KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, November 23, 2012

PISANG SALAI

PISANG SALAI (Smoked banana) merupakan pisang yang 
di proses daripada pisang yang telah cukup masak sehingga ianya kering. 'Salai' merupakan satu kaedah penyimpanan atau kaedah mengawet buah pisang secara tradisional yang kekal sehingga kini. Saya semenjak zaman sekolah dahulu memang suka makan pisang salai yang di proses secara tradisional. Kawasan Parit Raja di Daerah Batu Pahat, Johor yang saya tahu sangat popular dengan penghasilan pisang salai. Semasa bertugas di Negeri Johor dulu, saya terlibat dengan projek Industri Asas Tani yang mendapati seramai 60 - 70 orang usahawan yang aktif mengusahakan pisang salai secara komersil di Johor. Pengusaha ini mempunyai rumah salai atau alat ketuhar komersil yang digunakan. Jumlah ini tidak termasuk mereka yang mengusahakan pisang salai secara kecil-kecilan dan secara bermusim seperti untuk jualan semasa Hari Raya Puasa. Artikel malam ini saya menulis mengenai teknologi memproses pisang salai dalam 'Anim Agro Technology' untuk dikongsi bersama anda berdasarkan pengalaman dan pemerhatian penulis sendiri.


Jenis Pisang paling sesuai digunakan untuk pisang salai adalah PISANG KAPAS (Lihat foto sebelah). Jenis pisang lain boleh juga digunakan untuk diproses menjadi pisang salai seperti pisang berangan, pisang emas, pisang masak hijau tetapi mempunyai kualiti tidak sebagus pisang kapas. Pilih bahan mentah daripada pisang kapas yang telah cukup masak ranum semuanya dan kemudian buang kulitnya sehingga bersih. Isi pisang ini kemudian dicelup dengan cecair  anti-kulat (anti-mould) agar tahan lama dan tidak mudah rosak. Pastikan menggunakan bahan antikulat yang dibenarkan oleh kementerian kesihatan untuk digunakan bagi makanan. Pisang tersebut kemudian ditos atau dikeringkan sebelum dihiris nipis (sekitar 4 - 5 mm) dan disusun diatas kelarai daripada buluh atau dulang aluminium yang bersih. Pastikan susunan tidak berlapik atau tidak bertindih diantara kepingan pisang.


Kaedah menyalai pisang ini ada dua cara iaitu cara tradisional dan cara moden. Cara tradisional adalah dengan kaedah RUMAH ASAP (pengasapan) dengan kayu api dalam bangunan atau rumah khas (Lihat foto sebelah). Rumah asap ini lazimnya dibuat daripada kayu papan dan dibahagian bawah dipasang bara api dari kayu yang sentiasa dibakar untuk menghasilkan haba panas. Kesan asap akan masuk kedalam pisang salai yang disusun diatas kelarai buluh sehingga cukup kering dan kecut selepas beberapa hari (Bergantung kepada bara api). Asap ini yang menambahkan aroma pisang salai (berbau asap) dan ianya menyebabkan pisang salai tahan lama daripada kulat (fungi) atau dimakan semut kerana unsur mengandungi bahan 'Nafthalene' yang ujud didalam asap. Pada saya kaedah tradisional ini tetap menghasilkan pisang salai yang baik serta berkualiti dan akan terus diminati pengguna atau peminat pisang salai berbanding dengan cara lain iaitu menggunakan ketuhar (oven).


Kaedah kedua menyediakan pisang salai adalah dengan mengeringkan hirisan pisang tersebut menggunakan KETUHAR (Oven). Ketuhar ini boleh didapati dalam pelbagai saiz dan bentuk dengan kebanyakannya menggunakan dinding metal yang mempunyai rak-rak didalamnya (Lihat foto). Pemanasan ketuhar boleh menggunakan dapor gas atau dapor eletrik. Kaedah ini akan menghasilkan pisang salai yang lebih cerah berbanding dengan pisang salai yang disediakan dengan kaedah salai menggunakan kayu api. Kelebihan kaedah menggunakan ketuhar akan menghasilkan pisang salai dengan cepat, warna yang seragam, tidak perlu menjaga kayu api, boleh mendapatkan produk dengan kuantiti banyak dan bersih. Apa yang saya selalu nasihatkan kepada pengusaha adalah masukkan pisang salai dari ketuhar kedalam rumah asap beberapa jam untuk mendapatkan aroma asap dari kayu api, setidak-tidaknya aroma asap akan ada pada pisang salai tersebut.


Pek Pisang Salai di Johor
Produk pisang salai dibungkus menggunakan bungkusan plastik lutsinar yang akan menampakkan pisang salai didalamnya. Satu bungkusan mengandungi 150 - 250 gram dan di bungkus dalam keadaan kedap udara (sealed). Satu pek dijual dengan harga RM 3.00 atau sebantak RM 10.00 untuk 3 pek di gerai jualan di Pekan Air Hitam , Johor. Pisang salai merupakan sejenis makanan dari kategori makanan snek atau makanan ringan yang boleh dimakan bila-bila masa atau sesuai untuk dijadikan hamper hadiah produk IAT. Kepada mereka yang mempunyai masaalah sakit gigi kena sediakan air kosong kerana tahap kemanisan yang amat tinggi jika dimakan boleh menyebabkan gigi sakit atau ngilu. Produk makanan pisang salai merupakan antara beberapa jenis makanan warisan yang perlu diteruskan untuk genarasi baru. Wasallam!...
PISANG SALAI....IA ENAK RASANYA...
PISANG KAPAS... BAIK KUALITINYA...
PISANG DI HIRIS... DISALAI CARANYA...
RASA YANG MANIS... MURAH HARGANYA...

By,
M Anem
Gerai Pertandingan Hasil-hasil Pertanian,
MAHA International/HPPNK 2012,
MAEPS Serdang, Selangor
Malaysia.
(9 Muharram 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...