Support My Blog

Thursday, September 18, 2014

KOPI - JENIS ARABIKA


TANAMAN KOPI (Coffea spp.) di Malaysia banyak terdapat di kawasan-kawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan sedikit dibahagian Malaysia Timur, Sabah dan Sarawak. Penulis dapati ianya diusahakan secara tanaman tunggal atau pun secara selingan di kawasan-kawasan kelapa yang sedia ada. Berdasarkan laporan statistik Jabatan Pertanian 2013, terdapat seluas 5,667 hektar tanaman kopi dengan hasil sebanyak 16,608 metrik tan bernilai sebanyak RM10.83 juta yang majoriti ditanam di Johor, Selangor dan Perak. Dari segi sejarah, tanaman kopi dikatakan berasal daripada kawasan Tropika di Benua Afrika dan kemudian ia dibawa ke Malaysia pada tahun 1779 dengan jenis Arabica merupakan jenis kopi yang mula-mula diperkenalkan. Perusahaan kopi tempatan mula berkembang apabila kopi jenis Liberica diperkenalkan oleh Leonard Wray pada tahun 1875. Kini penanaman kopi di Malaysia menjadi semakin kurang diminati oleh petani kerana banyak faktur. Antara fakturnya seperti pendapatan yang rendah disebabkan harga biji kopi yang rendah serta tidak menentu, kos memungut hasil yang tinggi dan saingan dengan tanaman gantian seperti kelapa sawit. Walau pun pada masa ini hanya kopi jenis Liberica (Coffea liberica Bull ex Hiem) sesuai ditanam di Semenanjung Malaysia tetapi tahap pendapatan masih rendah. Negeri-negeri pengeluar utama jenis kopi ini ialah Johor dan Selangor. Manakala kopi jenis Robusta (Coffea robusta) pula banyak ditanam di beberapa negeri di Utara Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak. Setakat ini tanaman kopi di Malaysia masih kurang memuaskan dari segi pengeluarannya disebabkan oleh harga biji kopi yang tidak stabil. Ini juga menyebabkan perusahaan kopi tidak diusahakan secara komersil dan hanya secara kecil-kecilan sahaja. Harga kopi di pasaran tempatan adalah dipengaruhi oleh beberapa faktor dalaman dan luaran. Faktor-faktor dalaman yang mempengaruhi harga biji kopi ialah gred kopi, kaedah pemperosesan biji kopi dan marjin pemasaran. Faktor luaran pula ialah status penawaran dan permintaan di peringkat antarabangsa. Artikel subuh ini saya menulis lagi dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai jenis-jenis kopi yang ditanam untuk menghasilkan biji kopi bagi dijadikan serbuk kopi yang terdiri daripada pelbagai jenama.


Pemerhatian dan pengalaman penulis mendapati pokok kopi yang ditanam menggunakan biji benih akan mula mengeluarkan bunga lebih kurang setahun selepas ditanam di ladang. Ini berbeza daripada anak benih yang ditanam menggunakan baka cantuman di mana ia akan mula mengeluarkan bunga pada peringkat umur 6 - 9 bulan selepas ditanam. Lazimnya buah kopi jambu berwarna hijau semasa muda dan bertukar menjadi kuning dan merah apabila masak (Sila lihat foto disebelah kanan). Biasanya buah kopi yang dipetik dipanggil sebagai "Kopi Jambu" walau pun ia tidak ada kaitan dengan buah jambu. Buah kopi ini mengandungi dua biji "Kopi Beras" iaitu isi biji walaupun ada terdapat buah yang mempunyai satu biji sahaja yang dinamakan pea atau pun berry. Kopi jenis Liberica mengambil masa 8-13 bulan dari tarikh untuk pengeluaran bunga dan jangkamasa untuk masak. Dilaporkan juga kopi jenis Robusta pula mengambil masa antara 9-10 bulan untuk masak sebelum dipetik secara manual dengan tangan. Jenis kopi yang ada di tanam ini sangat banyak ragamnya. Bagaimana hanya empat jenis kopi yang diusahakan petani dan didagangkan secara komersil diseluruh dunia. Empat jenis kopi yang banyak diusahakan adalah jenis Kopi Arabika, Robusta, Liberica dan ExcelsaLaporan FAO menyatakan bahawa sebanyak 70% jenis kopi yang ditanam dan juga beredar di pasaran dunia adalah Kopi Arabika dan diikuti dengan jenis Kopi Robusta sebanyak 28% dan bakinya hanya 2% adalah Kopi Liberica dan Kopi Excelsa.


