KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, November 5, 2012

PROJEK MINI FERTIGASI BESUT

PROJEK MINI FERTIGASI BESUT merupakan satu projek tanaman timun batang kelolaan Jabatan Pertanian Terengganu yang berjaya dilaksanakan di Kg Gong Tengah, Besut , Terengganu. Saya telah berpeluang melawat projek ini dan meninjau amalan teknologi penanaman kaedah Mini-Fertigasi yang dijalankan oleh 10 orang petani di projek tersebut diiringi oleh Pegawai Kawasan En Mohamad. Projek ini mendapat bantuan asas daripada Jabatan Pertanian Negeri Terengganu pada tahun 2006 dengan penyediaan infrastruktur asas dari segi penyediaan kawasan, struktur mini-fertigasi dan kemudahan lain. Cadangan asal projek ini adalah untuk penanaman melon fertigasi tetapi kini ditumpukan kepada jenis tanaman Timun Batang (Cucumis sativus) fertigasi secara komersil. Artikel malam ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' amalan teknologi projek ini yang saya dapati hasil temubual dengan salah seorang peserta yang berjaya iaitu En Mohd Johan bin Ngah yang merupakan pesara untuk dikongsi bersama.


Beliau mempunyai 40 struktur SPH mini untuk penanaman secara fertigasi yang berukuran 8 kaki lebar dengan panjang 60 kaki setiap unit. SPH Mini ini mempunyai ketinggian 6 kaki dengan bumbung berbentuk bulat untuk menghalang air ketika hujan lebat. Semua SPH ditanam dengan 2,000 polibeg yang disusun dalam 2 barisan dan beliau menggunakan pukat untuk sistem pokok menjalar. Media penanaman adalah cocopeat yang boleh digunakan 1-2 pusingan selepas dibuat rawatan setiap kali musim penanaman dan menambah dengan coicopeat baru. Rawatan cocopeat terpakai dibuat dengan menggaulkan menggunakan bahan microorganisma solution iaitu jenama 'Plant Grow'. Setiap polibeg diletakkan diatas 2 biji batubata dan dipasangkan dengan sistem pengairan titis fertigasi. Struktur mini fertigasi sesuai untuk menghalang air hujan daripada memasukki polibeg dan ini amat sesuai terutama pada musim tengkujuh. Beliau menanam 3 musim tanaman timun dalam setahun menggunakan sistem ini.


Sistem fertigasi yang diamalkan menggunakan kaedah larutan sama seperti penanaman melon dimana beliau membeli Baja Fertigasi Set A dan Set B dengan harga RM 136.00 satu beg dari pembekal tempatan. Penyaluran larutan fertigasi menggunakan sistem pam ini berjaya memberikan air baja fertigasi kepada semua pokok dengan samarata kecuali ada kadangkala 'emitter' yang tersumbat dimana pokok akan layu. Kejasian pokok layu juga seringkali disebabkan oleh terlalu banyak air dalam polibeg. Bahan-bahan racun serangga dan lain-lain bahan dicamour dalam campuran larutan air fertigasi mengikut syor-syor sistem tanaman fertigasi. Pada pemerhatian saya kemahiran En Johan dalam mengurusan pertanian secara fertigasi di projek ini pada tahap mahir dan amat dibanggakan. Beliau dibantu oleh isterinya dan ahli keluarga dalam mengusahakan projek ini dengan menanam timun.


Tahun 2012 ini beliau menanam 3 kali pusingan dimana semasa lawatan saya adalah pada peringkat menuai hasil pusingan ketiga. Varieti ditanam adalah varieti baru 'Batu Tiga'  yang kali pertama ditanam menggunakan benih F1 yang dibeli dari pembekal tempatan dengan harga RM 60.00 satu pek. Timun ini jenis yang bersaiz sederhana, lurus, warna hujau sederhana dan tahan lama dipasaran berbanding dengan varieti yang ditanam sebelum ini. Pada musim lepas beliau menanam benih lain iaitu varieti Chia Thai 765 (Benih dari Siam) dan juga jenis Hercules keluaran Chia Tai. Pertukaran varieti ini sering dibuat mengikut kehendak pasaran dan bagi mengurangkan kemungkinan berulangan serangan perosak dan penyakit.


Penuaian hasil dibuat dengan memilih buah yang cukup matang dimana ianya dikenali apabila tidak ada lagu 'duri' pada kulit buah timun. Buah yang terlalu muda akan dilihat kecut pada pangkal buah setelah beberapa jam dipetik. Buah digredkan mengikut saiz, kecacatan dan dibungkus dalam plastik jernih dalam 20 biji satu bungkusan. Pemborong akan mengambil buah timun setiap hari. Semasa lawatan anggaran harga ladang ialah RM 0.60 sekilogram walau pun pada masa lain ia mampu setinggi RM 1.20 sekilogram (musim hujan). Pada musim lepas En Johan dan isteri mempu menghasilkan sebanyak 44,050 kg timun dengan pendapatan kasar RM 44,000 selama 3 bulan. Anggaran pendapatan bulanan dari aktiviti penanaman timun batang di bawah struktur Mini Fertigasi ini sebanyak RM 2,400.00 sebulan!. 

SISTEM MINI FERTIGASI.... DIAMALKAN...
TANAMAN TIMUN...ELAKKAN HUJAN....
BUAH BERKUALITI... ADA JAMINAN...
PETANI MAHIR ... ADA PENGALAMAN...
BERKERJA SELESA.... ADA LINDUNGAN...
KOS AWAL TINGGI... ADA BANTUAN...

By,
M Anem
Projek Mini Fertigasi,
Kg Tengah, Besut,
Terengganu, Malaysia.
(31 Oktober 2012)      

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...