Support My Blog

Thursday, October 30, 2014

KELAPA VS SAWIT

KELAPA VERSUS SAWIT?. Apakah isu yang menarik mengenai kedua-dua tanaman kategori tanaman industri tersebut pada masa kini?. Penulis membuat beberapa analisis mengenai kedua-dua jenis tanaman daripada keliarga Palmae (sekarang Arecaceae) yang menjadi tonggak kepada ekonomi penting dalam KDNK pertanian negara. Keluasan tanaman kelapa sawit (Elaies guineensis) di Malaysia sekitar 3.9 juta hektar yang mana ia diusahakan sebahagian oleh sektor perladangan dan sebahagian lagi oleh sektor pekebun kecil. Industri kelapa sawit teah pun menghasilkan jutaan ringgit setahun daripada pelbagai produk daripada minyak mentah sehingga produk akhir bernilai tinggi. Tanaman Kelapa (Cocos nucifera) dengan jumlah kelluasan sekitar 96,600 hektar merupakan tanaman pelbagai guna (Tree of Life) yang ditanam kebanyakannya oleh pekebun kecil. Rekod Jabatan Pertanian menunjukkan hanya 2 estet yang masih menanam kelapa walau pun mereka mula menggantikan tanaman tersebut secara berperingkat pada pertengahan tahun 2000.  Pada tahun 1980'an semasa saya habis belajar di universiti dulu terdapat sekitar 220,000 hektar tanaman kelapa di Malaysia dan ia telah menurun hampir 50% pada masa artikel ini ditulis. Ramai pekebun kecil dan estet telah menukar tanaman mereka kepada kelapa sawit. Ini disebabkan tanaman kelapa sawit didapati memberikan pulangan tinggi, pengurusan yang lebih mudah dan paling penting adalah jaminan belian yang pasti ada. Ini kerana belum terdengar kes kelapa sawit tidak ada pembeli walau pun harganya rendah. Kes ini amat berbeza dengan buah kelapa yang menghadapi masaalah pasaran kerana jika bekalan berlebihan, maka kelapa biji tua ini akan dibiarkan dibawah pokok sehingga tumbuh menjadi pokok baru. Artikel petang cuti Deepavali 2014 ini saya dapat kesempatan untuk menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai isu tanaman kelapa sawit versus tanaman kelapa sekadar untuk renungan dan rujukkan anda.


Harga komoditi kelapa sawit sentiasa turun naik mengikut harga pasaran dunia dan pada tahun 2014 dimana semasa artikel ini ditulis harga tandan sawit pada RM350 satu tan (1,000 kg). Harga ini dikatakan sebagai harga yang menjunam rendah daripada harga sebelum ini yang mencecah hampir RM800 satu tan (Harga tinggi). Harga tandan buah sawit kini telah jatuh menjunam diperingkat lebih rendah sebelum ini. Hari ini harga kelapa sawit semasa jatuh pada harga RM350 se-tan (1,000kg) berbanding dua bulan lepas yang mencecah RM600 se-tan. Apa sudah jadi?. Perkara ini diluahkan sendiri oleh pekebun-pekebun kecil kelapa sawit persendirian yang terkesan dengan penurunan harga buah sawit secara drastik begini. Akibatnya ramailah pekebun terpaksa menanggung perit jerih mengait buah sawit yang telah masak untuk dijual walaupun harga tidak setimpal dengan kepayahan mereka. Maklumat daripada beberapa pekebun kecil yang ditemubual disekitar Muar, Banting dan Kuala Selangor dan Perak mendapati jika pokok dengan hasilnya yang sederhana rendah, mereka beberapa bulan lepas hanya mendapat sebanyak purata RM150.00 seekar sebulan (0.4 hektar). Menurut seorang petani di Kg Gersik, Ledang iaitu Encik Tan Ah Guan daripada 5 ekar kebun sawit yang berumur 9 tahun beliau cuma mendapat sebanyak RM780.00 seekar sahaja. Ini menunjukkan pendapatan yang rendah berbanding dengan beberapa tahun dahulu sebanyak lebih dari RM3,000 sebulan. Isu harga rendah ini juga berlaku pada hasil getah yang mana ia pada tahap terendah dalam beberapa tahun.


