KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, September 14, 2014

LEBAH - TEKNOLOGI MENTERNAK (Part 4)

TERNAKAN LEBAH MADU (Honey Bee) merupakan satu akiviti yang agak kurang diberi perhatian oleh usahawan muda di Malaysia. Lebah Madu merupakan serangga hidupan yang terbang dan bersarang di lokasi khusus sama ada diternak atau lebah liar dihutan. Kajian penulis mendapati di Malaysia terdapat seramai 730 orang usahawan lebah madu yang aktif didaftarkan kepada Jabatan Pertanian Malaysia sebagai satu sumber rujukkan yang berguna. Antara negeri yang paling ramai mempunyai usahawan lebah adalah Negeri Sabah dengan seramai 625 orang usahawan diikuti dengan Kedah (20 orang) dan Kelantan (17 orang) usahawan lebah madu dan melibatkan sebanyak 23,385 kotak haif (Laporan dari Jabatan Pertanian 2013). Lebah adalah sekelompok besar serangga yang dikenali ramai dimana ia bersosial dan berkelompok meskipun sebenarnya tidak semua lebah adalah bersifat demikian. Semua lebah masuk dalam suku atau familia Apidae (ordo Hymenoptera). Apa yang saya belajar, lebah merupakan serangga yang menghasilkan madu dan produk-produk lain berasaskan lebah yang telah lama dikenali manusia. Sejak zaman purba manusia memburu sarang lebah di gua-gua, di lubang-lubang pokok serta tempat-tempat lain untuk diambil madunya. Lebah juga menghasilkan produk yang yang sangat diperlukan untuk dunia kesihatan seperti royal jelly, pollen, lilin dan sebagainya. Selanjutnya manusia mulai menternak lebah madu secara komersil dengan memakai gelodog kayu dan pada masa ini menggunakan Haif Lebah iaitu sistem berpusat. Di Malaysia teknik menternak lebah secara komersil masih pada tahap belum matang kerana masih sedikit usahawan yang berkecimpong menternak lebah madu secara komersil berbanding dengan negara lain. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai temuan teknologi menternak lebah madu untuk rujukan dan bacaan anda.


Dalam haif lebah moden yang selalu mempunyai bingkai (frame) lazimnya lebah ratu akan bergerak mengelilingi sarang untuk mencari sel-sel yg masih kosong pada frame. Sebiji telur diletakkan di bahagian dasar sel kom (Sila lihat foto sebelah). Tabung sel yang telah berisi telur akan diisi madu dan sebagainya oleh oleh lebah pekerja. Kemudian setelah penuh maka lubang tersebut akan ditutup dengan lapisan lilin tipis dimana ia memang dapat ditembusi oleh anak lebah pekerja matang untuk keluar. Kapasiti ratu lebah untuk mengeluarkan sebiiji telur perlukan masa selama 0.5 minit dan perhatian penulis mendapati setelah mengeluarkan 30 biji telur lazimnya ratu akan berehat 6 saat untuk makan. Begitulah kehebatan ratu lebah yang masih aktif untuk sentiasa bertelur dengan banyak untuk mempastikan koloninya sentiasa besar untuk menjadi koloni yang aktif. Umur lebah madu adalah pendek dan perlu diganti setiap masa.  Jenis tabung sel dalam kom bingkai selalunya terdiri daripada beberapa jenis kegunaan iaitu sel untuk sel calon ratu yang selalunya berukuran paling besar dimana cara susunannyna memang tidak teratur dan biasanya terletak di pinggir Haif. Bagi sel calon jantan selalunya ia akan ditanda dengan tutup diatas yang bentuknya 'menonjol' dan terdapat titik hitam di tengahnya. Sementara itu sel calon lebah pekerja lazimnya berukuran kecil dengan tutup rata dan ia adalah paling banyak jumlahnya.


