Support My Blog

Thursday, October 9, 2014

KELAPA PANDAN - CERITA CHYE

KELAPA PANDAN (Cocos nucifera) merupakan sejenis kelapa khusus untuk diminum airnya yang berbau pandan. Penulis hari ini berpeluang melawat satu projek tanaman kelapa pandan seluas 25 ekar (10 hektar) di Kampong Selabat, Muara Tebas, Kuching, Sarawak bersama pegawai Jabatan Pertanian Negeri Sarawak. Pemilik kebun kelapa yang menjadi usahawan berjaya ini adalah Encik Chye Kian Cheng yang telah mengusahakan tanaman kelapa pandan semenjak 5 tahun dahulu. Menurut pegawai pertanian Daerah Kuching yang memberi taklimat iaitu Encik Nafi, petani tersebut bercadang menjual tanah tersebut kerana tanahnya sering dinaiki air akibat air laut pasang dahulu dimana semua jenis tanaman buah-buahan dan usaha lain gagal. . Setelah berbincang dengan pakar-pakar pertanian, En Chye membuat pinjaman untuk membuat ban tanah setinggi 5 - 6 kaki disekeliling kebunnya untuk mengelakkan banjir air laut ketika musim hujan dan air laut pasang. Pembinaan struktur 'Ring Ban' ini menggunakan jengkaut mini yang dibeli oleh petani tersebut dan menggalinya sendiri dalam masa beberapa bulan. Katanya kalau kerja tersebut dibuat oleh kontrektor harganya berlipat kali ganda. Kini pokok kelapa pandan yang benihnya di bekalkan oleh Jabatan Pertanian Sarawak telah berhasil dengan baik dan berjaya menampung pendapatan keluarga Encik Chye dengan amat baik sekali. Pada mulanya petani tersebut hanya menanam 2 hektar dahulu sebagai percubaan dan kini kesemua 25 ekar kaeasan telah penoh dengan pokok kelapa.  Walau pun kini kekangan yang dihadapi adalah mengenai kesukaran untuk mendapatkan pekerja ladang, keluarga En Chye tetap meneruskan usahanya. Kawasan ini merupakan kawasan yang sangat hampir dengan kilang perindustrian dimana orang muda lebih suka untuk bekerja dikilang. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kisah seorang penanam kelapa pandan hasil tinjauan dan lawatan penulis diprojek ini. 


Pada saya asas kejayaan projek kelapa pandan ini adalah kejayaan En Chye membina 'ring ban' disekeliling kebunnya. Semasa melihat bagaimana pintu kawalan air, En Chye menerangkan fungsi ban yang dibina oleh beliau ini boleh dicontohi oleh petani lain. Beberapa pintu kawalan air dibina untuk menghalang air daripada ia memasukki kawasan kebun dengan sistem empangan semi automatik. Empangan ini akan menghalang air luar masuk kedalam kebun semasa air laut pasang dan sebaliknya air dalam kebun akan mengalir keluar semula semasa air laut surut (Sila lihat foto disebelah). Tinjauan penulis mendapati air pada luar kebun sekitar 3 - 5 kaki lebih tinggi daripada paras air dalam kebun. Ini macam kes pembinaan 'dike' yang penulis lawat di Amsterdam, Netherland pada bulan Mei 2014 kira-kira tiga bulan lepas. Dilihat kepada kesuburan pokok kelapa yang ditanam amat baik sekali dan subur. Air masin yang ada juga menyebabkan kualiti air kelapa pandan lebih kuat aromanya. Kawasan ini dahulu dipenohi dengan pokok buah-buahan seperti Limau Manis, Mangga dan buah-buahan lain dan kesemuanya mati akibat banjir dan berlaku serangan penyakit CGD (Citrus Greening Disease) bagi Limau Manis. Pengamalan penulis yang bertugas di Sarawak dahulu mendapati petani ini seorang yang amat gigih dalam membangunkan sektor pertanian melalui tanaman kelapa pandan secara komersil. Beliau menguruskan hasil kelapa dengan bantuan pekerja upahan untuk aktiviti selenggara ladang sahaja dan yang lainnya dibuat ahli keluarganya.