Bagi tanaman kelapa, petani yang telah menanam kelapa varieti Matag kini boleh tersenyum lebar. Ini disebabkan hasil tuaian kelapa ini untuk bulan April sehingga Oktober dikatakan amat baik dimana ada banyak biji kelapa yang dikait. Menurut seorang pemborong kelapa yang terbesar di Sabak Bernam, Selangor Encik Tan Tai Ching yang penulis temuduga, harga biji kelapa tua tempatan dibeli dengan kadar RM1.40 bagi gred A dan RM0.90 bagi gred B. Lain-lain gred dibeli dengan harga dibawah RM0.80 sebiji. En Tan menyatakan pada kiraannya, seorang petani yang menanam satu ekar pokok kelapa Matag mampu mendapat pendapatan sebanyak hampir RM1,000 sebulan. Perkara ini telah disahkan oleh En Tham Weng Seong pemilik Syarikat Higghland Dessication Coconut Sdn Bhd di Bagan Datoh, Perak. Beliau yang mempunyai kontrak dengan United Plantation Estates menyatakan apa yang didakwa oleh rakannya adalah betul. Beliau juga menyatakan dengan penjagaan yang betul, pokok kelapa matag boleh menghasilkan antara 15,000 - 16,500 biji sehektar untuk pokok yang matang. Ini bermakna penghasilan untuk seekar adalah purata 6,275 biji (purata 522 biji seekar sebulan). Jika harga purata sebiji RM 1.00 sebiji maka purata pendapatan bulanan dari kelapa Matag adalah RM 522 sebulan. Ini bermakna pendapatan daripada kelapa Matag adalah lebih menguntungkan daripada kelapa sawit semasa artikel ini ditulis. Jika harga kelapa sawit berada pada paras normal pun didapati tanaman kelapa Matag masih menguntungkan atau setanding.


Beberapa isu mengenai penanaman kelapa Matag adalah kekangan kekurangan benih hibrid kelapa Matag. Pengeluaran untuk anakbenih kelapa Matag dalam negara sekitar 100,000 biji setahun dihasilkan oleh Jabatan Pertanian (60,000 biji) dan pihak swasta (40,000 biji). Proses penghasilan anak benih kelapa  Matag adalah rumit dan perlu mengambil masa selama 2 tahun untuk menghasilan sebiji anak benih. Proses pendebungaan antara pokok induk Kelapa Renek Malaysia atau Dwarf (MDY/ MDR) dengan pokok Induk Kelapa Tagnanan memerlukan tahap kepakaran tinggi. Setelah satu tahun dan buah kelapa masak ia akan dikutip dan dibuat pemilihan. Biji kelapa tersebut kemudian akan disemai dalam petak semaian khas dan dibuat 'pemilihan' atau culling untuk mendapatkan Benih Kelapa Matag F1 yang betul. Lazimnya peratus yang manjadi kelapa Matag F1 sekitar 40% sahaja bergantung kepada kepakaran pekerja. Kini sebiji benih kelapa Matag F1 Tulin dijual dengan harga RM30.00 satu. Itu pun memang penulis dapati amat sukar untuk mendapatkan anakbenih tersebut. Hanya Jabatan Pertanian sahaja yang ada kepakaran untuk mengeluarkan dan mengesahkan ketulinan anakbenih kelapa Matag. Jumlah anak benih yang tidak mencukupi masa ini dijangka akan bertambah dalam 2-3 tahun mendatang apabila dua pusat pengeluaran benih kelapa Matang mula berfungsi.
Semuga artikel ini membuka mata dan minda anda semua. Wasallam!.

TANAM SAWIT... SANGAT POPULAR...
TANAM KELAPA... BENIHNYA SUKAR...
RM 150 DARI SAWIT... SATU EKAR...
KELAPA MATAG... RM500 TAK SUKAR...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Kelapa,
Kg Sg Nobong,
Batu Pahat, Johor,
Malaysia.
(1 Muharam 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...