Support My Blog

Wednesday, October 1, 2014

LONGAN - CARA ARUHAN

Pokok LONGAN (Dimocarpus longan) adalah sejenis buah daripada keluarga Sapindaceae iaitu sama dengan buah rambutan. Buah Longan yang masak adalah seperti 'Mata Naga' yang mempunyai isi manis dan rasa sedap. Negara China dan Thailand merupakan pengeluar utama buah longan didunia walau pun nilai ekspot longan Thailand mencecah jutaan ringgit setahun. Malaysia antara negara yang banyak mengimpot buah longan sama ada dalam bentuk buah segar atau pun buah longan kering. Penanaman longan di Thailand yang saya sempat buat tinjauan teknologi merupakan satu industri yang berkembang dan memang menghasilkan buah berkualiti untuk pasaran domestik dan ekspot. Pokok Longan boleh tumbuh tegak dengan kanopi daun yang merimbun dan boleh mencapai ketinggian antara 10-20m. Daun longan adalah jenis kompaun (compound leaf). Lai daunnya tersusun berpasangan secara berselang di antara 6-9 pasang dan berbentuk bujur. Bunga longan bersaiz kecil dan terdapat pada hujng pucuk. Jambak bunganya besar (3-50cm panjang), bercabang dan tiada daun. Terdapat 3 jenis bunga longan iaitu bunga jantan, bunga betina dan bunga hermafrodit. Hanya bunga hermafrodit yang akan menjadi buah. Dalam satu jambak boleh terdapat sehingga 80 biji buah yang berbentuk bulat dengan beratnya di antara 5-20g sebiji. Pada peringkat awal, warna buahnya kehijauan dan kulitnya agak kasar. Kulit buah longan akan bertukar menjadi agak licin dan berwarna perang bila telah matang. Kini terdapat 3 varieti longan yang telah dikomersilkan iaitu longan varieti Edaw, Chompoo dan Biew Khiew. Rakyat Malaysia yang mana ramai meminati buah longan sama ada longan segar, longan dalam tin atau longan kering merupakan negara pengimport tegar bahan ini terutama dari Thailand dan China.  Artikel malam ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi aruhan pokok longan untuk menghasilkan bunga dan seterusnya berbuah.


Varieti longan yang ada ditanam di Malaysia terdiri daripada varieti Edaw, Chompoo dan Biew Khiew dimana jenis ini adalah kultivar yang memerlukan suhu yang rendah dan kering selama lebih kurang 2 bulan untuk berbunga. Beberapa kawasan di bahagian Utara Semenanjung Malaysia dan Utara Borneo mungkin sesuai ditanam dengan pokok longan kerana mempunyai cuaca panas dan kemarau yang agak lama untuk membolehkan ia mengaruhkan pembungaan. Bagaimana pun pada keadaan biasa, tanaman longan yang ditanam di Malaysia tidak berbunga. Namun begitu menurut penelitian penulis blog, longan Edaw didapati boleh berbunga apabila dibuat aruhan dengan menggunakan rawatan kalium klorat. Teknik membuat aruhan terhadap pokok longan dimana aruhan boleh dilakukan dengan cara dua kaedah iaitu secara siraman dan taburan. Kaedah yang Pertama iaitu Kaedah Siraman dimana sebelum membuat rawatan, pastikan keseluruhan daun telah matang dan tiada pucuk baru. Kemudian larutkan kalium klorat dalam air dengan kadar 8 gm/m persegi (keluasan kanopi pokok). Seterusnya bersihkan kawasan kanopi, kemudian larutan tersebut dicurahkan ke atas tanah di bawah kanopi di sekeliling pokok. Kadar kalium klorat yang diperlukan untuk mengaruh pembungaan dan jumlah air yang diperlukan untuk melarutkan kalium klorat mengikut kadar keluasan kanopi adalah seperti jadual berikut :



Teknik kedua adalah dengan Kaedah Taburan dimana sebelum rawatan, pastikan keseluruhan daun telah matang dan tiada pucuk baru. Timbang kalium klorat dengan kadar 8 gm/m persegi (keluasan kanopi pokok).  Peringkat yang seterusnya adalah membersihkan kawasan kanopi pokok dari rumpai dan kemudian tabur kalium klorat ke atas tanah di bawah kanopi di sekeliling pokok. Antara perkara-perkara penting yang perlu dilakukan sebelum membuat aruhan adalah seperti melihat bahawa daun longan telah menjadi matang (hijau tua) keseluruhannya dan kawasan bawah kanopi pokok perlu dibersihkan dari rumpai. Sebaiknya kira purata jejari pokok dalam kaki (kolum 1). Timbang kalium klorat mengikut kadar yang diberikan seperti jadual 1 (kolum 4). Sediakan air bersih mengikut jadual 1(kolum 5) dan larutkan kalium klorat ke dalam air dan kacau dengan kayu sehingga larut kesemuanya. Curahkan larutan kalium klorat itu merata tempat di bawah kanopi pokok. Keputusan akan dapat dilihat antara 2-5 minggu. Penentuan masa aruhan ini dibuat kerana terdapat hujan yang mencukupi bagi pengeluaran putik dan pembentukan buah. Suhu sebelah malam yang sejuk adalah baik untuk pembentukan buah. Semuga tulisan ini memberikan info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini yang berminat menanam pokok longan. Wasallam!!!..
KALIUM KLORAT....UNTUK ARUHAN...
POKOK LONGAN...SESUAI GUNAKAN...
PERLU DIBANCUH....TEKNIK CAMPURAN...
DISIRAM DIPOKOK...MENGIKUT ATURAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Longan,
Pekan Gerisek, Ledang,
Muar, Johor,
Malaysia.
(19 Zulkaedah 1435)
Kemaskini pada 21 Jun 2017

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...