(1) KOPI ARABIKA

Ini merupakan jenis kopi yang paling popular ditanam dibeberapa negara termasuk di negara jiran Indonesia iaitu jenis Kopi Arabika. Kajian pasaran mendapati kopi arabika menguasai 70% pasaran dunia dan ia amat diminati oleh para peminat kopi dan amat menghargai jenis kopi arabika berbanding jenis kopi lain. Dari kajian yang saya buat mendapati jumlah pengeluaran kopi di negara-negara ASEAN adalah sebanyak 153,268 metrik tan pada tahun 2013 yang merupakan 26% daripada jumlah pengeluaran kopi dunia. Antara faktor penentu nilai pada mutu kopi arabika kerana habitat pertumbuhannya, teknik amalan agronomi, proses pasca tuai dan cara menyediaan atau pengolahan biji. Kopi Arabika (Coffea arabica) merupakan jenis kopi yang paling ditanam petani kerana ia mempunyai nilai rasa yang dinilai paling baik. Jenis kopi ini disyorkan untuk ditanam di tanah dengan tahap ketinggian antara 1,000-2,00 meter dari paras laut (Agak sejuk). Ini bermakna ia perlukan cuaca sejuk didataran tinggi dibeberapa negara pengeluar kopi arabika popular. Bagaimana pun ada dilaporkan bahawakopi arabika juga akan juga hidup dengan baik pada ketinggian diatas 800 meter walau pun pengurusan berbeza dan kualiti kopi juga berbeza. 

Ada kajian mendapati jika ia ditanam di dataran yang lebih rendah maka jenis kopi ini sangat rentan terhadap penyakit dinamakan Karat Daun (HV disease). Kopi Arabika akan tumbuh pada keadaan yang optimum pada suhu sekitar antara16 - 20 Celcius dimana terutama dikawasan tanah tinggi. Bagaimana pun untuk mendapatkan hasil tuaian yang baik maka pokok kopi arabika perlukan suasana beberapa bulan kering sekitar 3 bulan dalam setahun. Pokok Kopi Arabika mula dituai setelah berumur 4 tahun. Anggaran produktiviti kopi ini purata antara 350 - 400 kg/ha/tahun bergantung kepada pengurusan dan umur pokok. Pengurusan tanaman secara intensif lazimnya boleh menghasilkan hasil kopi basah diantara 1,500 - 2,000 kg/ha/tahun. Lazimnya bila buah telah masak maka warna buah arabika menjadi merah terang (Sila lihat foto diatas). Buah yang telah matang mudah sekali gugur bila masak jika dibiarkan diatas pokok. Buah tersebut akan jatuh ketanah dan menyerap bau-bauan yang ada pada tanah sehingga mutu aroma turun. Kopi Arabika sebaiknya dituai apabila masak sebelum buah gugur ke tanah. Kadar pertukaran berat buah biji basah (green beans) dengan biji kering (kopi beras) sekitar 18-20%. Para petani yang menanam kopi arabika biasanya akan masa untuk mereka memproses sendiri buah kopi dengan proses basah. Meski memerlukan kos dan waktu lebih lama akan tetapi ia mampu untum menghasilkan mutu biji kopi yang jauh lebih baik. Wasallam!...

TANAM KOPI...JENIS ARABICA...
TANAH TINGGI...SESUAI IANYA...
KOPI BERMUTU...TINGGI HARGA...
PENGELUAR UTAMA... INDONESIA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Memproses Kopi,
FAMA Rengit,
Batu Pahat, Johor,
Malaysia.
(21 Zulkaedah 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...