KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, November 1, 2012

KAMBING ANDA SIHAT?

BAGAIMANAKAH HENDAK TAHU 
KAMBING ANDA SIHAT?
Kambing merupakan sejenis ternakan yang popular di negara kita semanjak dahulu kala sama ada diternak secara komersial, separa komersil atau bebas berkeliaran sendiri. Pengalaman saya menternak kambing semasa remaja dahulu di kampong mengingatkan kembali nostalgia lama dalam sistem penternakan kambing kampong. Kini saya telah belajar mengenai teknik memelihara kambing setelah belajar mengenai kaedah penternakan kambing daripada pihak berkaitan. Ramai rasanya mereka yang baru hendak menceburi bidang menternak kambing kurang faham mengenalpasti dan membuat penentuan mengenai penyakit kambing. Kemahiran ita untuk mengenalpasti kambing yang sakit atau sihat adalah kritikal dalam penternakan kambing. Artikel petang sehari sebelum Hari raya Qurban ini saya sempat menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai ilmu mengenalpasti simptom-simptom kesihatan kambing.


Pada pengalaman saya, kambing yang sakit akan kelihatan monyok, nampak keletihan dan tidak bermaya sahaja. Tanda ini dilihat apabila pergerakan agak perlahan-lahan atau nampak tidak agressif. Berbanding dengan kambing sihat ianya adalah kelihatan segak dan amat cergas bergerak.  Kambing sakit juga akan kelihatan tidak mahu makan atau minum walau pun pada waktu tersebut kambing sihat yang lain sangat berselera dan berebut-rebut apabila diberikan makanan dikandang. Macam manusia juga, kambing pun tidak berselera untuk makan rumput atau PKC yang diberikan ketika dia sakit. Kambing yang sakit juga selalunya mengasingkan diri daripada kelompok kebanyakan kambing. Kambing tersebut berdiri atau baring sendiri tanpa menghiraukan kelompoknya. Kambing sihat apa yang selalu kita lihat akan sentiasa bergerak dalam kumpulan beramai- ramai dimana kalau berlari pun akan berkumpulan apabila dihalau kekandang.


Kambing yang sakit sering akan membuat bising dengan mengembek kuat tanpa henti. Bunyi kuat ini kadang-kadang seperti kambing sedang melahirkan anak! Memang sungguh kuat dan nyaring dari jauh. kambing yang sihat pula akan kelihatan tenang sahaja dan tidak mengeluarkan bunyi tidak tentu hala kecuali apabila kambing sangat lapar dan nampak tuannya datang untuk beri makan atau untuk membuka pintu kandang kambing. Satu lagi petua atau tanda bahawa kambing tersebut sakit adalah dengan melihat pada najis kambing tersebut. Pengalaman saya mendapati kambing yang sakit sering mengeluarkan najis yang tidak bulat dan lembik. Ini berbanding dengan kambing yang sihat yang menghasilkan tahi kambing yang bulat dan keras bentuknya sehingga boleh mengelongsor kebawah kandang kambing. 


Kemahiran penternak mengenali bulu kambing sangat penting. Saya dapati mereka yang menjalankan sistem ternakan bebas dan liar akan kenal kambing mereka melalui warna bulu dan upabentuk kambing mereka. Kambing yang sakit lazimnya mempunyai bulu yang kering dan meremang sahaja. Ini berbanding dengan bulu kambing yang sihat akan kelihatan kulit licin dengan bulu yang berkilat. Apa yang saya lihat dalam sekumpulan kambing, kambing yang berpenyakit akan kelihatan kurus kering dan tidak kuat. Kambing yang sihat dan cukup makan serta bergerak aktif akan kelihatan gemuk dan bertenaga. Kalau dilihat kambing jantan yang hendak mengawan, bayangkan bertapa agresifnya kambing jantan tersebut mengejar kambing betina.... habis satu kampong dia kejar. Itu tanda kambing jantan kita sihat. Wallahualam!

KAMBING SAKIT... TIDAK BERMAYA...
ASINGKAN DIRI... SEEKOR SAHAJA...
MEMBUAT BISING... KITA TAK SELESA...
KURUS KERING... JUAL TAK BERHARGA...

By,
M Anem
Jalan Istana,
Bukit Beruang, Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(9 Zulhijjah 1433)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...