KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, November 18, 2012

BELALAI GAJAH - AGRONOMI

BELALAI GAJAH (Clinachantus nutans Lindau) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga Anthaceae iaitu sejenis herba yang kini menjadi popular kerana ia dipercayai mampu mengubati penyakit kronik seperti kanser. Kali pertama saya mendengar nama herba ini saya bayangkan ia merupakan tumbuhan besar dan panjang seperti belalai gajah tetapi ianya meleset sama sekali. Belalai Gajah juga dikenali dengan nama Sabah Snake Grass (English), Saled Pangpon pua mea (Thailand) dan Dandang Gendis (Jawa Indonesia).  Pokok herba belalai gajah adalah tidak sama dengan herba Hempedu bumi (Snake grass) atau Herba Sambung Nyawa (Gynura procumbens) kerana ianya memang berlainan. Hempedu bumi mempunyai rasa pahit dengan bunga berwarna putih sementara belalai gajah adalah rasa tawar dengan bunga merah muda. Penanaman herba belalai gajah di Malaysia secara komersial dijalankan dibeberapa negeri terutama disekitar Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor. Herba  ini didakwa mampu menyembuhkan banyak penyakit kronik kerana khasiatnya yang mampu mengaktifkan sel-sel tubuh manusia dengan kandungan antioksi dan yang tinggi. Artikel subuh ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai teknologi penanaman belalai gajah daripada pemerhatian yang dijalankan dan rujukkan dari beberapa artikel seperti dalam belalaigajah.blogspot.com yang popular.


Tumbuhan herba ini adalah sejenis tumbuhan renek yang tumbuh menegak dengan batang berkayu dan mampu tumbuh sehingga ketinggian 2.5 meter jika tidak dicantas. Batang belalai gajah saya dapati mempunyai ruas-ruas, berkayu, berwarna hijau dengan menegak dan kurang bercabang. Daunnya berwarna hijau gelap, tunggal, susunan berhadapan, berbentuk lanset dan ukuran panjang daun sekitar 8-12 cm serta lebar daun 4-6 cm. Belalai Gajah juga menghasilkan bunga jenis majmuk, berbentuk malai yang keluar dari ketiak daun dan dihujung batang. Bentuk bunga yang saya perhatikan adalah berbentuk seperti tabung berukuran 2-3 cm berwarna merah muda. Buah yang dihasilkan adalah berbentuk kotak dengan biji bulat berwarna coklat gelap. Kajian mendapati bahagian yang sesuai digunakan daripada herba ini adalah bahagian DAUN yang banyak khasiat. Kawasan tanah subur yang mempunyai sinaran matahari mencukupi, saliran baik dan banyak organik sesuai untuk penanaman belalai gajah.


Penyediaan bahan tanaman belalai gajah adalah melalui bahan keratan batang sepanjang 4 - 6 inci yang perlu di cucuk didalam polibeg ( 4-6 batang dalam 1 polibeg). Media semaian dalam polibeg boleh gunakan tanah campuran (3:2:1) atau kalau banyak modal, saya syorkan gunakan campuran cocopeat atau peatmoss (Lihat foto sebelah). Buat penyiraman terhadap semaian tersebut sehingga tunas baru terbit dan sedia untuk ditanam diladang. Harga jualan satu polibeg di Sendayan oleh beberapa syarikat diantara (RM 4.00 - RM 10.00 satu polibeg) bergantung kepada sumber bekalan dan saiz pokok. Kepada mereka yang mempunyai pokok induk sendiri, saya fikir memang boleh membuat replikasi membiakkan belalai gajah sendiri. Kaedah pembiakan secara keratan menjamin anakbenih yang dihasilkan adalah 'true-to-type' iaitu 'vegetative reproduction technology'.


Sediakan kawasan penanaman dengan membajak atau pun membuat batas tanaman mengikut ukuran yang sesuai. Walau pun kebanyakan herba belalai gajah ditanam dikawasan terbuka, kini penanaman belalai gajah dibawah lindungan jaring hitam semakin popular dijalankan (Lihat foto sebelah). Batas ditutup dengan plastik silvershine untuk kawalan rumpai (meracun rumpai tidak disyorkan sama sekali) dan plastik juga akan menjaga kelembapan tanah. Jarak penanam dan sistem penanaman boleh dibuat dalam satu atau dua barisan diatas batas mengikut kesesuai dengan jarak penanaman antara o. 6 - 1.0 meter. Pastikan kita akan selalu memberikan baja asas organik seperti tahi ayam didalam batas sebelum menutup dengan plastik silvershine.  Kerja-kerja penyiraman dan pemberikan baja organik mesti dijalankan selepas menanam. 


Penuaian belalai gajah dimulakan 2-3 bulan selepas menanam apabila telah banyak daun-daun dikeluarkan. Kerja memetik hasil dibuat dengan memetik daun menggunakan tangan dan hasil daun segar dikumpulkan untuk dijual atau diproses. Kajian dibeberapa ladang belalai gajah komersil menyatakan, hasil sebanyak 2.0 - 2.4 metrik tan daun dituai dalam satu hektar. Kebanyakan daun ini akan dicuci dahulu dengan air bersih, dan di masak sehingga pekat dan kemudian akan di ekstrak sehingga menjadi serbuk. Serbuk (Powder) ini kemudian dijual kerana bentuk ini mudah dimakan dengan kepada ramai pengguna. Kaedah lain bagi memprosesnya adalah dengan mengeringkan daun tersebut seperti membuat teh belalai gajah. Teh daun belalai gajah paling banyak dipasaran dimana kita perlu masukkan daun teh kedalam air panas dan minum setiap hari untuk mendapatkah khasiatnya.

Setakat ini ramau usahawan telah menanam belalai gajah setelah mengetahui akan potensinya. Mereka yang baru hendak menceburi aktiviti penanaman herba perlu mempastikan kajian pelan perniagaan dahulu. Penanaman herba seperti belalai gajah perlukan kemahiran dan pengatahuan yang mencukupi terutama didalam agronomi tanaman. Kebanyakan herba memang tidak disyorkan untuk menggunakan racun kimia kerana ini akan menjejaskan kualiti herba yang dihasilkan. Masaalah ketulinan baka atau bahan tanaman adalah kritikal kerana perlu mendapatkan yang betul-betul spesis belalai gajah yang tulin. Pemprosesan dan pemasaran merupakan satu lagu cabaran didalam mengusahakan tanaman atau produk herba. Ini kerana banyak ujian klinikal akan membantu dalam menimbulkan kepercayaan pengguna terhadap produk herba kita. Kita pernah didodoikan dengan tanaman Mengkudu, Misai Kucing, Ubi Jaga, Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Sentang dan banyak lagi...bagaimana dengan tanaman Belalai Gajah nanti...kita tunggu........... 

BELALAI GAJAH... BESAR NAMANYA...
HERBA RENEK... KECIL POKOKNYA...
MUDAH DITANAM...KERATAN BANIHNYA...
LEPAS 3 BULAN... BOLEH MULA TUAIANNYA...
DIMAKAN SEGAR... 100 HELAI SEHARINYA...
TELAH DIPROSES... TEH HERBA JADINYA...

By,
M Anem
Sendayan, Seremban,
Negeri Sembilan,
Malaysia.
(4 Muhharam 1434H)   





  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...