KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, November 13, 2012

SATE

SATE' atau SATAY merupakan sejenis makanan berasaskan daging yang popular di Malaysia dan juga Indonesia. Siapa yang tidak kenal atau tidak pernah makan sate?... Kebanyakan kita memang pernah makan sate sebagai satu jenis makanan yang dijual dimerata tempat sepeti Restoran , Gerai, Pasar Malam, Hypermarket, Pasar Tani dan sebagainya. Beberapa jenama sate popular seperti Sate Kajang telah dikomersilkan dengan berpuluh-puluh outlet diseluruh negara. Kalau di Johor Bahru terkenal dengan Sate Wak Radol, kalau di Bandar Muar popular dengan 'Sate Pagi' dan banyak lagi ikon-ikon yang berkaitan dengan makanan lazat sate. Sate juga merupakan satu hidangan istimewa semasa jamuan pada Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Qurban, jamuan rumah terbuka, jamuan di pejabat, Jamuan Hari Lahir dan sebagainya. Artikel subuh ini saya berkongsi maklumat mengenai sate dalam 'Anim Agro Technology' berdasarkan pengalaman penulis, kajian dan rujukkan untuk pembacaan anda.


Cara membuat sate dimulakan dengan menyediakan bahan asas untuk membuat sate seperti Daging, Lidi Sate, Ramuan Rempah, juga peralatan untuk menyediakan sate dan membakarnya. Pemilihan bahan asas membuat sate paling utama dalam menyediakan sate yang enak dan segar. Apa yang saya buat ialah dengan memilih bahan sate yang segar berkualiti sama ada daging ayam, daging lembu, daging kambing, daging rusa, perut (Babat), hati , kerang dang sebagainya. Sebaiknya beli daging segar daripada bahagian 'Batang Pinang' untuk sate daging lembu dan bagi daging ayam beli ayam yang bersaiz besar. Jangan keliru dengan 'sate ikan' kerana ianya amat berbeza dengan sate biasa yang saya akan berkonsi maklumat dengan anda. Sate Ikan merupakan sate kering jenis 'snack food' berasaskan ikan yang macam keropok sahaja. 


Daging segar perlu di potong berukuran 1cm - 2 cm dengan ketebalan sekitar 0.6 - 1 cm dan pastikan kita membuang bahagian tulang, bahagian tendon atau otot-otot yang liat atau bahagian lemak pada daging. Bahagian otot ini akan menyebabkan sate manjadi liat jika tidak dibuang. Sesetengah pembuat sate akan sengaja potong bahagian lemak untuk digunakan didalam pembuatan sate. Kebanyakkan penjual sate komersil akan meletakkan lemak pada bahagian tengah lidi sate atau berselang seli dengan bahagian daging. Sediakan bahan rempah membuat sate dengan mengisar bahan-bahan seperti bawang, kunyit, serai, ketumbar, jintan halia dan lain-lain lagi. Masukkan rempah tersebut dalam bekas dan masukkan garam serta gula (Sate tanpa gula rasanya kurang sedap). Jangkamasa untuk perap daging bergantung kepada jenis daging dan kuantiti sate yang hendak dibuat. Tutup daging yang diperap untuk elakkan bahan cemar.


Kerja menyucuk daging sate dibuat dengan menggunakan lidi kelapa tetapi sekarang telah ada lidi sate diperbuat daripada buloh yang diimpot dari china. Harga lidi sate buloh juga murah iaitu RM2.00 satu bungkusan kecil (200 lidi) dan RM 7.00 satu bungkusan besar (700 - 800 lidi) seperti foto sebelah. Sebanyak 3 - 5 keping daging sate (atau kerang, babat dan lain2) di cucuk pada lidi sate secara manual. Walau pun terdapat mesin untuk menyucuk sate, kaedah manual menyucuk sate didapati lebih lazim dipraktikan. Sate mentah yang siap disusun mengikut jenis dalam ikatan 50 - 100 cucuk satu. Ini bertujuan untuk memudahkan kita mengira julah sate yang hendak dibakar.


Sediakan tempat membakar sate yang lazimnya mempunyai tunku yang ada dijual dikedai yang diperbuat daripada zink atau aluminium. Arang batu digunakan untuk membakar sate walau pun ada juga yang menggunakan dapur gas. Susun sate mentah pada atas bara dan pastikan bahagian lidi sate diletakkan diluar bara (Foto sebelah) agar lidi tersebut tidak terbakar. Kalau lidi sate terbakar, maka gagal kita membakar sate kerana tiada lidi sate untuk dipegang ketika makan. Semasa membakar sate perlu di percikkan campuran minyak masak dengan air menggunakan batang serai atau daun pandan untuk meningkatkan aromanya. Kipas bara api untuk mendapatkan bara api agar sate tidak hangus.


Sate yang baru siap dibakar dan masih panas memang lazat. Sate selalunya dimakan bersama dengan Kuah Sate, Timun, Bawang dan juga ketupat atau nasi himpit. Kuah sate dibuat daripada bahan cili kering, kacang tanah goreng yang dikisar, halia, serai dan bahan garam serta gula. Kuah sate yang disediakan adalah satu kemestian ketika makan sate. Ketupat Sate dianyak daripada daun kelapa dan bagi tujuan komersil lazimnya bersaiz kecil sahaja berbanding dengan yang kita buat sendiri. Pada masa kini ramai yang menggunakan nasi himpit yang dibuat sendiri atau yang dijual di pasaraya. Bawang dan timun di potong kecil dan dimakan bersama sate untuk menambah selera. Kalau di Muar, penduduk tempatan lebih suka makan sate pagi dengan lodeh yang dihidang dibanyak restoran dan memang lazat sekali!
Wasallam!

MAKANAN SATE'...AMAT POPULARNYA...
SATE DAGING.... AYAM, LEMBU ASASNYA...
SATE DIBAKAR... DICECAH KUAH ENAKNYA...
KETUPAT, TIMUN... DIMAKAN BERSAMA...
SATE KAJANG... AMAT POPULARNYA...
DIMERATA TEMPAT... ADA DIJUALNYA.. 

By,
M Anem
Room 105, Hotel Ming Star,
Kuala Terengganu, Terengganu,
Malaysia.
(18 Zulhijjah 1433H)   

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...