Penternak Lebah perlu faham akan kitaran hidup lebah madu. Lebah madu merupakan jenis serangga yang ada 4 peringkat tumbesaran iaitu Telur, Larva, Pupa dan serangga dewasa. Jangkamasa untuk setiap peringkat adalah berbeza-beza mengikut spesis dan persekitaran. Bagaimana pun umumnya berikut adalah keadaan yang lazim untuk kitaran hidup lebah madu. Bagi kasta Lebah Ratu selepas telur menetas (3 hari), peringkat larva (5 hari), terbentuk benang penutup (1 hari), Masa Rehat (2 hari), perubahan larva jadi pupa (1 hari), Pupa atau kepompong (3 hari) menjadikan masa ia menjadi ratu selama15 hari. bagi kasta Lebah Pekerja pula telur akan menetas (3 hari), Larva (5 hari), terbentuk benang penutup (2 hari), Rehat (3 hari), perubahan larva jadi pupa (1 hari), Pupa atau kepompong (7 hari) menjadikan jumlah untuk menjadi lebah 21 hari. Bagi kasta Lebah Jantan lazimnya telur akan menetas 3 hari, larva 6 hari, terbentuk benang penutup 3 hari, iatirahat (4 hari), Perubahan larva jadi pupa (1 hari), Pupa atau kepompong (7 hari) menjadikan ia menjadi lebah jantan dalam masa 24 hari (Paling lama). Selalunya diperingkat larva ia akan diberi makan madu oleh lebah pekerja dewasa dan juga debunga sebanyak-banyaknya. Waktu ini disebut masa larva masih aktif sebelum larva menjadi kepompong (pupa). Pada masa kepompong lebah tidak makan atau minum di mana ia akan berubah daripada pupa untuk menjadi lebah sempurna. Setelah sempurna lebah akan keluar sel menjadi lebah muda sesuai asal selnya.


Dalam keadaan liar dan semulajadi lazimnya lebah madu akan membuat sarang iaitu dikawasan sesuai dan selamat untuk koloni mereka. Selain daripada celah-celah lubang pada pokok, ia juga membuat sarang pada dahan pokok (Sila lihat foto sebelah), dibawah bumbung rumah-rumah kampong, dalam batang kelapa kering, dalam tanah dan sebagainya. Pemeliharaan Lebah Moden memerlukan haif dan pengurusan khusus seperti kebersihan haif, membuat rawatan koloni, memberi makanan tambahan, melindungi daripada serangan musuh dan penyakit. Koloni lebah berada dalam haif yang direkabentuk empatsegi sama dengan mempunyai bingkai-biingkai tersusun didalamnya dan kotak super untuk simpanan madu. Kerja selenggaraan yang perlu dilakukan pada haif lebah adalah seperti aktiviti membersihkan lantai dasar kotak lebah dari kotoran yang ada, mencegah serangan semut atau tabuan atau kerengga masuk dengan cara menyapu minyak pada tiang atau air pada pangkal tiang. Mencegah daripada masuknya binatang pengganggu seperti cicak, tebuan (wasps), beruang dan sebagainya. Burung berek juga menggangu koloni lebah dilokasi tertentu di Johor dan Selangor kerana ia menyambar atau makan lebah pekerja yang terbang balik kesarang. 


Mengawal Perosak dan Penyakit dalam penternakan lebah meliputi menyingkirkan Lebah Ratu, Menyusun bingkai dalam haif yang abnormal serta menjaga kebersihan haif lebah. Memberi makanan pada koloni lebah pada waktu tertentu adalah penting untuk mempastikan bilangan koloni besar. Cara pemberian makanan Lebah adalah dengan membawa koloni lebah ke tempat di mana banyak bunga dan sumber nektar. Dinegara 4 musim selalunya jadual disesuaikan dengan musim bunga yang ada. Sebaiknnya masa memindahkan haif lebah adalah pada waktu malam iaitu semasa koloni lebah tidak aktif. Kajian menunjukkan tempat meletak haif dikawasan baru dengan sumber makanan bunga dalam lingkungan paling minima 3 kilometer. Tujuan utama membawa koloni ini pindah kekawasan baru adalah untuk menjaga kesinambungan dan pengeluaran agar tidak menurun secara drastik. Pemberian makanan tambahan (formulasi makanan lebah madu) selain daripada sumber luar bertujuan untuk mengatasi kekurangan sumber makanan akibat musim hujan. Walau pun makanan tambahan tidak dapat meningkatkan penghasilan tetapi ia akan berfungsi untuk mempertahankan koloni Lebah. Makanan tambahan lazimnya disyorkan menggunakan formulasi dari bahan gula, air dengan kadar 1:1. Adunan tepung campuran dan bahan ragi, tepung kacang soya, susu tepong dengan perbandingan 1:3:1 dan diitambah madu secukupnya boleh diberikan kepada koloni lebah madiu terutama musim hujan atau pintu ditutup kurang 4 jam kerana semburan racun diladang berhampian. Bersambung kepada artikel Part 5. Wasallam!.
MENTERNAK LEBAH...MINAT UTAMA...
ADA KURSUS... DAPATKAN ILMUNYA...
MENCARI KAWASAN... SIAP HAIFNYA...
CARI KOLONI... PASTIKAN BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Apiari Indera Mahkota,
Pusat Pertanian Sultan Ahmad Shah,
Kuantan, Pahang,
Batu Pahat, Johor,
Malaysia.
(26 Syawal 1435H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...