Support My Blog

Friday, October 24, 2014

KELAPA - INFO ASAS

TANAMAN KELAPA (Cocos nucifera) digolongkan dalam keluarga Arecaceae (Dahulu keluarga Palmae). Tanaman kelapa ini dipercayai berasal dari kepulauan Pasifik dan tersebar luas hampir sebanyak 90 buah negara tropika. Jumlah keluasan kelapa didunia dianggarkan sebanyak 10.6 juta hektar dan sebanyak 93% terletak dikawasan Asia Pasifik termasuk negara kita Malaysia. Malaysia mempunyai seluas 210,000 hektar tanaman kelapa sekitar 1980'an tetapi kini hanya tinggal sekitar 90,000 hektar sahaja iaitu kadar pengurangan lebih daripada 50%. Kawasan kelapa telah ditukar dengan tanaman lain terutama kepada kelapa sawit dan juga tanaman makanan lain. Beberapa estet kelapa juga telah menukar komoditi kelapa kepada kelapa sawit, getah dan koko dalam 30 tahun proses ini berlaku. Penulis juga mendapati dari FAO Statistic menyatakan bahawa negara Filipina dan Indonesia merupakan negara pengeluar kelapa utama dunia. Keduanya mempunyai keluasan pokok kelapa sebanyak 3.2 juta dan 3.9 juta hektar diikuti oleh negara India. Jumlah pengeluaran kelapa dunia kini dianggarkan sebanyak 8.5 juta tan kopra, bersamaan 48.8 bilion biji kelapa. Semenjak empat hingga lima dekad yang lalu, teknologi pemprosesan kelapa telah berjaya menghasilkan tidak kurang daripada 360 produk makanan dan bukan makanan berasaskan kelapa. Artikel malam Jumaat ini saya terus menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai info berguna tanaman kelapa untuk rujukan anda.

Di Malaysia tanaman kelapa merupakan salah satu tanaman yang penting untuk ekonomi negara dimana sebahagian besar tanaman kelapa diusahakan secara tradisional oleh pekebun-pekebun kecil. Penanaman kelapa aktif dahulu dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian melalui Program Rancangan Penanaman Semula Kawasan Kelapa (RPSKK) dimana ia kemudian telah pun diberhentikan pertengahan 1980'an. Tanaman kelapa kini menduduki tempat yang keempat dari segi keluasan selepas kelapa sawit, getah dan padi. Penanaman kelapa dengan jenis Malayan Tall telah mendominasi pokok kelapa masa kini tetapi beberapa varieti seperti MAWA, Pandan, MARREN dan beberapa lagi pernah ditanam. Kini varieti kelapa Matag telah mula ditanam sejak 2005 oleh pekebun kecil bagi menggantikan varieti Kelapa Tinggi Malayan Tall dengan penghasilan yang jauh lebih timggi. Bagaimana pun isu kekurangan anakbenih kelapa Matang telah mengganggu kelancaran perlaksanaan dan penanaman pokok kelapa. Produk-produk asas kelapa adalah bahagian penting dalam makanan harian penduduk tempatan dan juga dalam industri pembuatan. Permintaan tempatan untuk produk-produk kelapa adalah dalam bentuk biji kelapa, minyak kelapa, kelapa salai (kopra), kelapa parut reesterified fat and oil dan banyak lagi.

Pokok kelapa mempunyai batang dan pusat pertumbuhan tunggal. Ketinggian pokok boleh mencapai 6-30 meter. Pada hujung batang terdapat daun-daun pinat yang besar atau batang pelepah pada pelbagai peringkat pertumbuhan. Di pucuk pokok terdapat tisu-tisu muda yang bakal membentuk menjadi daun, bunga atau buah. Sistem Akar bagi pokok kelapa mempunyai sistem akar serabut. Pokok kelapa tidak mempunyai akar rambut dan dalam keadaan tertentu, akar-akar utama boleh mengeluarkan akar sisi yang bercabang yang dipanggil akar penyerap. Di hujung akar penyerap ini terdapat jidal akar (root cap) yang boleh menembusi tanah. Bahagian lembut yang terdapat di belakang jidal akar berfungsi untuk menyerap nutrien tanah sejauh 5 cm. Di permukaan akar terdapat struktur tisu kecil yang tajam berwarna putih (pneumatophotes) yang berfungsi sebagai struktur pernafasan. Struktur ini akan membolehkan pokok kelapa menyesuaikan kehidupan di kawasan air bertakung. Pokok kelapa mengeluarkan 1,500 - 1,800 urat akar yang tumbuh mendatar sepanjang 5 hingga 25 meter di sekeliling pokok. Terdapat juga akar yang tumbuh menghala ke lapisan air bawah tanah dan boleh tumbuh sehingga 25 meter ke dalam tanah.

