KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, November 14, 2012

KEROPOK IKAN (Part 1)

KEROPOK IKAN merupakan sejenis produk berasaskan ikan yang popular terutama dikalangan masyarakat kita dan negara-negara Asia Tenggara yang lain. Keropok di Indonesia dipanggil 'Krupuk', di Filipina sebagai 'Kropek', di Vietnam sebagai 'Ban Phong Tom' dan sebagainya. Keropok Ikan adalah paling banyak diusahakan selain daripada keropok Udang, Keropok Sotong dan Keropok Sayur.  Bahan asas keropok adalah tepong sagu atau tepong kanji, ikan, garam, MSG, gula dan bahan perasa. Perusahaan membuat keropok banyak ditumpukan dikawasan adanya bekalan ikan seperti di Terengganu, Kelantan, Pahang, Kedah dan Johor. Jenis-jenis ikan yang lazim digunakan untuk membuat keropok adalah seperti ikan tamban, ikan parang, ikan selayang, ikan kerisi, ikan lolong bara, ikan biji nangka, ikan conor dan lain-lain. Dua jenis keropok ikan yang diusahakan di Malaysia adalah Keropok Lekor dan Keropok Kering. Artikel pagi bertarikh (10.11.12) ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai keropok ikan untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua yang membaca blog saya.


Keropok Ikan menggunakan bahan asas ikan segar yang diperolehi dari nelayan tempatan. Keropok ikan yang bermutu bergantung kepada jenis ikan digunakan, kadar campuran tepung dengan isi ikan dan juga  kaedah atau cara pemprosesan yang dijalankan. Ikan segar dibuang kepala, tulang dan diambil bahagian isinya sahaja sebelum dihancurkan. Kadar menyediakan keropok lekor dengan keropok kering hampir sama cuma berbeza sedikit dari segi bahan campuran dan cara menyediakannya. Bagi keropok lekor lazimnya sebanyak 10 kg ikan digunakan (10%) dengan 7 kg tepong sagu (70%), Garam 250 gram (2.5%), Gula 150 gram (1.5%), MSG 30 gram (0.3%) dan ais sebanyak 2-3 kg. Bagi penyediaan Keropok Kering pula kadar adunan adalah 10 kg ikan (100%), 10 kg Tepong Sagu (100%), Garam 300 g (2.5%), Gula 200 g (1.5%), MSG 30 g dan Ais 2-3 kg. 


Gaulkan semua ramuan diatas dalam pengadun (mixer) sehingga semua jadi sebati. Tanda yang ianya sebati apabila kita lihat adunan tidak melekat pada dinding mixer dan ianya boleh dibentuk atau dibuat doh. Adunan dibentuk sebagai selinder panjang berukuran 30 - 50 cm panjang dan 6 - 10 cm garispusat bagi keropok kering dengan anggaran berat 500 gram hingga 1 kg. Saiz bagi keropok lekor pula kecil iaitu dengan berat diantara 100 - 500 gram sahaja. Keropok lekor boleh dikukus, digoreng atau direbus manakala keropok kering akan direbus dalam air panas yang mengelegak atau dikukus. Keropok yang dikukus mempunyai kualiti yang baik jika dibandingkan dengan keropok yang direbus, tetapi ianya mengambil masa yang agak lama. Keropok yang di kukus mengambil masa 1 hingga 1.1/2 jam untuk masak bergantung kepada saiz manakala merebus hanya mengambil masa di antara 20 hingga 30 minit sahaja. Keropok yang telah di rebus akan timbul serta naik kepermukaan air apabila ianya masak.
BERSAMBUNG!

KEROPOK IKAN... DUA JENISNYA...
KELOPOK LEKOR... KECIL SAIZNYA...
KEROPOK KERING... RANGUP RASANYA...
KEROPOK SOTONG... MAHAL HARGANYA...

By,
M Anem
Room 344, Ming Star Hotel,
Kuala Terengganu, Terengganu,
Malaysia.
(30 Zulhijjah 1433H - Esok Awal Muharam)

   

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...