KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, November 22, 2012

NEKTAR

NEKTAR (Nectar) adalah cecair manisan yang dihasilkan oleh bunga, daun atau buah-buahan tertentu yang manis dan sering diambil oleh haiwan lain sebagai sumber makanan. Nektar dihasilkan pada kebanyakan bunga daripada Nectaris iaitu sejenis organ di bawah petal bunga yang mengeluarkan cecair manisan tersebut pada pangkal dalam bunga. Ramai diantara kita yang panggil nektar sebagai 'Madu Bunga' kerana rasa manis tetapi sebenarnya ia akhirnya akan menjadi Madu Lebah selepas melalui beberapa proses alam semulajadi.  Terdapat juga jenis nektar yang dihasilkan bukan pada bunga tetapi pada pangkal daun atau tangkai daun seperti pada Daun Getah Muda (Hevea brazilliensis) dan Daun Pokok Prunus africana. Nektar adalah sumber makanan yang penting kepada beberapa jenis haiwan seperti Lebah Madu (Honey Bees), Kupu-kupu (Moths) ,Rama-rama (Butterfly), Burung Madu (Hummingbirds), Kelawar (Bats) dan juga sesetengah Semut (Ants). Artikel subuh ini saya menulis dalam ' Anim Agro Technology' mengenai apa itu nektar untuk rujukkan anda berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan rujukkan yang saya kumpulkan.


Nektar penting dalam kitaran alam semulajadi kerana banyak jenis hidupan yang bergantung kepadanya untuk hidup sebagai sumber makanan. Selain daripada lebah madu,  saya dapati Rama-rama, semut, Kelulut dan sebagainya serta banyak serangga pemangsa lain (Pests Predator) yang mengambil nektar sebagai sumber makanan. Rajah sebelah menunjukkan lokasi dimana 'nektaris' yang menghasilkan cecair nektar yang terletak pada pangkal petal. Dari segi sains, nektari terletak pada 'perianth' iaitu dibahagian paling pangkal struktur bunga agar agen pendebunga (Lebah, Rama-rama, Kupu-kupu dsb) akan menyentuk bahagian pistil yang akan membawa debunga kepada bunga lain dalam proses PENDEBUNGAAN BERSILANG (Cross pollination). Pendebungaan bersilang pada kebanyakan tumbuhan lazimnya menghasilkan buah yang baik dan berkualiti seperti pada tanaman durian, belimbing dan sebagainya.


Bagaimana serangga tahu ada nektar pada bunga?. Pemerhatian yang saya lakukan pada bunga Rumput Israel (Asystasia gigantica) mendapati, lebah atau serangga suka akan mendatangi bunga ini untuk menghisap nektar dan debunga akan melekat pada badannya. Bunga yang mengandungi nektar lazimnya mengeluarkan Aroma atau bau-bauan yang kuat atau mempunyai Warna Terang (Putih, Kuning, Merah, Ungu dsb) yang akan  menarik serangga datang. Mata serangga akan nampak beberapa garisan yang berpusat pada dasar bunga yang menunjukkan dimana lokasi nektar tersebut. Lebah Madu dan haiwan terbang akan masuk kedasar bunga dan menghisap nektar menggunakan mulutnya atau akan terus masuk kedalam bahagian perut sedangkan Rama-rama akan menggunakan 'belalai panjang' untuk menyedut nektar pada dasar bunga.


Nektar Bukan Floral merupakan jenis nektar yang di keluarkan di luar bahagian bunga seperti di pangkal daun atau pada petiol daun (Lihat foto sebelah). Di Malaysia ada banyak tanaman pokok getah yang mana ketika peringkat daun muda, ada mengeluarkan nektar pada pangkal petiol. Masa ini boleh di letakkan haif berkoloni lebah madu dikebun getah untuk mengumpulkan nektar getah. Pada tumbuhan lain, nektar bukan floral ini akan menggalakkan agar serangga seperti semut datang untuk semut mengambilnya sebagai makanan. Semut ini pula akan menjadi Pemangsa (predator) kepada serangga perosak lain yang ada pada kawasan nektar tersebut. Sungguh ajaib kejadian ini... ia merupakan salah satu daripada kaedah kawalan biologi semulajadi.


Nektar yang di kutip oleh Lebah Madu (Apis cerana, A. melifera atau A. dorsata) atau Kelulut (Trigona spp) akan dibawa balik kedalam sarang atau haif lebah. Kepekatan cairan nektar akan berkurangan akibat aktiviti lebah terbang dari satu bunga ke satu bunga sehingga kandungan airnya menurun. Nektar ini akan disimpan didalam setor simpanan pada kom berbentuk hexagonal (Lihat foto sebelah). Apabila nektar telah cukup pekat dan akan ditutup rapat (kandungan air dalam madu sekitar 15% - 18%). Proses daripada nektar yang dikutip sehingga menjadi madu lebah mengambil masa yang berbeza bergantung kepada jenis nektar bunga, keadaan cuaca, populasi koloni lebah dan sebagainya. Apabila madu telah penoh dalam simpanan, manusia akan kutip madu tersebut menggunakan 'extractor' dan digunakan sebagai manisan madu yang banyak khasiat. Begitulah hebatnya nektar yang dijadikan madu dalam alam semulajadi. 
Wallahualam!.

NAMANYA NEKTAR... MAKANAN SERANGGA...
DARIPADA BUNGA... DISEDUT CARA BERKALA...
DIJADIKAN MADU... DAN SUMBER TENAGA....
BANYAK KHASIAT ... MEMANG TIDAK TERKATA...

Related Articles:
1. Lebah Madu di Johor (Klik disini)http://www.animhosnan.blogspot.com/search/label/LEBAH%20MADU%20DI%20JOHOR
2. Lebah Keran (Klik disini)
3. Lebah Tualang (Klik disini)
4. Bee Keeping Equipments (Click here)
5. Madu Lebah (Klik disini)
6. Nektar (Klik disini)
7. Bisa Sengatan Serangga (Klik disini)
8. Rumput Israel (Klik disini)

By,
M Anem
Pusat Apiari Kebangsaan,
Parit Botak, Batu Pahat,
Johor, Malaysia.
(9 Muharam 1434H)        

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...