Bahagian Daun Kelapa adalah komponen yang penting bagi pokok kelapa. Pokok kelapa yang matang mempunyai 30 - 40 pelepah daun. Panjang pelepah boleh mencapai 5 meter dan ia mempunyai dua baris daun kecil (bipinate) berukuran 1 - 1.5 meter panjang. setiap pelepah dianggarkan sebanyak 200 helai daun kecil. Bagi poko yang subur, pelepah baru terbit setiap 3 - 4 minggu sekali. Jangka hayat dari mula terbit hingga senesen ialah antara dua setengah hingga tiga tahun. Bunga kelapa mempunyai jambak bunga atau mayang terbentuk di dalam seludang yang tebal, kukuh dan tajam. Mayang yang terbuka berukuran 1.0 hingga 1.2 meter panjang dan membentuk beberapa anak spika yang panjangnya 14 -16 cm. Bunga kelapa berjenis monoecious. Pada setiap mayang kelapa, terdapat antara 8,000 - 10.000 bunga jantan dan 10 - 50 bunga betina. Bunga jantan mengandungi enam helai perianth nipis berwarna kuning dan di dalamnya terdapat enam stamen. Di tengah- tengah bunga terdapat tiga kelenjar nektar yang berfungsi untuk menarik serangga pendebunga. Apabila bunga kembang, cepudebunga terbuka dan mengeluarkan debunga - debunga yang berwarna kuning. Debunga ini bolrh hidup selama 2 - 9 hari.  Bunga betina berbentuk globos, mengandungi enam perianth dan terdapat pistil berwarna putih. Bunga betina mulai kembang pada 18 -21 hari selepas seludang terbuka. Jangkamasa reseptifnya ialah 1- 3 hari.

Bunga dan Pendebungaan kelapa sering melibatkan agen pendebungaan . Angin dan serangga merupakan ejen untuk pendebungaan bunga kelapa. Lebah, lalat, kumbang dan tebuan adalah serangga pendebungaan kelapa yang paling penting. Jumlah bunga betina yang berjaya membentuk buah sehingga mencapai ke peringkat matang adalah sekitar 25 - 40%. Bagi kebanyakan jenis kelapa rendah, kaedah pendebungaan ialah secara autogamous (direct self-pollinating) atau pendebungaan sendiri. Bagi jenis kelapa tinggi, pendebungaan secara allogamous (cross-pollinating) atau pendebungaan silang. Bagi kelapa hibrid dan beberapa jenis kelapa rendah, kaedah pendebungaan ialah secara kedua-duanya sekali iaitu secara allogamous dan autogamous. sebagai contohnya, teknologi pendebungaan bagi Kelapa Rendah Kuning (Malayan Yellow Dwarf, MDY) dan Kelapa Rendah Merah (Malayan Red Dwarf, MRD) didapati secara autogamous. Pendebungaan jenis Kelapa Tinggi Malaya (Malayan Tall) ialah secara allogamous, manakala pendebungaan Kelapa Rendah Hijau (Malayan Green Dwarf, MGD) ialah secara autogamous dan allogamous. Oleh itu populasi Kelapa Rendah Malaya didapati seragam berbanding dengan populasi Kelapa Tinggi Malaya. Populasi Kelapa Rendah Malaya jenis kuning dan merah didapati lebih stabil dan seragam berbanding dengan jenis hijau. Faktor ini menyebabkan Kelapa Rendah Hijau tidak digunakan sebagai pokok induk ibu didalam pembiakan kelapa kacukkan atau hibrid.

Buah Kelapa merupakan buah yang akan dihasilkan selepas proses persenyawaan bunga akan menjadi buah dalam tempoh 12-14 bulan (Sila lihat foto disebelah). Pada umunya buah yang matang mengandungi 35 % sabut, 12 % tempurung, 28% isi dan 25 % air. Komposisi ini berbeza-beza mengikut kultivar . Saiz, warna dan bentuk buah kelapa juga berbeza-beza mengikut jenis kelapa. Kandungan Zat buah kelapa pelbagai seperti minyak kelapa mengandungi minyak tepu yang tinggi iaitu kira-kira 91%. Hampas kelapa kering merupakan produk sampingan dari pemprosessan minyak kelapa dan digunakan sebagai makanan ternakan. Kelapa parut ialah isi kelapa yang dipotong halus dan dikeringkan pada tahap kandungan kelembapan 2.5 %. Nilai permakanan kelapa parut kering adalah baik untuk dijadikan produk ekspot. Produk-produk berasaskan kelapa telah diusahakan oleh sekitar 15 - 20 buah kilang kelapa aktif yang kebanyakannya mengimpot kelapa biji tua kelapa daripada Indonesia. Ini kerana bekalan kelapa tempatan untuk diproses tidak mencukupi untuk kegunaan domestik. Begitulah info asas mengenai tanaman kelapa dan beberapa keistimewaan mengenai kelapa. Semuga ia memberi pengetahuan tambahan. Wasallam.!

POKOK KELAPA... APA DIA...
LUAS DITANAM...DIMALAYSIA...
POKOK TEGAK...BULAT BUAHNYA...
DIMINUM AIR...AMBIL SANTANNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Teluk Baru (Stesyen Kelapa),
Teluk Intan, Perak,
Malaysia.
(30 Zulhijjah 1435H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...