KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, September 30, 2014

KELULUT - TEKNOLOGI TERNAK (Part 2)

KELULUT atau Lebah Kelulut merupakan serangga kecil yang ujud didalam kawasan tumbuh-tumbuhan semulajadi di negara kita. Serangga ini dahulu hanya dibiarkan sahaja membuat sarang dicelah-celah batang kayu, di rumah kayu, dicelah-celah batu dan tidak dipandang sebagai satu sumber ekonomi. Kini telah ramai dikalangan usahawan kita yang mula berminat untuk menternak kelulut kerana potensi pendapatan yang boleh dijana adalah baik. Penulis blog ini mendapat kini terdapat lebih dari 35 spesis kelulut terdapat di Malaysia antaranya Trigona mellina, Trigona atripes, Trigona terminata, Trigona itama, Trigona collina, Trigona apicalis, Trigona laeviceps, Trigona thoracica dan banyak lagi. Bagaimana pun hanya dua spesis kelulut yang paling berpotensi untuk diternak secara komersil iaitu Trigona thoracica (Berbadan agak besar sedikit dan sangat aktif) dan juga Trigona itama (agak kecil sedikit dan aktif). Daripada pemantauan penulis dibeberapa projek ternakan lebah kelulut di Pokok Sena, Kedah, di Kelantan dan di Negeri Terengganu mendapati bahawa jenis spesis T. thoracica memberikan hasil lebih cepat berbanding dengan jenis spesis T. itama walau pun pada akhirnya kedua-dua spesis ini memberikan jumlah hasil yang hampir sama dari segi ekonomik. Spesis T. itama ini didapati masih aktif mencari makanan walau pun pada musim hujan berbanding dengan spesis satu lagi. Hanya mereka yang berkursus mengenai lebah keluut yang diadakan oleh Jabatan Pertanian dan MARDI serta syarikat swasta mungkin akan mengenali perbezaan kedua-dua spesis kelulut tersebut. Mungkin masih ada dikalangan kita kurang faham bahawa serangga kelulut merupakan jenis lebah yang tidak menyengat seperti lebah madu jenis Apis cerana (Lebah Keran) dan Apis mellifera (Lebah impot). Walau pun jumlah madu lebah kelulut yang dihasilkan agak sedikit berbanding dengan lebah madu ia masih menguntungkan kerana nilai madu kelulut lebih mahal menjadikan ia adalah nilai sumber ekonomi baru yang boleh dibangunkan di Malaysia. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi dan ilmu mengenai ternakan kelulut bagi rujukan anda. 


Sebenarnya apa usahawan perlu tahu sebelum menternak Lebah Kelulut?. Pada saya beberpa tips penting sebelum mulakan penternakan kelulut perlu dipauhi. Pertama sekali adalah mengkaji lokasi dimana kita hendak menternak kelulut, Semestinya usahawan baru perlu untuk mendapatkan sebanyak mana ilmu berkaitan kelulut melalui kursus, lawatan belajar atau membaca info tambahan daripada internet. Pastikan anda meluangkan masa menghadiri kursus anjuran Jabatan Pertanian, MARDI atau pihak swasta kelulut yang berwibawa. Setelah kursus anda perlu menentukan sumber koloni bagi mulakan projek sama ada mencari sendiri atau beli dari pembekal yang ada jaminan. Pastikan anda tahu jenis koloni kelulut yang sesuai dibela (T. thoracica atau T. itama). Antara faktur penentu dalam kejayaan penternakan kelulut adalah menentukan pemasaran produk kelulut sama ada ujud atau tidak berhampiran anda. Selalu berkunjung ke tempat ladang ternakan pengusaha sediada dan berhubung dengan penternak kelulut yang berjaya untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran secara hands-on. Kini telah ramai usahawan kelulut yang menternak secara kecil-kecilan dikawasan rumah dan juga dikawasan hutan akasia atau hutan gelam. Kalau anda buka internet, banyak artikel dan informasi mengenai teknologi menternak kelulut untuk dijadikan rujukan. 

Terdapat dua Teknologi Pemeliharaan Lebah Kelulut iaitu menggunakan TEKNIK TOPPING dan TEKNIK KOTAK. Apa yang kini lazim dilakukan oleh ramai usahawan muda dan baru adalah Teknik Topping adalah dimana kaedah ini menggunakan bahan batang pokok kayu yang mengandungi koloni lebah kelulut dan akan diletakan 'kotak madu' dibahagian diatasnya. Batang Kayu yang mempunyai lubang ditengahnya dan mengandungi koloni kelulut akan disambung dengan Kotak Madu dimana disambung dengan lubang bulat ditengahnya. Lubang seluas 2 inci ditengah-tengah kotak membolehkan kelulut menyimpan madu dalam kantung yang dibina. Teknik ini lebih sesuai dilakukan untuk pengusaha baru kerana risiko kelulut lari rendah kerana koloni utama masih tinggal dalam batang kayu sama seperti keadaan semulajadinya dihabitat asal. Bagaimana pun terdapat juga beberapa kelemahan teknik ini dimana koloni kelulut sukar untuk diubah ke beberapa tempat lain yang banyak sumber makanan. Teknik ini juga agak sukar untuk membuat proses pemecahan koloni. Pemecahan koloni akan dilakukan dengan teknik membelah batang kayu. Lazimnya jangkamasa madu untuk naik ke kotak lambat sedikit dengan teknik kotak dan teknik ini boleh menyebabkan sarang ada risiko diserang anai-anai.

