KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, April 16, 2012

KHASIAT JAMBU BOL

JAMBU BOL (Syngium malaccense L) merupakan sejenis buah tropika yang jarang-jarang kita jumpa dari keluarga Myrtaceae. Pokok jambu bol kebanyakannya ditanam sebagai tanaman keliling rumah dan saya belum terima laporan dinegara kita kebun tanaman jambu bol secara monokrop komersil. Jambu Bol tidak ada maklumat keluasan penanaman yang ada di negara kita kerana boleh dianggap sebagai buah nadir atau buah yang tidak popular. Kalau teringin makan buah jambu bol pun sukar untuk mendapatkan dimana kita boleh mendapatkannya. Daripada rujukan, saya dapati tidak ada klon atau varieti yang didaftarkan kepada Jabatan Pertanian dan boleh dikatakan varieti yang ada cuma Varieti Jambu Bol Tempatan sahaja. Pengeluaran jambu bol adalah bermusim dan harga jualan (jika ada) tidak menentu tetapi saya ada jumpa di pasar Gersik dijual pada harga RM 4.00 satu kilogram.  Artikel pagi Ahad ini saya berkongsi maklumat mengenai khasiat tumbuhan jambu Bol untuk tatapan anda berdasarkan bacaan dari buku karangan C.H. Ooi yang saya beli dari kedai buku bulan lepas dan pengalaman sendiri penulis dalam bidang pertanian selama 30 tahun.


Pokoknya mempunyai batang tegak yang ketinggiannya antara 5-20 meter dengan ukuran batang 20-45 cm garispusat. Daunya ringkas dengan susunan bertentangan yang agak besar panjangnya 15-38 cm dan lebarnya 7-20 cm serta kadang2 ada bintil atau bonjolan. Daun yang berwarna merah coklat ketika muda akan bertukar kepada hijau setelah matang. Bunga jambu bol agak unik dimana bunag akan dikeluarkan dalam jambak dengan jumlah sangat banyak daripada dahan dan batang tidak berdaun.  Bunganya banyak stamen berwarna merah berukuran garispusat 5-7 cm dan apabila stamen gugur atas tanah serentak akan kelihatan merah diatas tanah.  


Buah jambu bol yang ada dikampong saya di Muar  Johor adalah jenis beri yang bujur berukuran sekitar 5-9 cm panjang dan 3-6 cm lebar. Buahnya kehijauan putih ketika muda akan bertukar merah tua, merah campur putih dengan isinya berwarna putih dan lembut serta 'spongy'. Rasanya manis masam ketika muda dan manis ketika cukup masak. Bijinya agak besar yang berbentuk bulat  terdapat ditengah-tengah buah berwarna coklat keputihan dan mudah tumbuh jika disemai.  Pokok yang ditanam dari biji berbunga dan berbuah selepas 5-7 tahun ditanam tetapi jika ditanam dari benih tampang berbuah selepas 3 tahun ditanam.


Kajian analisa makmal mendapati setiap 100 gram buah masak mengandungi 90 gram air, 3.9 gram karbohiderat, 0.3 gram protin, 1 gram serabut, 253 IU Vitamin A, sedikit Vitamin B dan sebanyak 0.1 mg vitamin C. Seluruh bahagian pokok mengandungi bahan Tanin yang signifikan.  Jambu Bol mengandungi vitamin A serta tanin yang bertindak mengecutkan tisu dan protin pada kulit dan lendir.  Buah jambu bol dimakan segar mentah atau di cecah dengan garam atu asam boi untuk menambahkan kelazatannya.  Ada yang buat rojak petis dan diproses jadi halwa, jem, jus atau jem buah jambu bol. Khasiat buah jambu bol yang direbus dan diminum airnya baik untuk rawatan demam panas.  Akar poko jambu bol yang dicampur dengan bahan lain dipupuk pada kulit untuk kulit yang gatal-gatal. Daun yang di hancurkan dan dijadikan bahan mandian baik untuk demam panas.  Air rebusan daun dan akar diminum mempu melawaskan buang air kecil.  Kalau suka ambil daun jambu bol dan keringkan, dihancurkan menjadi serbau dan baik untuk ditabur atau disapu pada lidah yang retak.  Kegunaan kulit jambu bol yang paling unik adalah dengan merebus kulitnya digunakan sebagai pencuci mulit bagi rawatan penyakit seriawan.


Begitulah khasiat tanaman jambu bol yang mungkin kita belum tahu sebelum ini. Apa yang pasti saya sering daun muda jambu bol yang berwarna merah lagi dan dijadikan ulan dimakan dengan sambal belacan dan nasi. Rasanya memang agal masam tetapi memang membuka seleraa macam juga daun muda pokok gajus. Kepada mereka yang telah ada pokok jambu bol boleh mula amalkan petua yang diberikan. Mereka yang hendak menanam pokok jambul bol boleh mendapatkan benih daripada nurseri berhampiran. 


KHASIAT JAMBU BOL....KENA TAHU....
BUAH MASAK...KENYANGKAN TENTU...
DIBAWAH POKOK...DIBAJA SELALU....
POKOK BERBUAH....KITA TERHARU....


By,
M Anem
Dewan Bandaraya DBKL,
Kuala Lumpur,
Malaysia.
(22 Jamadilawal 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...