Buah kelapa pandan dari kebunnya akan dipetik sepokok satu bulan sekali. Ditanya bagaimana En Chye dapat mempastikan kualiti kelapa pandan yang dipetik "TEPAT" kematangannya untuk dijadikan air kelapa dengan isinya yang 'ideal', dia nyatakan amalan menuai ikut jadual bulanan adalah paling tepat. Dakwanya satu pokok kelapa pandan akan dituai satu bulan sekali secara bergilir-gilir untuk keseluruhan kebun. Tandan paling bawah lazimnya akan memberikan hasil ideal melalui pengalaman selama lebih 5 tahun. Buah yang dipetik akan digredkan mengikut kualiti dan lokasi pemasaran. Buah Gred A lazimnya iaitu buah bersaiz besar dengan kulit yang licin dan tidak cedera. Buah gred lain lazimnya kecil sedikit dengan kulit yang sedikit karat (tidak licin) atau ada sedikit kecacatan. Lazimnya buah gred A akan tahan selama 7 - 10 hari selepas selepas dipetik manakala sub-gred tahan kurang dari 7 hari. Harga jualan borong adalah RM2.00 - RM2.50 sebiji dimana En Chye hantar kepada restoren makanan laut di sekitar Muara Tebas, Pending dan Kuching. Lazimnya dia akan hantar terus kepada restoren tersebut dengan van (Sila lihat foto dibawah). Pemilik restoren akan jual kepada pelanggan antara RM3.50 - RM5.00 sebiji. Bagi gred kurang baik akan dijual kepada penjaja air tepi jalan, pasar malam atau peraih dengan harga RM1.50 sebiji ambil sendiri dikebun. 


Ditanya berapa jumlah biji kelapa yang dijual dalam sebulan, dia menjawab diantara 5,000 - 6,000 biji sebulan bergantung kepada cuaca, perayaan dan sebagainya. Anggran pengeluaran kasar sekitar 60,000 hingga 70,000 biji setahun. Anda kira sendiri berapa pendapatan kasar usahawan ini sebulan kalau . Bagaimana pun sebenarnya permintaan buah kelapa pandan ini amat unik. Katanya kalau musim hujan, buah kelapa pandan memang 'TIDAK LAKU' kerana pelanggan tidak keluar makan direstoren makanan laut. Kalau hujan malam hari selama satu minggu bermakna minggu tersebut memang tidak ada duit masuk kerana orang tidak akan minum air kelapa. Bagaimana pun pada musim cuti sekolah dan cuaca panas, permintaan kelapa pandan memang sungguh menakjubkan dan hebat permintaannya. Buah kelapa boleh keluar dengan kadar sama setiap bulan tetapi permintaan biji kelapa pandan amat tidak menentu. En Chye memang pakar memotong buah kelapa pandan yang dihidangkan kepada kami dengan teknik yang menunjukkan tahap kemahiran tinggi (Sila lihat foto dibawah). Teknik ini tidak boleh dibuat untuk jenis kelapa tinggi seperti Malayan Tall, Tagnanan dan sebagainya. Akhir kata penulis ingin menyatakan menanam kelapa pandan secara komeril mampu memberikan pendapatan baik kepada pengusaha tetapi ianya perlukan komitment dan kesungguhan petani sendiri. Sekian....


TANAM KELAPA... JENIS PANDAN...
UMUR 5 TAHYN...BANTUAN JABATAN,..
KELILING KEBUN...NAIK DIBUAT BAN...
PROJEK BERJAYA...ATASI CABARAN...

By,
M Anem,
Room 1412, Riverside Majestic Hotel,
Jalan Tunku Abdul Rahman,
Kuching, Sarawak,
Malaysia.
(14 Zulhijah 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...