Pilihan kedua dan moden adalah cara Teknik Kotak dimana ternakan kelulut menggunakan Kotak Kelulut yang dibina khas untuknya (Sila lihat foto sebelah). Cara ini melibatkan teknik pemindahan koloni ke dalam kotak perlu dilakukan dengan berhati-hati agar proses itu memudahkan kita dan kemasukkan kelulut. Perkara yang penting dalam proses ini ialah kedudukan corong atau muncung sarang lebah kelulut. Ia mempunyai sejenis bauan yang akan menjadi tanda bahawa sarang itu didiami oleh spesis tersebut sahaja.  Lazimnya koloni lebah kelulut dalam batang kayu perlu dibelah untuk mengeluarkan telurnya. Teknik membelah koloni perlu dilakukan dengan berhati-hati agar mesin memotong tidak terkena telur dan ratu. Jika ratu kelulut tersebut mati maka lazimnya semua koloni akan mati akhirnya dan koloni akan membuat ratu baharu jika ada telur ratu. Cara ini mudah untuk proses pemecahan koloni tetapi memerlukan kemahiran dan kepakaran yang hebat.

Menternak Lebah Kelulut adalah cara terbaik sebagai sumber pendapatan sampingan. Peternakan lebah kelulut memberi hasil yang lumayan sama seperti lebah madu biasa kalau diusahakan dengan betul mengikut pakej amalan teknologi yang sesuai. Lebah kelulut tidak menyegat berbanding dengan lebah madu. Kajian penulis mendapati permintaan madu kelulut semakin tinggi kerana pengguna sedar tentang khasiat yang ada padanya sedangkan pengeluaran masih lagi amat kurang. Kalau dahulu madu kelulut diambil secara liar dan kini telah muncul cara baru untuk menternak secara komersial serta memudahkan pengambilan madu. Beberapa jenis produk dari lebah kelulut adalah seperti Madu kelulut, Propolis dan Pollen atau bee bread. Dari segi ekonomi yang penulis dapat daripada pakar kelulut dan pengusaha sedia ada mendapati lebah kelulut dapat memberi sumber pendapatan yang lumayan kepada penternaknya. Seseorang usahawan yang memiliki 100 koloni lebah kelulut akan dapat 4 kali tuaian madu setahun. Anggaran hasil tuaian sekitar antara 2-5kg madu, 1-2kg bee bread dan 400-800g propolis dari setiap koloni setahun. Dalam satu tahun anggaran pendapatan penternak kelulut yang aktif mampu menjana sekitar RM 650-RM700 untuk 1 koloni dan kalau anda mempunyai sebanyak100 koloni maka pendapatan dianggarkan sebanyak RM65,000 - RM70,000 setahun. Kini harga pasaran madu kelulut berada RM 80 - RM240 per kg, harga bagi Bee bread RM75 per kg dan harga bagi propolis RM180 /kg. Kadar harga ini berubah mengikut faktur pemintaan dan bekalan dan musim.

Apabila membaca artikel ini telah timbul minat untuk mulakan menternak kelulut sendiri dikawasan rumah. Bagaimana untuk memulakan bagi usahawan baru sebaiknya bermula dengan10 koloni dahulu. Tujuan ini adalah untuk mereka mempelajari dan mengenal dengan lebih dekat mengenai pengurusan lebah kelulut sebelum membuat pelaburan yang besar bagi mengelak kerugian yang lebih besar. Modal yang perlu adalah kos untuk membeli Koloni (Trigona itama) iaitu sekitar RM 250-RM800 (dalam batang kayu) dan pembelian kotak kelulut sebanyak RM 80 (1 kotak). Lain-lain los sebanyak RM 1,000 diperlukan untuk menyediakan tanaman untuk bahan makanan, peralatan, penyediaan tapak dan sebagainya. Jumlah kos asas untuk mulakan penternakan kelulut adalah sebanyak RM 4,300 - RM9,800. Bagaimana pun masa perbelanjaan sebenar hanya berlaku apabila ada pembekal bersedia membekalkan koloni kelulut yang sememangnya agak sukar mendapatkan yang berkualiti dan terjamin. Walau pun spesis kelulut banyak jenis, antara jenis spesis yang disyorkan adalah Trigona itama, Trigona thoracica, Trigona laeviceps dan juga Trigona terminata. Kawasan yang sesuai menternak kelulut seperti di ladang buahan seperti jenis dusun belimbing dan mangga dan kawasan hutan akasia atau Hutan gelam. Bagaimana untuk mereka yang tinggal di kawasan kampung dusun buahan juga sesuai untuk menternak kelulut. Penulis dapati hasil madu bergantung kepada sumber makanan. Sekiranya terhad digalakan menanam pokok bunga atau tumbuhan yang disukai oleh lebah kelulut seperti Honolulu creepers, rumput israel, bunga pukul lapan dan banyak jenis lagi. Wasallam!.


POTENSI...KELULUT DIPELIHARA...
JENISNYA,..THORACICA KE ITAMA...
SEDIA KOTAK... TOPPING JUGA...
CARI ILMU... MELAWAT MEREKA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 104, Hotel Air Hitam,
Lawat Pusat Pertanian Air Hitam,
Batu Pahat, Johor,
Malaysia.
(4 Zulhijjah 1435H)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...