kemahiran. Kualiti telur pindang yang baik dihasilkan apabila kita melihat kurang telur yang pecah, kulit telur pindang mempunyai warna coklat gelap yang seragam dan rasa serta baunya harum herba kuat.


Telur pindang yang direbus selama 2-3 hari ini akan diangkat keluar dari dalam periok secara berhati-hati agar tidak jatuh dan pecah kedalam bekas. Telur ini akan disejukkan dan ditoskan airnya sehingga benar-benar kering. Bagi tujuan majlis perkahwinan, telur pindang akan di balut dengan kain kasa dan lidi bagi dicucukkan diatas pohor bunga telur. Kepandaian dan kreativiti membungkus telur pindang untuk pohor ini akan menentukan kualiti telur pindang yang di sediakan. Telur pindang ini lazimnya akan diberikan kepada tetamu selepas majlis berinai pengantin dijalankan satu biji seorang. Bagi tetamu lain yang hadir jemputan akan diberikan satu atau dua biji telur pindang yang dimasukan didalam bekas kertas, seramik, bakul kecil dan sebagainya. Pengamatan saya mendapati telur pindang ini tahan disimpan sehingga 10 - 14 hari dan lebih lama lagi jika disimpan dalam peti sejuk. Telur pindang dimakan begitu sahaja kerana rasanya yang sedap dan enak.


TELUR PINDANG.... CANTIK WARNANYA....
ISINYA COKLAT..BEGITU JUGA TENGAHNYA ...
DALAM MAJLIS KAHWIN...JADI HADIAHNYA...
RASANYA ENAK..DARI JOHOR ASALNYA....


By,
M Anem
Bilik Zamrud, PLPP Air Hitam, 
Kluang, Johor, 
Malaysia
(30 Jamadilawal 1433H)    

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...