KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, November 4, 2012

CILI BESUT

CILI (Capsicum annum) merupakan tanaman yang telah diusahakan oleh seorang petani selama hampir 15 tahun sebagai komoditi pilihan oleh Tn Hj Mohd Noor bin Awang. Beliau menyewa kawasan tanah seluas 2 hektar di Kampong Padang Landak, Besut, Terenganu yang menanam cili secara berterusan dengan mengamalkan sistem penanaman seperti disyorkan oleh Jabatan Pertanian dan mempunyai ikatan 'kontrak farming' sebagai pembekal cili dengan syarikat Nestle. Beliau juga merupakan ahli PPK yang aktif dalam menghasilkan cili berkualiti kepada pasar borong di Kota Bahru dan Kuala Terenggnu. Hasil cili beliau juga dipasarkan melalui PPK Bukit Awang, Pasir Putih, Kelantan untuk syarikat Nestle. Semasa lawatan saya kekebun beliau, saya telah diberi taklimat oleh En Mohamad iaitu Ketua Pejabat Pertanian Kawasan Pelagat, Besut yang sentiasa memberikan khidmat nasehat dan kepakaran teknikal kepada usahawan berjaya ini. Artikel malam ini saya menulis mengenai kejayaan En Mohd Noor didalam menanam cili selama lebih 15 tahun dalam 'Anim Agro Technology' untuk dikongsi bersama anda.


Benih Cili yang ditanam adalah asalnya dari verieti Cili Kulai (MC10) tetapi beliau telah membuat kacukan dan pemilihan (selection process) selama beberapa tahun sehingga apa yang saya nilai sebagai sejenis cili yang berbeza dengan cili kulai yang asal. Cili ini mempunyai saiz yang panjang diantara 14 - 17 cm dengan ukurlilit buah sekitar 1.0 - 1.6 cm serta ketebalan buah cili yang sederhana (Lihat foto). Hj. Mohd Noor selalunya akan menyediakan benih cili sendiri dengan membuat pemilihan diladang sebelum diproses untuk dijadikan benih untuk musim penanaman berikutnya. Saya dapati varieti ini mungkin boleh didaftarkan sebagai satu varieti baru. Caranya dengan menggunakan borang DK-1 dan dihantar ke Putrejya untuk dibuat pemeriksaan oleh Jabatan Pertanian sama ada ianya diterima sebagai varieti baru atau tidak untuk dimasukkan didalam Senarai varieti Nasional.


Pengurusan tanaman cili akan dimulakan dengan penyediaan benih cili dan aktiviti menyemai. Sistem menyemai cili yang Hj. Mohd Noor amalkan mengikuti kaedah yang betul dimana beliau menggunakan dulang semaian (sowing tray) yang ada 104 lubang dengan menggunakan media 'Holland Peatmoss'. Satu polibeg Holland Peatmoss dibeli sekitar antaara RM 32.00 - RM 36.00 satu beg. Setiap lubang diletakkan 1-2 bijibenih cili dan kemudian ditutup dengan kain kasa untuk mempercepatkan proses percambahan. Penyediaan anakbenih semaian merupakan satu proses kritikal kerana anak benih perlu seragam, bebas penyakit dan sihat. Plastik silvershine digunakan diatas batas tanaman dengan lubang  jarak penanaman mengikut jarak disyorkan. Sistem pengairan menggunakan sistem pengairan titis.  Lazimnya cili mulai berbunga selepas 45 hari selepas ditanam. Semburan racun serangga dan racun kulat dijalankan secara berjadual mengikut Pakej Amalan Teknologi Tanaman Cili.


Semasa pemeriksaan saya di kebun beliau, saya dapati telah ada serangan penyakit mozek virus peringkat awal dan bunga serta buah masih keluar. Saya telah nasihatkan agar beliau mengawal masaalah ini dengan mencantas dan buang bahagian yang diserang dan membakarnya. Cara lain ialah dengan menggunakan semburan racun kimia untuk mengawal kutu thrips. Saya juga nasihatkan agar beliau tidak menggunakan buah dari plot sedia ada yang saya lawati ini untuk tujuan dijadikan benih pada pusingan akan datang. Ini kerana potensi serangan penyakit yang sama pada tanaman akan datang. Beliau boleh ambil sumber benih dari kebun lain yang tidak diserang penyakit ini. Beliau juga ada menanam varieti cili SDP33 keluaran Sime Darby yang baru ditanam satu musim dan saya dapati prestasinya amat baik. Benih SDP33 saya jelaskan kepada Hj Mohd Noor merupakan benih jenis baru yang tahan kepada serangan penyakit, mempunyai kualiti buah yang baik dan paling utama batangnya yang tidak memerlukan kayu sokongan seperti varieti lain (Sila Klik disini).


Varieti SDP33 di Besut
Tanaman cili oleh usahawan ini di tuai dalam dua jenis iaitu Cili Hijau dan Cili Merah. Cili Merah adalah untuk pasaran 'contract farming' dengan Syarikat Nestle dengan harga tetap diladang pada RM 3.00 sekilogram. Cili Hijau pula ditanam untuk pasaran tempatan dengan harga jualan antara RM 4.00 - RM 10.00 sekilogram dan ianya menguntungkan. Menurut Hj Mohd Noor, kedua-dua sistem ini penting dimana jika harga cili merah jatuh pun sistem pasaran kontrak akan membantu beliau dalam pemasaran yang terjamin. Musim penanaman lepas beliau memperolehi sebanyak 16,000 kg cili dengan pendapatan kasar ladang sebanyak RM 30,400 untuk selama 4.5 bulan penanaman. Jika dikira pendapatan kasar beliau dianggarkan sebanyak RM 5,500 sebulan dalam usaha beliau sebagai penanam cili komersil di kawasan Besut. Penanaman cili merupakan satu bidang usaha yang menguntungkan jika diusahakan dengan serius dan kita mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi serta kemahuan untuk mengusahakannya.


Saya sampaikan cenderahati kepada Hj Mohd Noor

MENANAM CILI .... BANYAK CABARANNYA...
KEMAHIRAN TINGGI... ANTARA ASASNYA...
BENIH BERKUALITI... PERLU DIGUNANYA...
PASARAN TETAP... UNTUNG AKHIRNYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Room 105, Hotel Ming Star,
Kuala Terengganu,
Terengganu, Malaysia.
(18 Zulhijjah 1433H)     

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...